Tuesday, August 2, 2011

Mendidik Anak - Hargai Dengan Pujian & Kasih Sayang.



by : IBUBAPA CEMERLANG

Anak adalah anugerah, ujian dan amanah kepada ibu bapanya. Tiada yang lebih berharga dalam kehidupan suami isteri selain dikurniakan dengan anak2 yang sihat, cerdik, cergas dan cerdas. Selain itu, pastinya setiap pasangan menginginkan anak yang bersahsiah baik dan berakhlak mulia. Tetapi adakah peribadi dan akhlak mulia anak terjadi dengan sendirinya atau memerlukan kepada asuhan serta didikan yang terpuji daripada ibu bapa?

Anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapa lah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Ibu bapa lah yang akan menentukan sama ada anak `menjadi' atau tidak. Dalam proses mendidik anak,ibu bapa perlu menekankan konsep kasih sayang, penghormatan dan ketegasan. Ini penting agar keperluan fitrah, potensi diri dan nilai2 mulia dapat dibangunkan dalam jiwa anak.

Sekumpulan pakar pendidikan kanak2 dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa dalam budaya Timur, khususnya masyarakat Melayu, amat jarang memberi pengiktirafan sama ada berbentuk pujian, kata2 perangsang, perhatian, penghargaan atau ganjaran dalam bentuk hadiah diberikan kepada anak2 apabila mereka melakukan perkara yang baik. Para ibu bapa juga biasanya kurang atau tidak memberi pujian kepada anak-anak terutamanya anak yang sudah bersekolah atau anak remaja. Malah sesetengah ibu bapa berasa malu dan kekok untuk memaklumkan penghargaan atau pujian kepada anak mereka.

Namun, apabila anak melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan, dengan mudah ibu bapa memarahi, meninggikan suara, menghukum, memukul, merotan atau mendenda anak tersebut tanpa menjelaskan apa kesalahan mereka atau menasihati mereka dengan penuh hikmah serta belaian kasih sayang agar anak tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.

Secara idealnya, seseorang anak haruslah dibesarkan dengan pengaruh positif, iaitu dengan melebihkan ganjaran (kata-kata pujian, perangsang, penghargaan atau hadiah) daripada hukuman (memarahi, mengherdik, mendenda atau memukul). Perlu dijelaskan bahawa mendenda, memukul atau merotan anak ada kalanya perlu kita laksanakan, terutamanya apabila anak-anak melakukan perkara yang melampaui had atau melanggar perintah syariat seperti meninggalkan solat.

Sebenarnya perwatakan atau personaliti anak-anak banyak bergantung kepada jenis pendedahan yang mereka terima sama ada berunsur positif atau negatif. Setiap pendedahan ini akan tertanam di dalam minda mereka sebagai pembelajaran masa lampau.

Inilah antara faktor utama yang membentuk keperibadian, pemikiran, tindak-tanduk serta nilai yang akan dibawa oleh anak itu. Oleh sebab itulah, lazimnya kita mendapati jikalau sesebuah keluarga itu bermasalah, maka ia akan melahirkan anak-anak yang bermasalah pula.

Bagaimanakah ibu bapa ingin melahirkan anak-anak yang cemerlang sedangkan mereka sendiripun tidak secemerlang mana tentang ilmu-ilmu keibubapaan? Jangan salahkan anak-anak sekiranya mereka bersikap pasif, memberontak serta merasakan diri mereka tidak diberikan perhatian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...