Tuesday, November 27, 2012

Menjawab Soalan Mengenai Mendisiplinkan Anak-anak.

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Thursday, January 5, 2012 at 1:42pm ·

Mendisiplinkan Anak-anak

Adakah kita benar-benar perlu mendiplinkan anak-anak? Adakah peraturan dan hukuman merupakan sesuatu yang baik dalam membesarkan anak-anak yang baik? Bagaimanakah anak-anak akan gembira sekiranya mereka terpaksa dibendung oleh peraturan? Anak-anak yang sering dirotan akan membesar menjadi seorang pembuli yang ganas. Oleh itu, mengapakah kita perlu merotan anak-anak kita? Biarkan mereka bebas!

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Sekiranya anda biasa menonton sebuah filem Melayu klasik arahan Tan Sri P. Ramlee yang bertajuk ‘Anakku Sazali’, anda akan dapat melihat betapa pentingnya membuat batas sempadan dan peraturan untuk anak-anak kita. Filem itu mengisahkan tentang seorang ayah yang terlalu sayangkan anak lelakinya, Sazali. Dia membesarkan Sazali sendirian setelah kematian isterinya. Pada pendapatnya, dengan memarahi, mengenakan batas dan sempadan serta peraturan dan hukuman adalah sesuatu yang tidak baik dalam mendidik anaknya malah dia juga memberikan apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh anaknya.

Sazali membesar tanpa mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang. Akhirnya dia menjadi penjenayah. Apabila dia sudah tidak dapat dikawal, bapanya cuba mengenakan kawalan dan peraturan terhadapnya. Malangnya, ia sudah terlambat. Selepas ditampar oleh bapanya, Sazali mengucapkan ungkapan berikut:

“Sekiranya ayah memukul saya ketika saya kecil dulu, saya tidak akan menjadi seperti ini…”


Mungkin ada antara kita mengatakan senario ini hanyalah sebuah filem. Walau bagaimanapun, renungkanlah, ia merupakan satu contoh yang baik bagi ibu bapa yang sering membiarkan anak-anak mereka. Anak-anak yang membesar tanpa disiplin, peraturan, dan batas sempadan sebenarnya membesar dalam dengan perasaan kurang selamat dan rasa dikasihi.   

Pada masa yang sama, saya tidak bersetuju dengan merotan atau apa-apa sahaja hukuman fizikal terhadap anak-anak sebelum umur yang sepatutnya yang belum lagi dapat membezakan antara perkara baik dan buruk. Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang ibu tentang hukuman fizikal terhadap anak-anak. Dia memberitahu saya bahawa anak kecilnya yang baru belajar berjalan itu suka mengamuk. Dia akan berguling di atas lantai dan menghantukkan kepalanya sekiranya ayah atau ibunya tidak memberikan benda yang dikehendaki olehnya. Mengikut kawan saya itu, dia atau suaminya akan memukul anaknya di pinggungnya dengan kuat dalam cubaan untuk mendisiplinkannya.

Saya berkongsi pendapat dengannya, bahawa anak-anak sekecil itu akan meradang secara tiba-tiba sekiranya dia berasa letih atau marahkan sesuatu. Kadang-kadang, dia berasa hampa kerana perasaannya tidak difahami. Pasti ada sesuatu perkara yang telah mengganggu emosinya.

Memukul anak-anak yang sekecil itu tidak akan dapat mendisiplinkannya. Pada hakikatnya, memukul dan hukuman fizikal bukanlah satu-satunya cara untuk mendisiplinkan anak-anak. Pada tahap umur mereka yang demikian, cara ini cuma akan mengelirukan anak-anak dan membuatkan mereka berasa tidak disayangi dan tidak diperlukan. Anak-anak kecil yang dibesarkan dengan perasaan yang sebegini akan menghadapi banyak masalah pada masa akan datang. Kawan saya telah mengakui bahawa anaknya telah mula mencubit dan menolak budak-budak lain di nursery di mana dia dihantar dan menjadi seorang anak yang payah untuk dikawal. Ini bukanlah yang kita mahukan, bukan?

Pengalaman Saya

Sekiranya anda merupakan ibu bapa yang masih muda, saya harap pengalaman saya akan membawa kebaikan kepada anda. Saya berkahwin ketika berumur 20 tahun dan suami saya berumur 21 tahun. Pada ketika itu, kami masih belajar di sebuah universiti di luar negara dan kami masih muda dan tidak berpengalaman. Kami telah dikurniakan empat orang anak dalam masa sesingkat lima tahun perkahwinan. Memang bukan mudah untuk belajar, di samping membesarkan anak-anak!

