Wednesday, November 28, 2012

Betulkah Sayangkan anak tangan-tangankan?

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Saturday, February 4, 2012 at 12:19pm ·
Salam semua,

Setelah membaca artikel ini,  dan diminta untuk memberi pendapat, saya mengambil keputusan untuk memberi penerangan panjang lebar mengenai perkara ini kerana cara bagaimana penulisan artikel ini dibuat dan pointers yang diberikan pada pendapat saya boleh membawa kekeliruan mengenai topik memukul anak ini. Oleh itu saya tidak mahu menambahkan kekeliruan dengan menjawabnya ala kadar.
Dua perkara nyata yang disebut di dalam artikel ini ialah;
1) kajian yang dibuat di Amerika, didapati anak-anak yang dipukul sejak di bawah 7 tahun dan seterusnya didapati lebih berjaya daripada yang tidak dipukul langsung.
2) Namun anak-anak ini mudah bergaduh dan terlibat didalam pergaduhan.
Perkara yang samar di dalam artikel ini pula;
1)    Bagaimana sesi memukul itu dilakukan.
2)    Apa yang dimaksudkan dengan berjaya
3)    Bagaimana corak keibubapaan mereka yang berjaya dan tidak berjaya itu.
4)    Bagaimana pertalian anak-anak itu dengan ibu bapa mereka.

Di dalam keibubapaan, memukul, menghukum itu bukan suatu yang dilarang langsung. Dari pespektif Islam sendiri, anak-anak dibenarkan dipukul SETELAH mencapai usia 10 tahun dan tidak sebelum itu, apabila anak itu masih tidak mahu sembahyang. Namun, sebelum dipukul, anak itu perlu diberi amaran dan sebelum usia 10 tahun itu, terutamanya bermula usia 7 tahun itu usia mumayiz (tahu membezakan baik dengan buruk), barulah anak itu boleh dipukul secara fizikal.
Dalam melaksanakan hukuman itu pula, ibu bapa disuruh melakukannya dengan cara berhemah dimana tenaga yang mahu kita pamerkan dan bawa ketengah ialah tenaga kasih dan sayang serta hormat kepadanya. Kita melakukan hukuman itu kerana kita mahu dia tidak terus melakukan kesilapan itu, malah sebelum dipukul anak itu telah diberi kefahaman sejelas-jelasnya serta dia sendiri telah faham mengapa dia dihukum. Malah, memukul anak itu sendiri hanya boleh dilakukan sekiranya anak telah diberi 2 kali amaran sebelum itu serta didikan terhadap mengelakkan kesalahan itu telah diajar sejak kecil, terutamanya, sejak 7 tahun lagi.
Saya mengambil ini sebagai landasan dalam topik memukul anak-anak terhadap kesalahan yang lain. Oleh itu,  saya sangat-sangat tidak bersetuju dengan memukul anak-anak sebelum usia 7 tahun. Namun, sebelum usia itu, anak-anak perlu diberi hukuman terhadap kesalahan mereka, namun memukul bukanlah cara hukuman itu.
Sebenarnya ada rahsia besar di sini yang tidak diutarakan di dalam artikel itu. Iaitu mengapa anak-anak yang tidak dipukul itu tidak berjaya. Rahsianya ialah CORAK KEIBUBAPAAN.
Secara ringkas, saya nyatakan di sini, ada 4 corak keibubapaan;

