Sumber:
http://ayahmama.com/42-cara-mencungkil-keistimewaan-kepintaran-anak-anda/
Kajian di Universiti Harvard mendapati bahawa kanak-kanak mempamerkan
keistimewaan atau kepintaran melalui banyak cabang iaitu bahasa,
matematik, muzik, gambaran, fizikal dan sosial. Seperti kata seorang
cendikiawan, “Semua
kanak-kanak adalah pintar, hanya sesetengah dari mereka memperlihatkannya sedikit lewat dari yang lain”
Anda boleh memainkan peranan yang amat penting untuk mendedahkan
keistimewaan yang terpendam atau mengembangkan bakat yang sedia ada
melalui pengalaman yang anda berikan kepada anak-anak anda di rumah.
Senarai di bawah adalah 42 cara terbaik untuk mencungkil keistimewaan
mereka:-
1- Biarkan anak anda mencari sendiri minatnya. Beri perhatian kepada
aktiviti yang ia pilih diwaktu lapang. Semua ini dapat memberi petunjuk
kepada anda tentang bidang yang ia paling minati.
2- Dedahkan
anak anda kepada pengalaman yang
pelbagai.
Ini mungkin akan membangkitkan keistimewaannya yang terpendam selama
ini. Jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa anak anda tiada kelebihan
di dalam sesuatu bidang jika dia belum menunjukkan minat.
3- Beri peluang kepada anak anda untuk membuat kesilapan. Jika ia
dipaksa melakukan sesuatu tanpa kesilapan, ia akan membesar tanpa berani
mengambil risiko yang sepatutnya untuk mencari dan mengembangkan
keistimewaannya.
4- Kemukakan
pertanyaan. Bantu anak anda
menjelajah keajaiban alam ini dengan bertanya kepadanya soalan-soalan
yang merangsangkan pemikiran. Contohnya; Kenapa langit berwarna biru?
Cari jawapannya bersama-sama anak anda.
5- Rancangkan satu projek kreatif khas yang melibatkan semua ahli
keluarga. Perkongsian kreativiti boleh membangkit dan mengembangkan
bakat baru.
6- Jangan memberi tekanan kepada anak anda untuk belajar. Jika
anak-anak dihantar untuk pelajaran khas setiap hari dengan harapan untuk
mengembangkan keistimewaannya, mereka mungkin akan menjadi terlalu
tertekan dan letih untuk menyerlah. Beri galakan tetapi jangan memberi
tekanan.
7- Wujudkan harapan yang tinggi tetapi realistik.
8- Kongsikan pengalaman pekerjaan anda. Dedahkan gambaran kejayaan
kepada anak anda dengan membawanya ke tempat anda bekerja. Biarkan anak
anda melihat anda melakukan aktiviti yang bermakna dan benarkan dia
terlibat dalam aktiviti tersebut.
9- Wujudkan persekitaran yang kaya dengan rangsangan deria. Sediakan
bahan-bahan di rumah yang boleh menggalakkan perkembangan deria
pendengaran, sentuhan, penglihatan, rasa dan bau. Contohnya adalah
seperti cat jari, boneka tangan dan alat-alat bunyian.
10- Kekalkan semangat dan minat anda terhadap ilmu dan pendidikan kerana ia akan menjadi teladan baik kepada anak anda.
11- Jangan memanggil atau melabel anak anda dengan sesuatu panggilan
atau label yang negatif kerana ia akan menghadkan keazamannya untuk
mengembangkan keistimewaan dalamannya.
12. Adakan aktiviti permainan bersama sekeluarga.
13. Wujudkan masa sekeluarga yang tetap untuk membaca, berhibur dan berbincang bersama-sama.
14.- Sediakan bahan-bahan rujukan untuk anak anda menjelajah dunia ini.
15- Benarkan anak anda mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti yang ia minati.
16. Gunakan senda-gurau, jenaka dan cerita rekaan untuk menggalakkan kreativiti mereka.
17. Jangan cepat mengkritik atau menghakimi perkara yang anak anda
lakukan. Ia mungkin akan berputus asa untuk mengembangkan bakatnya.
18. Bermainlah dengan anak anda untuk menunjukkan sifat periang anda.
19.Berkongsilah kejayaan bersama keluarga. Adakan sesi berbincang
berkenaan perkara baik yang terjadi setiap hari untuk meningkatkan
keyakinan diri
20. Bekalkan anak anda dengan kemudahan komputer di rumah atau sekolah.
21.Dengar dengan teliti perkataan anak anda. Perkara yang ia paling
ambil berat mungkin memberi petunjuk kepada bakat istimewanya.
22 – Berikan anak anda kawasan khas di rumah untuk melakukan aktiviti kreatifnya.
23
- Pujilah sikap tanggungjawabnya apabila ia berjaya melengkapkan kerja di rumah yang diberikan.
24- Adakan lawatan sekeluarga ke tempat-tempat baru.
25- Berikan anak anda permainan yang terbuka (cara bermain yang tidak
mempunyai had). Mainan seperti blok (Lego dsb.) dan boneka menggalakkan
imiginasi.
26- Berikan anak anda masa bebas untuk berfikir dan berangan-angan tentang masa depan.
27-Berkongsilah kisah-kisah inspirasi tentang orang-orang yang telah berjaya dalam masyarakat.
28. Elakkan merasuah anak anda untuk belajar. Berbuat demikian akan
memberi mesej bahawa pembelajaran itu bukan sesuatu yang memberi
kepuasan sendiri.
29. Cadangkan anak anda untuk menyertai perkumpulan yang memfokus pada bakat semulajadinya.
30. Bincangkan berita-berita semasa untuk mencetus minatnya.
31. Jangan terlalu tonjolkan perbezaan peranan umum dari segi
jantina. Dedahkan anak anda dengan kedua-dua mainan dan aktiviti untuk
lelaki dan perempuan.
32.
Elakkan membanding anak anda dengan orang lain. Bantu anak anda membandingkan dirinya dengan pencapaian lampaunya sendiri.
33. Jadilah ibu atau bapa yang anak anda boleh bergantung, meluah perasaan dan berbincang.
34. Gunakan acara dan institusi komuniti untuk menghidupkan minatnya.
Selalulah membuat lawatan ke perpustakaan, muzium, pameran dan
sebagainya.
35. Berikan hadiah yang boleh menyuburkan kekuatan bakat anak anda.
36. Galakkan anak anda untuk berfikir tentang masa depannya. Sokong
cita-citanya tanpa memaksanya untuk menjurus kepada bidang-bidang yang
terlalu spesifik.
37. Perkenalkan anak anda kepada orang yang berperwatakan menarik dan hebat.
38. Jadikan rumah anda sebagai tempat belajar. Contohnya, dapur boleh
dijadikan tempat belajar matematik dan sains melalui aktiviti memasak.
39.
Kongsi perasaan. Bakat anak anda mungkin terus dipendam jika emosinya tertekan.
40. Galakkan anak anda membaca.
41. Hargai hasil-hasil ciptaan dan rekaan anak anda.
42. Adakan aktiviti bersama-sama anak anda di dalam bidang-bidang yang ia minati.
(Artikel asal 42 Cara Mencungkil Keistimewaan &
Kepintaran Anak Anda ini ditulis oleh Thomas Amstrong, Phd. Diterbitkan oleh
majalah Family Circle, February 2, 1993. Terjemahan dan olahan oleh S.Anuar)