Saya mahu mendisiplinkan anak-anak saya supaya mereka akan menjadi seorang anak yang berakhlak mulia dan saya boleh berbangga dengan mereka. Pada ketika itu, sebagai seorang ibu muda, saya merasakan anak saya yang berusia 2 tahun telah cukup besar. Saya menegur dan memarahinya seperti dia sudah berumur 10 tahun. Itulah kesalahan saya yang pertama. Saya sering menjadi marah dan rasa terganggu dengan anak-anak saya, terutamanya apabila mereka mengamuk. Ketika itu, saya menjadi seorang ibu yang agak garang.

Suatu hari, saya terdengar kata-kata hikmat yang telah menukarkan pandangan saya, iaitu kata-kata yang datang daripada abang ipar yang saya hormati, Subkey. Dia sebenarnya menasihati kakak saya yang sedang memarahi anaknya yang baru berusia 5 tahun pada ketika itu. Katanya, “Ingatlah, umurnya tidak sampai satu per empat umur kita pun. Dia tidak mempunyai kebijaksanaan yang kita ada. Sekiranya dia tahu dan boleh berfikir seperti kita, dia tidak akan buat perkara-perkara seperti ini. Adalah tugas kita untuk memberikan tunjuk ajar kepadanya.” Saya tersentak dan terus menilai kembali cara saya mengendalikan kemarahan dan kehampaan saya sewaktu membesarkan anak-anak saya. Semenjak itu, saya berusaha dengan gigih untuk mengawal diri saya daripada terus menjerit dan menghukum mereka apabila mereka membuat kesalahan. Mengimbas kembali semua perkara itu, saya bersyukur kerana saya dapat menanam nasihat itu dalam hati saya walaupun kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya. Namun, begitulah Tuhan mengajar kita setiap hari.

Saya ingin menjelaskan bahawa anak anda masih kecil sekiranya dia masih di bawah umur 7 tahun. Anda perlu mendisiplinkan anak anda dan mendidiknya untuk mengenal perkara yang baik dan perkara yang buruk. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa didikan tersebut bukanlah dengan cara menjerit, berteriak atau memberikan hukuman fizikal.

Sekiranya anda perlu juga memukul dan menghukumnya demikian, jelaskan kepadanya tentang perbuatannya yang salah itu. Dia boleh mengubah perlakuannya yang buruknya itu dan menjadi orang yang mudah disayangi.

Janganlah meragut kepercayaan dirinya. Selepas dia dihukum dan dia telah memahami kesilapannya, dakaplah dia dan beritahu kepadanya bahawa dia disayangi. Tidak salah memberikan hukuman, tetapi amati dan amalkan cara ini. Kaedah yang betul akan mengukuhkan kasih sayang, tetapi cara yang salah akan melahirkan perasaan benci dan dendam yang seterusnya akan mencetuskan penyakit yang amat parah, iaitu tertutupnya pintu hati.

Enam Tahun Pertama

Enam tahun pertama dalam kehidupan anak kita umpama waktu kita menyemai benih. Sekiranya anda memberikan perhatian yang teliti untuk enam tahun pertama ini, maka percayalah enam tahun yang berikutnya dan tahun-tahun yang seterusnya, dia akan mudah diurus dan anda akan menerima ganjarannya. Oleh itu, ketika menyemai benih, inilah waktu anda menyemai dan menanam pengetahuan yang betul, nilai kehidupan, disiplin, tabiat, cara berfikir, dan kepercayaan tentang kehidupan.

Inilah masanya untuk anak anda merasakan dirinya sangat disayangi dan dilindungi. Didik dan berikan tunjuk ajar tentang perkara yang benar dan salah, peraturan, batasan, cara berfikir yang betul, tabiat, keyakinan dan sebagainya. Ini merupakan tahun-tahun asas bagi mereka. Sekiranya anda membinanya dengan kuat dan kukuh, anda akan memperoleh anak-anak yang memiliki keperibadian yang tinggi seperti yang diidamkan oleh semua ibu bapa.

Ramai ibu bapa mengabaikan enam tahun pertama ini dan membiarkan anak benih ini disemai dan dijaga oleh pembantu rumah atau orang lain kerana bagi mereka tidak banyak yang dapat difahami oleh anak sekecil ini. Mereka cuma akan memberikan lebih perhatian kepada anak-anak apabila anak-anak telah mula bersekolah. Namun, ketahuilah enam tahun pertama di dalam hidup anak itu sangat-sangat penting kerana itu adalah ‘foundation’.

Pada ketika itu, apa-apa yang tertanam di minda anak anda mungkin  kepercayaan-kepercayaan diri yang menyebabkan dia menjadi bengis, pemarah, dan tidak berkebolehan. Bayangkanlah bagaimanakah sikap anak ini apabila menghadapi cabaran-cabaran hidup pada masa hadapan?

