Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan 1432 @ 2011

Cepat betul masa berlalu , hari ni dah masuk 17 Ramadhan 1432...

Yang paling menyeronokkan ialah anak ummi yang nama Hafiz tu dah pandai sebut Ummi...ummik...abiii...abii...hehehe....kerap panggil ulang kali pulak tu... yang si abang pulak..dah banyak lah perkataan yang dia pandai sebut...bak kata abi, dah pandai cakap.. demand pun macam-macam..hehe

Selalunya untuk berbuka puasa...tiap hari makan mee...yang bertukar-tukar menu...kadang ada cucur, kadang ada ABC.... dah ummi sangat bangga kerana tahun ni baru 3 kali lah ummi jejak kaki ke Bazaar Ramadhan....sesekali ada juga beli yang orang jual kat kampung....tapi banyak yang ummi masak sendiri lah....

Masa buka puasa tu yang paling excited ialah anak-anak ummi...kalah orang puasa ok... Abrisam selalu juga lah ikut abi buka puasa kat surau..kadang sampai terawih...dia tak delah solat..sakat orang je lebih..

Nasi selalunya makan masa sahur je....adakalanya anak2 ummi JOIN sekali sahur...






Wednesday, August 3, 2011

Dosa Kita Mengatasi Kesalahan Anak-anak

Sumber :Saifulislam.Com


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” [al-Tahrim 66 : 6]

Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala sejadah dan matanya berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.

Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah menghamburkan air mata takutkan ‘kemarahan’ saya. Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya. Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan mereka?

Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak menyesal menjadi ‘suri rumah’ selama beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara distance learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.

Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan. Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik.

Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang bersama sambil menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik, makan petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut sama.

Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di South Circular Road, Dublin.

Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya. Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih menghiris rasa.

Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak-anak semakin meruncing.

Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim luruh.

“Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia”, saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.


Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau. Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis “OMER”. Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan berkata, “my father is a Moslem!”

Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, “apakah selamat anakku membesar di Malaysia?”

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.

“Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!”, saya boleh menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan anak-anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah…

Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anaknya. Bukan suatu yang mudah untuk seorang American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.

Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.

Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar ‘sejuk’, kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap mereka.

Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.

Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?

Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad’u pertama saya.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.

Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!

ABUSAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras

Tuesday, August 2, 2011

Cara Melatih Anak Berpuasa

by : Ibubapa Cemerlang...

Ramadan tiba lagi. Lebih mengujakan, tahun ini akan ada anak kecil kita mula belajar berpuasa!

Namun, melatih si kecil berpuasa tidak boleh dilakukan secara paksa. Perlu dilakukan secara berperingkat kerana anak kecil belum memiliki kewajiban berpuasa penuh . Beberapa cara yang boleh membantu dalam melatih si kecil berpuasa. Semoga Allah s.w.t memudahkan niat ibu bapa untuk mendidik anak supaya turut berpuasa. Jika sukar mendidiknya jangan putus asa. Sesungguhnya Allah s.w.t dekat dengan hamba-Nya yang bertaqwa.

1. Memberi pemahaman tentang kepentingan Ramadhan. Seeloknya dilakukan sebelum tiba bulan Ramadhan lagi. Gunakan kata-kata yang jelas intonasinya, lembat lembut gaya pujuk, dan menggunakan bahasa yang sederhana sesuai dengan umur anak. Jelaskan apa itu puasa, bila waktunya untuk berpuasa, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berpuasa. Insy...akan timbul niat dalam diri anak bila tibanya Ramadhan.

2. Sambutlah bulan Ramadan dengan wajah yang berseri-seri dan penuh ceria. Anak pasti akan bersemangat untuk berpuasa dan akan dipraktikkan dengan mudah hingga mereka meningkat dewasa.

3. Menetapkan waktu tidur anak bagi memudahkan mereka bangun sahur.

4. Tidak meletakkan makanan mahupun minuman secara terbuka di hadapan mereka. Letak jauh daripada perhatian anak.

5. Seeloknya jauhkan anak daripada bergaul dengan kawan-kawannya yang malas berpuasa sebaliknya galakkan anak bergaul dengan kawan-kawannya yang rajin berpuasa.

6. Menjanjikan hadiah sebagai rangsangan. Di samping penghargaan dan pujian sebagai anak yang sabar, hadiah berupa peralatan pembelajaran boleh juga diberikan.

7. Beritahu tentang pahala dan syurga Allah s.w.t. kepada anak. Mereka pasti akan merasa seronok sekaligus dapat berbakti kepada kedua ibu bapanya.

