Tuesday, May 24, 2011

Ibu Bapa ku Kawan Karib ku


Sekadar perkongsian , ummi dapat daripada blog di bawah :

http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/2243-ibu-bapa-ku-kawan-karib-ku.html

Jika anak anda mempunyai masalah, siapakah orang pertama yang dia akan jumpa?
Adakah anak anda selesa menceritakan masalahnya kepada anda?
Atau, dia lebih selesa menceritakan kepada kawan-kawannya?
Siapakah pula orang pertama yang dia akan ceritakan perasaan gembiranya?
Andakah selaku ibu bapa atau kawan-kawannya?

Persoalan ini adalah antara yang kami selalu tanya pada diri sendiri bagi mengukur tahap penerimaan anak-anak terhadap kami selaku ibu bapa. Buat masa ini Farhah dan Muslih masih belum mencapai usia remaja. Bila mereka mencecah umur belasan tahun, persoalan-persoalan di atas perlu menjadi persoalan harian, agar kami tidak leka dalam memahami gelodak perasaan mereka.

Bagi anak-anak, terutamanyanya remaja, 'kawan' ertinya orang yang rapat dalam hidupnya. Orang yang boleh memahami apa yang dirasainya. Menjiwai kegemaran dan kebenciannya. Bermain dengan permainan yang sama. Bercakap dengan bahasa yang sama. Boleh diajak bersembang panjang dan boleh keluar bersiar-siar bersama-sama.

Tidak dinafikan rakan atau kawan sebaya mempunyai pengaruh besar dalam diri anak-anak. Fitrah manusia terdorong untuk mendekati mereka yang seusia untuk sama-sama bermain dan berbicara. Lantas, pengaruh rakan sebaya ini amat besar dalam menentukan perangai, pemikiran dan minat anak-anak.

Ibu bapa sebagai kawan karib

Namun, hakikat ini tidak pula menafikan kemampuan ibu bapa untuk menjadi 'kawan' karib kepada anak-anak. Bapa contohnya boleh menjadi kawan karib anak lelakinya. Ibu pula menjadi kawan karib anak perempuannya. Menjadi kawan kepada anak tidak bermakna status bapa tergadai. Bahkan kedudukannnya sebagai bapa akan lebih mantap. Menjadi kawan kepada anak, tidak akan menghilangkan penghormatan seorang anak kepada ayah atau ibunya, bahkan jika kena caranya, penghormatan itu akan berganda-ganda.

Namun begitu, menjadi kawan karib kepada anak bukanlah suatu yang mudah. Sebagai 'kawan', ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada anak, dan secara tidak langsung anak itu pula akan memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapanya.

Sebagai 'kawan' juga ibu bapa perlu mewujudkan keserasian antara satu sama lain. Di sini, ibu bapa perlu menjiwai minat dan kecenderungan remaja. Sebaik-baiknya ibu bapa terlibat sedikit sebanyak dengan aktiviti keremajaan yang digemari anak-anak. Pengetahuan tentang perkembangan semasa yang diikuti para kanak-kanak dan remaja juga perlu diketahui. Bahasa 'slanga' ala remaja juga perlu diselit dalam perbualan agar mereka rasa selesa dan yakin dengan ibu bapa.

Ibu bapa perlu memahami bahawa mendekati anak-anak menggunakan pendekatan remaja dan kanak-kanak merupakan salah satu uslub dakwah yang berkesan. Rasulullah SAW sendiri berbicara dengan manusia berdasarkan tahap pemikiran dan umur mereka.

Memimpin kawan

Ibu bapa yang menjadi pendakwah kepada anaknya perlu juga menggalakkan anaknya menjadi pendakwah kepada kawan-kawannya. Selain dari berkawan dengan anak-anak ibu bapa juga perlu sentiasa mendorong anak-anak untuk menjadi ejen perubah. Anak-anak perlu digalakkan untuk menjadi orang yang mampu mempengaruhi kawan, bukannya mudah terpengaruh dengan kawan, terutamanya jika kawan itu mengajak kepada kebobrokan.

Tegasnya, anak yang cemerlang bukan sahaja memilih kawan yang baik, bahkan mampu membawa kawan-kawannya menjadi lebih baik dan hebat. Betapa besar pahala ibu bapa mampu melahirkan anak-anak yang dapat membimbing rakan sebaya ke arah kebaikan. Anak-anak seperti ini bukan sahaja menyejukkan mata ibu bahkan juga dapat menjadi pemimpin ummah suatu hari nanti.

Selamat berusaha mendidik anak-anak... Insyaallah balasan dari Allah menanti kalian.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...