Tuesday, November 27, 2012

Sambung Tips Untuk Kurangkan Marah

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Tuesday, May 31, 2011 at 11:32pm ·
Pengakuan Seorang Ibu

Saya masih teringat semasa keempat-empat orang anak saya masih kecil. Saya selalu berduka, tidak gembira, suka marah-marah, dan senantiasa berasa tertekan dengan perasaan rendah diri. Saya benci akan hidup saya. Saya merasakan saya dipandang rendah kerana saya bukannya wanita yang mempunyai karier atau pekerjaan, tetapi hanyalah seorang suri rumah tangga. Itulah yang saya rasa; sama ada itu benar atau sebaliknya. Namun, itulah kebenarannya kepada saya pada ketika itu.

Saya sering mengalami masalah untuk mengendalikan anak-anak saya, terutamanya anak kedua saya. Anak-anak saya yang lain tidak begitu memberikan masalah. Apabila saya fikirkan kembali, saya berpendapat bahawa saya telah melepaskan kekecewaan saya kepada mereka. Anak kedua saya sering marah dengan tiba-tiba dan bersifat panas baran. Dia tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain dan tidak menghargai dirinya. Ketika dia marah, cuma ayahnya sahaja yang dapat menenteramkannya. Kadangkala saya terpaksa menghubungi suami saya ketika di tempat kerja dan dia akan menenteramkan anak saya melalui telefon.

Suatu hari suatu perkara telah berlaku dan perkara ini telah menyedarkan saya. Saya dipaksa melihat jauh ke dalam diri saya; dengan belas ihsan Tuhan Yang Maha Kuasa. Saya mula sedar apa yang saya lakukan akan membuatkan anak-anak saya sengsara, dan seterusnya saya sendiri akan lebih sengsara lagi. Saya ingin membesarkan anak-anak yang memiliki cita-cita tinggi dan mempunyai semangat yang kental. Saya mahu mendidik mereka menjadi anak-anak yang berfungsi sepenuhnya sebagai individu yang bijak. Pada hakikatnya, itulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga. Namun begitu, saya telah melakukan perkara yang sebaliknya. Saya merosakkan hidup mereka.

Saya melihat diri saya sedalam-dalamnya. Apakah perkara yang perlu saya ubah untuk membolehkan keadaan menjadi lebih baik untuk semua orang? Perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah memaafkan diri saya. Kemudian, saya memaafkan mereka yang mencemuh dan memandang rendah kepada saya. Langkah yang selanjutnya ialah memohon kemaafan daripada anak-anak saya, terutama anak kedua saya. Mereka memaafkan saya dengan rela hati tanpa rasa dendam dan marah.

Saya dapat menghapuskan sikap negatif itu secara perlahan-lahan. Saya mula membaca banyak buku mengenai cara membantu diri, mengambil kursus dari rumah mengenai psikologi anak-anak serta menghadiri seminar, dan juga kursus untuk mengukuhkan motivasi dalaman saya. Matlamat saya sungguh nyata. Saya mahukan anak-anak boleh bergantung pada saya dan berasa selamat apabila bersama saya. Saya mahukan keluarga yang bahagia dan memberikan contoh yang baik kepada orang lain.

Saya melihat anak-anak saya semakin meningkat remaja, terutamanya anak kedua saya. Keyakinan diri mereka bertambah baik dan anak kedua saya mula mempunyai lebih ramai kawan. Sikap panas barannya telah hilang. Saya sedar saya berada pada landasan yang betul apabila dia dilantik sebagai pengawas sekolah. Dua tahun kemudian, dia dipilih sebagai pelajar terbaik di sekolahnya. Kini, dia merupakan seorang gadis yang berusia 24 tahun, yang sungguh bertanggungjawab dan mengambil berat tentang keluarganya serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Dia berusaha dengan sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dalam segala hal yang dilakukannya. Dia memberikan keutamaan kepada keluarga dan dalam segala hal dia ialah seorang gadis yang periang dan bersemangat tinggi. Saya menyayanginya dan saya sayangkan kelima-lima orang anak saya. Hari semasa saya mengambil keputusan untuk berubah ialah hari yang membebaskan kami semua daripada belenggu tenaga negatif.

Walaupun saya mempelajarinya melalui jalan yang sukar, saya berharap agar pengalaman saya akan menjadi panduan kepada anda semua. Jangan jadikan anak-anak kita seperti sebuah beg untuk kita melepaskan tumbukan (punching bag). Mereka bukan dilahirkan untuk kita melepaskan kekecewaan kita kepada mereka. Mereka dikurniakan kepada kita untuk mengingatkan kita tentang kehidupan kita telah dirahmati.

Jika kita terus menjadikan anak-anak kita seperti beg untuk kita melepaskan tumbukan, mereka akan berasa rendah diri, tiada motivasi, dan menjadi kanak-kanak yang penakut. Saya percaya ini bukanlah perkara yang anda mahukan.
(petikan daripada buku Membina Anak-anak Cemerlang)

Sebenarnya, saya sangat bangga dengan anda yang berusaha untuk memperbaiki diri dan mengurangkan volume kemarahan. Di bawah ini saya tambah beberapa lagi tips lagi yang mungkin boleh membantu anda.
Sebarkan kepada kawan-kawan anda yang mungkin sangat-sangat memerlukannya.

Tips tambahan - Mulai sekarang, jangan lagi fokus kepada kata-kata nak kurangkan marah. kerana bila kita fokus kepada perkataan marah, maka yang jadi ialah marah. Fokus kepada membina sabar. Katakan saya menjadi semakin sabar setiap hari. Bila anda lihat anda semakin sabar, tepuk bahu anda dan senyum kepada diri.
Bila anda berasa hendak marah. Katakan saya sayangkan anak-anak dan saya semakin sabar. Bayangkan air terjun yang menyamankan menyentuh kepala dan badan anda dan membasuh keluar kemarahan anda.
Kemudian, lihat apa yang lucu di dalam apa yang anak anda sedang buat, walaupun mungkin payah hendak mencari, namun, usahakan.

Tips tambahan yang paling mujarab - Baca Al-Fatihah tiupkan kepada dada anda sambil menarik nafas dan keluarkan panasnya tenaga marah di dalam diri anda. Hembuskan nafas melalui hidung dan juga mulut dan masukkan cahaya Al-fatihah ke dalam diri anda untuk mengisi tempat tenaga marah yang telah dikeluarkan melalui hembusan nafas tadi.

Teruskan usaha - Anda boleh melakukannya dan anda boleh berjaya! Anda seorang ibu /bapa yang hebat dan pengasih!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...