8. Memberi alternatif pengisian waktu yang tepat dan positif. Contohnya, waktu tidur atau memberi permainan yang mendidik agar anak lupa dengan rasa haus dan lapar. Ibu bapa juga boleh mengajaknya mengaji Al Quran bersama sama dan membacakan kisah-kisah teladan para Nabi dan Rasul.

9. Mengajak anak menyemarakkan syiar Islam seperti solat terawih berjemaah di masjid, mengaji dan mengkaji Al Quran dan sebagainya.

10. Mula lah mengajar anak berpuasa di bulan Ramadhan dari umur seawal mungkin. Perhatian yang berterusan dengan pengendalian yang bijak dapat mencambahkan kesedaran serta minat anak untuk berpuasa. Mendidik anak2 adalah satu tanggungjawab. Kesedaran anak dalam bab berpuasa merupakan tabungan ibadah bagi kita sebagai ibu bapa yang telah mendidik mereka dengan cara yang sewajarnya.

Selamat mencuba.

Lupakan Kelemahannya, Fokuskan Kekuatannya



Setiap manusia mempunyai kelemahannya tersendiri. Ini kerana, "lemah" adalah salah satu sifat makhluk, dan manusia juga adalah salah satu makhluk ciptaan Allah. Tiada seorang manusia pun yang sempurna, sehingga tiada satu pun cacat cela pada sifatnya.

Begitulah juga dengan anak kita.

Ada anak yang ditakdirkan lambat berjalan.

Ada juga anak yang mahu bercakap banyak, tetapi "pelat".

Ada juga anak yang sukar untuk makan, sehingga badannya kurus keding.

Ada juga anak yang dah diajar ABC atau alif-ba-ta beribu kali, tapi masih belum dapat mengingati.

Kelemahan itu adalah perkara yang biasa bagi seorang manusia. Jangankan anak, kita juga ada kelemahan diri. Tetapi Allah swt tidak pernah memandang kelemahan-kelemahan fizikal ini untuk memilih siapakah hamba-Nya yang wajar dicintai.

Nabi Musa a.s adalah seorang yang gagap. Tetapi, Baginda adalah salah seorang kekasih Allah. Allah swt sangat menyayangi Nabi Musa a.s sehinggakan Allah swt telah menyelamatkan seorang tentera Firaun bernama Jalut daripada lemas di lautan, kerana Jalut ini adalah badut Firaun yang suka meniru gaya Nabi Musa a.s bercakap gagap. Allah swt suka pada Jalut, kerana dia meniru perbuatan kekasihnya.

Bilal bin Rabah r.a adalah seorang hamba yang berkulit hitam. Bukan setakat hitam biasa, malah hitam berkilat. Tetapi, Allah swt sayang padanya. Allah swt telah muliakannya, sehinggakan suara azannya dapat didengari bukan sahaja oleh penduduk bumi, malah, oleh penduduk langit juga. Padahal, (ada riwayat yang mengatakan), suara Bilal bukanlah sedap, ramai lagi sahabat yang bersuara lebih lunak daripada Bilal.

Kisah-kisah ini membuktikan bahawa, kelemahan-kelemahan fizikal sama sekali tidak dapat mengurangkan kasih sayang Allah swt pada seseorang. Betapa Rahimnya Allah swt, apabila Dia menyayangi seseorang, Dia akan menyayangi kesemua yang ada pada orang itu, walaupun sesuatu yang dianggap sebagai kelemahan. Sekiranya Allah swt yang Maha Sempurna boleh menyayangi seseorang ke tahap itu, apatah lagi kita, hamba-Nya yang sangat lemah lagi hina.

Adakalanya, bila kita melihat kepetahan dan kepandaian anak orang lain, kita berasa rendah diri dan malu dengan kelemahan anak kita. Sebenarnya, kita tidak perlu berasa begitu. Anak kita hanya mempunyai satu atau dua kelemahan sahaja, banyak lagi kekuatan yang ada dalam dirinya. Mengapa kita harus memandang pada kelemahannya sahaja, lihatlah pada kekuatannya.

Mungkin anak kita tidak sepetah anak orang lain, tetapi dia ada kelebihan di tempat lain. Dia suka tersenyum, dia pandai membantu ibubapa, dia suka mengemas biliknya, dia tidak pernah mengherdik orang, dia tidak memanggil orang dengan nama-nama yang tidak disukai, dan bermacam-macam lagi.