1)    Keibubapaan Dominan

Jenis ibu bapa yang sebegini sering menetapkan suatu tahap yang tinggi dan sukar untuk digembirakan. Mereka meletakkan harapan yang tinggi, tetapi tidak memberikan sokongan yang cukup dan sering sibuk untuk bercakap dengan anak mereka. Mereka terlalu tegas dan terlalu meminta anak-anak mereka menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti tertentu. Walau bagaimanapun, oleh sebab komunikasi yang tidak baik, anak-anak mereka secara diam-diam membantah mereka atau dengan lebih tepat melakukan perkara yang dilarang. Anak-anak daripada ibu bapa yang sebegini sering berada dalam ketakutan. Mereka berada dalam ketakutan kerana dibebankan dengan permintaan-permintaan yang tinggi oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa yang sebegini sering meminta anak mereka mencapai kejayaan yang tertinggi dalam apa-apa sahaja bidang yang diceburi oleh anak mereka seperti sukan, aktiviti luar darjah, dan tentu sekali akademik. Anak-anak mereka mesti menjadi juara, tetapi segala pencapaian tidak dihargai. Ini menyebabkan anak-anak itu menjadi luluh hati dan suka bergaduh disebabkan kehampaan dan kemarahan yang banyak tersemat di dalam hati! Kesannya, DISASTER!

2) Bersikap Mengabaikan (Neglectful)

Jenis ibu bapa yang sebegini sangat kurang menunjukkan kasih sayang, sokongan, dan pengawasan terhadap anak-anak mereka. Mereka mempamerkan sikap tidak peduli, tidak matang serta cenderung untuk memukul anak-anak sekiranya anak-anak mereka mendesak dan merimaskan fikiran mereka. Mereka juga cenderung untuk mengasingkan diri daripada anak-anak mereka dengan cara menggunakan pembantu rumah atau baby sitter secara berlebihan dan sangat mementingkan aktiviti mereka sendiri. Anak-anak dipandang sebagai suatu gangguan dan beban, hanya perlu dilihat dan tidak perlu didengar pandangan mereka. Kesannya, DISASTER jua!

3) Bersikap Tidak Kisah/ Berlembut (Permissive)

Ibu bapa yang sebegini cenderung untuk memberikan kasih sayang sejati, memberikan sokongan, tetapi lemah dalam membentuk dan menguatkuasakan peraturan serta sempadan batas untuk anak-anak. Walaupun tujuan mereka murni, tetapi sikap berlembut mereka ini akan memberikan kesan yang negatif kepada anak-anak mereka. Sikap berlembut yang berlebihan menggalakkan perbuatan yang tidak diingini oleh anak-anak seperti membuli dan memukul anak-anak yang lain serta melakukan perbuatan-perbuatan lain yang negatif. Yang dipelajari oleh anak-anak ini ialah segala peraturan adalah tidak tegas dan boleh diputar belit untuk disesuaikan dengan diri mereka. Anak-anak yang sebegini membesar tanpa perlindungan dan tidak selamat dari segi disiplin kerana apa yang dirasakan oleh mereka, mereka menyandang dinding yang hanya nampak teguh (iaitu ibu bapa mereka), tetapi sebenarnya mudah ditumbangkan dan rapuh.
Wujudnya ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan begini adalah kerana mereka bimbang ketegasan akan memusnahkan anak-anak mereka. Walaupun ibu bapa yang sebegini nampaknya sungguh mesra dan memberikan sokongan dalam kehidupan anak-anak mereka, namun ini juga menyebabkan anak-anak mereka membesar dengan kurangnya rasa hormat pada diri dan ibu bapa. Sikap terlampau berlembut yang diamalkan oleh ibu bapa menyebabkan anak-anak itu tidak belajar tentang pengawalan diri. Mereka tidak mahir dalam mendisiplinkan diri dan berfikiran bahawa merekalah boleh mengatasi disiplin dan juga hukuman. Mereka merasakan mereka “bullet proof” terhadap hukuman terhadap kesalahan mereka. Contoh yang paling baik di dalam hal ini banyak berlaku di Amerika bagi ibu bapa yang mahu mereka dikenali sebagai ibu bapa yang ‘sporting’. Allahyarham P.Ramlee telah menunjukkan keburukan corak keibubapaan begini di dalam filem tersohor beliau, ‘Anakku Sazali’ ! Inilah yang dikatakan memanjakan anak.Kesannya – Disaster juga!!!!

