Tuesday, November 27, 2012

Parenting Permissive Dan Loving & Firm

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Thursday, July 14, 2011 at 12:35pm ·
Bersikap Tidak Kisah/ Berlembut (Permissive)
Ibu bapa yang sebegini cenderung untuk memberikan kasih sayang sejati, memberikan sokongan, tetapi lemah dalam membentuk dan menguatkuasakan peraturan serta sempadan batas untuk anak-anak. Walaupun tujuan mereka murni, tetapi sikap berlembut mereka ini akan memberikan kesan yang negatif kepada anak-anak mereka. Sikap berlembut yang berlebihan menggalakkan perbuatan yang tidak diingini oleh anak-anak seperti membuli dan memukul anak-anak yang lain serta melakukan perbuatan-perbuatan lain yang negatif. Yang dipelajari oleh anak-anak ini ialah segala peraturan adalah tidak tegas dan boleh diputar belit untuk disesuaikan dengan diri mereka. Anak-anak yang sebegini membesar tanpa perlindungan dan tidak selamat dari segi disiplin kerana apa yang dirasakan oleh mereka, mereka menyandang dinding yang hanya nampak teguh (iaitu ibu bapa mereka), tetapi sebenarnya mudah ditumbangkan.

Wujudnya ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan begini adalah kerana mereka bimbang ketegasan akan memusnahkan anak-anak mereka. Walaupun ibu bapa yang sebegini nampaknya sungguh mesra dan memberikan sokongan dalam kehidupan anak-anak mereka, namun ini juga menyebabkan anak-anak mereka membesar dengan kurangnya rasa hormat pada diri. Sikap terlampau berlembut yang diamalkan oleh ibu bapa menyebabkan anak-anak itu belajar tentang pengawalan diri sangat sedikit dan mereka tidak mahir dalam mendisiplinkan diri dan berfikiran bahawa merekalah yang berkuasa.


Bersikap Penyayang dan Tegas (Loving And Firm)
Ibu bapa yang sebegini telah mendefinisikan kepada anak-anak mereka tentang erti peraturan, batas serta sempadan tahap tingkah laku dalam kehidupan secara amnya dengan jelas. Mereka melatih anak-anak mereka untuk memahami batas-batas ini dan memberikan amaran yang jelas apabila anak-anak mereka mencabuli had batasan itu. Namun, mereka ialah jenis ibu bapa yang memberikan galakan dan mempamerkan kasih sayang mereka dengan jelas. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan anak-anak mereka dan melakukan segala daya usaha untuk berkomunikasi dengan semua anak mereka.

Gaya keibubapaan yang sebegini ialah satu kaedah yang sihat dan seimbang antara gaya dominasi dan yang bersikap tidak kisah/berlembut. Anak-anak yang datang daripada keluarga begini biasanya mempunyai rasa hormat dan keyakinan diri yang tinggi serta menghormati peraturan, sama ada di sekolah, agama atau di mana-mana sahaja mereka berada. Bilangan mereka yang menderhaka adalah sedikit sekali.

Sebagai kesimpulannya, boleh dikatakan dua faktor yang paling penting ketika kita membesarkan anak-anak ialah:
-                Definisikan dan suarakanlah segala peraturan yang dibentuk di rumah dengan jelas supaya anak-anak kita faham bahawa mereka tidak boleh melanggarnya tanpa menerima akibatnya.
-                Pamerkan dan nyatakan kehangatan kasih sayang kepada setiap anak-anak kita dengan ikhlas di samping berikan bantuan dan galakan kepada mereka.

Dipetik daripada Buku Membina Anak-anak Cemerlang - Dr. Rozieta Shaary

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...