Sebagai ibu bapa, seharusnya kita fokus dan usahakan atas kekuatan yang Allah swt telah berikan kepada anak kita. Lupakan kelemahannya. Jangan sesekali mentertawakan kelemahannya, menyebut-nyebut kelemahannya di hadapan orang lain, memarahinya kerana kelemahan tersebut. Kerana ia akan menjadikan anak kita hilang keyakinan diri, padahal dia ada banyak kelebihan yang lain. Jadi, mari kita lupakan, lupakan dan lupakan kelemahannya.

Apabila ibu bapa fokus untuk menghargai dan membina kelebihan yang ada pada anaknya (peluk cium anak selalu, beri penghargaan buatnya, motivasikan dirinya, beri tunjuk ajar dengan sabar, selalu mendoakannya),maka anak itu akan menjadi lebih berkeyakinan dan lebih cemerlang, sehinggakan kelemahan yang ada padanya terus lenyap . Kerana apa? kerana kita hanya memandang pada kekuatan dirinya SAHAJA.

Tiada kelemahan yang harus kita risaukan, melainkan seandainya anak kita tidak mempunyai iman dan amal (nauzubillahiminzaalik). Seandainya dia telah mempunyai iman dan yakin yang kuat pada Allah swt dan beramal mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, maka dia sudah pun berjaya di dunia dan di akhirat.

- Artikel iluvislam.com

Mendidik Anak - Hargai Dengan Pujian & Kasih Sayang.



by : IBUBAPA CEMERLANG

Anak adalah anugerah, ujian dan amanah kepada ibu bapanya. Tiada yang lebih berharga dalam kehidupan suami isteri selain dikurniakan dengan anak2 yang sihat, cerdik, cergas dan cerdas. Selain itu, pastinya setiap pasangan menginginkan anak yang bersahsiah baik dan berakhlak mulia. Tetapi adakah peribadi dan akhlak mulia anak terjadi dengan sendirinya atau memerlukan kepada asuhan serta didikan yang terpuji daripada ibu bapa?

Anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapa lah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Ibu bapa lah yang akan menentukan sama ada anak `menjadi' atau tidak. Dalam proses mendidik anak,ibu bapa perlu menekankan konsep kasih sayang, penghormatan dan ketegasan. Ini penting agar keperluan fitrah, potensi diri dan nilai2 mulia dapat dibangunkan dalam jiwa anak.

Sekumpulan pakar pendidikan kanak2 dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa dalam budaya Timur, khususnya masyarakat Melayu, amat jarang memberi pengiktirafan sama ada berbentuk pujian, kata2 perangsang, perhatian, penghargaan atau ganjaran dalam bentuk hadiah diberikan kepada anak2 apabila mereka melakukan perkara yang baik. Para ibu bapa juga biasanya kurang atau tidak memberi pujian kepada anak-anak terutamanya anak yang sudah bersekolah atau anak remaja. Malah sesetengah ibu bapa berasa malu dan kekok untuk memaklumkan penghargaan atau pujian kepada anak mereka.

Namun, apabila anak melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan, dengan mudah ibu bapa memarahi, meninggikan suara, menghukum, memukul, merotan atau mendenda anak tersebut tanpa menjelaskan apa kesalahan mereka atau menasihati mereka dengan penuh hikmah serta belaian kasih sayang agar anak tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.

Secara idealnya, seseorang anak haruslah dibesarkan dengan pengaruh positif, iaitu dengan melebihkan ganjaran (kata-kata pujian, perangsang, penghargaan atau hadiah) daripada hukuman (memarahi, mengherdik, mendenda atau memukul). Perlu dijelaskan bahawa mendenda, memukul atau merotan anak ada kalanya perlu kita laksanakan, terutamanya apabila anak-anak melakukan perkara yang melampaui had atau melanggar perintah syariat seperti meninggalkan solat.

Sebenarnya perwatakan atau personaliti anak-anak banyak bergantung kepada jenis pendedahan yang mereka terima sama ada berunsur positif atau negatif. Setiap pendedahan ini akan tertanam di dalam minda mereka sebagai pembelajaran masa lampau.

Inilah antara faktor utama yang membentuk keperibadian, pemikiran, tindak-tanduk serta nilai yang akan dibawa oleh anak itu. Oleh sebab itulah, lazimnya kita mendapati jikalau sesebuah keluarga itu bermasalah, maka ia akan melahirkan anak-anak yang bermasalah pula.

Bagaimanakah ibu bapa ingin melahirkan anak-anak yang cemerlang sedangkan mereka sendiripun tidak secemerlang mana tentang ilmu-ilmu keibubapaan? Jangan salahkan anak-anak sekiranya mereka bersikap pasif, memberontak serta merasakan diri mereka tidak diberikan perhatian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...