4) Bersikap Penyayang dan Tegas (Loving And Firm)
Ibu bapa yang sebegini telah mendefinisikan kepada anak-anak mereka tentang erti peraturan, batas serta sempadan tahap tingkah laku dalam kehidupan secara amnya dengan jelas. Mereka melatih anak-anak mereka untuk memahami batas-batas ini dan memberikan amaran yang jelas apabila anak-anak mereka mencabuli had batasan itu. Namun, mereka ialah jenis ibu bapa yang memberikan galakan dan mempamerkan kasih sayang mereka dengan jelas. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan anak-anak mereka dan melakukan segala daya usaha untuk berkomunikasi dengan semua anak mereka.

Gaya keibubapaan yang sebegini ialah satu kaedah yang sihat dan seimbang antara gaya dominasi dan yang bersikap tidak kisah/berlembut. Anak-anak yang datang daripada keluarga begini biasanya mempunyai rasa hormat dan keyakinan diri yang tinggi serta menghormati peraturan, sama ada di sekolah, agama atau di mana-mana sahaja mereka berada. Bilangan mereka yang menderhaka adalah sedikit sekali.

Sebagai kesimpulannya, boleh dikatakan dua faktor yang paling penting ketika kita membesarkan anak-anak ialah:
-                Definisikan dan suarakanlah segala peraturan yang dibentuk di rumah dengan jelas supaya anak-anak kita faham bahawa mereka tidak boleh melanggarnya tanpa menerima akibatnya.
-                Pamerkan dan nyatakan kehangatan kasih sayang kepada setiap anak-anak kita dengan ikhlas di samping berikan bantuan dan galakan kepada mereka.
Membaca artikel yang diperkatakan tadi, apa yang nampak kepada saya ialah yang membuat penyelidikan dan yang membuat laporan tidak membawa ketengah corak keibubapaan itu. Artikel itu hanya mengatakan anak-anak yang dipukul lebih berjaya.

Apa yang kita juga perlu tahu, anak-anak memerlukan batas dan garis panduan. Ini memberi mereka rasa selamat dan kerana mereka merasakan terjaga. Bila semuanya dibenar melakukan, maka mereka merasakan tidak ada ‘dinding’ untuk mereka bersandar dan berasa selamat. Jadi ini yang menyebabkan anak-anak yang tidak diberi garispanduan dan tiada disiplin ini payah untuk berjaya. Contohnya, jika tidak pergi sekolahpun dibenarkan dan tidak melakukan tanggung-jawab pun dibenarkan, bagaimana anak-anak ini belajar bertanggung-jawab yang merupakan tunjang belakang kepada kejayaan?

Sememangnyalah, sekiranya, corak keibubapaan itu adalah yang Pengasih dan tegas seperti yang diperkatakan tadi, mendisiplin dan menghukum itu ada didalamnya. Namun, apa yang kita kena tumpukan ialah bagaimana ia dilaksanakan. Disiplin dan hukuman memberi anak-anak itu tahu bagaimana berinteraksi dengan manusia dan hidupan yang lain. Mereka belajar bertanggung-jawab terhadap apa yang mereka lakukan. Hukuman pula, memberi mereka kesedaran bahawa apa yang mereka lakukan dan pilihan yang mereka buat memberi kesan bukan sahaja kepada diri mereka malah kepada dunia.

Manakala kasih-sayang pula memberi mereka rasa selamat bahawa jika mereka tersilap, mereka tahu ada tempat untuk mereka pergi dan dipimpin untuk membetulkan kesilapan! Maka anak-anak yang dipukul melalui corak keibubapaan beginilah yang senang untuk berjaya dengan erti kejayaan yang sebnar. Kejayaan mereka membangunkan dunia dan tidaklah seperti mereka yang kononnya berjaya meraih banyak wang tetapi menyakitkan orang lain dan dunia.