Sesetengah ibu bapa bertanya kepada saya, “Bagaimanakah berkomunikasi dengan seorang anak kecil untuk memberitahunya tentang nilai-nilai kehidupan dan bentuk pemikiran yang baik?” Dengan mudah saya menjawab, “Bercakap dengan mereka.” Aktiviti seperti membaca dan bercerita, menonton kartun bersama, dan berkongsi tentang nilai-nilai yang baik dalam cerita kartun itu ataupun filem yang ditonton dengan mereka ialah cara yang baik. Bawa mereka berjalan-jalan di taman, pasar raya, dan kedai sambil berbual-bual dengan mereka. Bercakap dengan mereka apabila mereka bangun daripada tidur dan juga ketika mereka tidur. Minda luar kawal mereka boleh mendengar walaupun mereka sedang tidur dan anak-anak ketika umur ini mengalami pembelajaran secara tidak sedar. Ceritakan kisah orang-orang yang agung dan ternama serta individu yang telah mengatasi kesusahan-kesusahan dalam kehidupan dan kini telah mengecapi kejayaan kepada mereka.

Inilah masanya untuk anda menyemai dan menanam biji benih yang betul. Ketahuilah bahawa sebenarnya ada beribu-ribu cara dan jalan yang lain untuk anda lakukan. Ingatlah, jika anda tidak menyemai biji benih yang betul, orang lain mungkin akan menanam benih yang salah di minda anak anda.

Enam tahun yang berikutnya ialah waktu pembentukan tingkah laku dan tabiat. Pada usia tujuh tahun, seseorang anak akan berupaya membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Untuk orang-orang Islam, umur ini dipanggil mumayyiz. Inilah usianya di mana kanak-kanak dapat membezakan sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk. Tumpukan perhatian terhadap usaha untuk membentuk tabiat untuk berjaya dalam diri mereka. Terangkan sebab anda telah menyediakan batas sempadan dan peraturan untuk kehidupan mereka. Anak-anak ini akan faham dan sekiranya anda telah memberikan penerangan dengan baik kepada mereka, jangan terperanjat sekiranya mereka patuh kepada anda dengan rela hati.

Pada usia 10 tahun, anak-anak yang tidak mahu mendengar nasihat perlu ditegur dan sekiranya perlu bolehlah menggunakan merotan tetapi janganlah secara keterlaluan. Walau bagaimanapun, hendaklah diingatkan bahawa alasan dia dihukum adalah untuk memperbaiki tingkah lakunya yang salah; bukanlah kerana dendam, marah, benci atau sikap bengis kita. Sekiranya hukuman yang diberi tidak berupaya untuk mengikis tingkah laku yang salah itu, lihatlah kembali alasan di sebalik kelakuan itu.

Contohnya, anak-anak yang tidak mahu pergi ke sekolah dan dia dirotan serta dihukum. Walau bagaimanapun, setelah dihukum, dia masih ponteng sekolah. Cara yang mudah adalah dengan memberikan hukuman yang lebih keras. Ingatlah, suatu perbuatan yang tidak masuk akal ialah membuat perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Cara yang mungkin lebih bijak yang boleh anda lakukan ialah dapatkan sebab dan alasan utama dia tidak mahu pergi ke sekolah. Mungkin dia malas dan mungkin juga dia dibuli atau yang lebih parah, dia diperas ugut. Hukuman hanya akan memberi dia satu kepercayaan bahawa dia tidak dikasihi dan kita tidak lagi dipercayai oleh mereka untuk memberikan pertolongan.

Ada dalam kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa rotan untuk memotivasikan anak-anaknya untuk belajar dan mereka begitu berbangga kerana bersikap demikian. Menarik. Apakah pendapat saya? Apakah pula pendapat anda? Saya tidak percaya dengan memberikan motivasi yang menakutkan akan membantu anak-anak kita untuk cemerlang dalam pelajaran. Benar, ada tempat dan waktunya kita boleh mengenakan motivasi yang menakutkan, tetapi bukanlah dalam bidang ini.

Sekiranya anak anda berkemahuan untuk belajar, biarkan dia, kerana ini bererti telah wujud hasrat di hatinya untuk belajar. Bukan kerana takut dirotan. Jika takut dirotan ialah motivasinya, maka dia cuma akan menggunakan mindanya pada tahap yang paling rendah, iaitu minda reptilia. Bahagian minda ini bukan minda yang berfikir atau intelek. Bahagian minda ini ialah bahagian minda untuk menjaga perasaan selamat kita. Rotan itu akan mengancam perasaan selamat anak itu dan respon bahagian minda ini ialah lari atau lawan. Itulah yang kita lihat apabila anak-anak itu sukar untuk menerima ilmu yang diberi. Hal ini boleh diibaratkan seperti hendak memberi minum kepada orang yang dahaga, tetapi kita mencekik lehernya!

Undang-undang, batas sempadan, peraturan, dan hukuman adalah untuk kita boleh membina disiplin diri yang baik. Oleh itu jika semua itu tidak membina disiplin yang lebih baik di dalam diri sesaorang itu, maka hukuman, peraturan dan semua itu perlu diselidik kembali yang mana boleh digunapakai dan yang mana jangan sesekali dipraktikkan.

Salam Kasih

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...