Contoh paling besar ialah mereka yang menang dengan mendapat keuntungan yang besar untuk kilang mereka dengan tidak hirau akan pencemaran alam yang mereka lakukan atau penyeksaan manusia, flora dan fauna yang mereka buat demi untuk mereka meraih kejayaan. Jika mereka perlu membunuh, mereka akan membunuh.

Hati mereka telah hitam dipenuhi dengan dendam yang tegar hasil daripada hukuman yang dijalankan tanpa kasih-sayang oleh ibu bapa mereka semasa kecil mereka kecil. Cara hukuman yang itu dijalankan dengan penuh rasa benci dan dendam kepada anak itu. Maka itulah tenaga yang diterima oleh anak itu. Maka apabila dia sudah besar, dia menjadi  ‘a decision maker’ untuk keluarga atau di tempat kerja, apa yang dilakukan berbaur dengan dendam di dalam hatinya.

Kerana pendapat saya ditanya mengenai artikel itu. Maka jawapan saya, saya tidak setuju bagaimana ianya ditulis. Ianya boleh membawa keseronganan mengenai tajuk memukul ini dan meninggalkan kesan negatif kepada ramai ibu bapa yang kurang faham.
Namun, seperti penerangan panjang lebar yang telah saya berikan, saya setuju anak-anak boleh dipukul dan adakalanya perlu dipukul TETAPI kita mestilah tahu bila boleh melakukannya. Pada usia apa. Bagaimana untuk melakukannya. Apakah kesalahan yang membolehkan kita memukul. Sekuat mana kita memukul.
Garis panduan mengenai memukul atau lebih tepat mengenai HUKUMAN tidak kiralah memukul atau time-out atau apapun, kita mesti melihat kesannya, baik dekat atau jangka panjang.

Jika kesannya melahir anak-anak yang tidak berkeyakinan, maka time-out itu pun tidak ada baiknya, sama dengan memukul. Apa yang kita hendak daripada sesuatu hukuman, ialah anak-anak itu akan insaf dan sedar akan kesilapan. Dia akan mahu berusaha membetulkan diri. Dia lebih yakin dia dikasihi dan dia menggunakan hukuman itu untuk memberi dia garis panduan yang baik. Dia juga bertambah kasih kepada anda dan mahu berbakti serta berjaya didalam hidupnya untuk membawa perbezaan positif kepada dunia!

Sebagai kata mengakhiri penulisan panjang saya ini, saya berdoa dan merayu semua ibu bapa untuk mengambil tanggung-jawab terhadap keibubapaan kita. Apa sahaja yang diajar kepada kita, apa sahaja yang kit abaca, pastikan kita faham dan kita kaji kebenarannya. Bagi yang beragama Islam, lihatlah dalil dan bukti daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi, itulah yang terbaik. Pendapat orang, tetap pendapat orang, termasuklah pendapat saya boleh diketepikan. Namun, jika itu telah jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi, ianya tidak boleh kita sangkal lagi.

Saya mendoakan anda dan lebih ramai lagi ibu bapa yang akan terus diberi rahmah Allah, dapat memimpin keluarga dengan baik. Anak yang dididik dengan kasih sayang dan hormat serta wujudnya ketegasan juga di dalam keibubapaan itu, akan berjaya dengan  erti kata kejayaan yang sebenarnya. Semoga Allah memudahkan untuk kita.

Oleh kerana dunia ini tidak hanya dihuni oleh orang-orang Islam. Saya juga memanjangkan doa itu kepada mereka yang beragama selain daripada Islam. Kerana saya juga yakin bahawa di dalam agama masing-masing memang mengajar kita keibubapaan yang baik.
Mengapa saya memanjangkan doa itu? Kerana saya diberi kefahaman melalui perjalanan hidup saya, bahawa ‘Everything Rises and Falls on Parenting’. Bila parenting itu baik, maka generasi yang dilahirkan juga baik.
Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.
Salam Kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...