Tuesday, June 28, 2011

Pendidikan Anak Bermula dari Sebuah Keluarga


http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/pendidikan-anak-bermula-dari-sebuah-keluarga

Keluarga merupakan satu kilang “penghasilan biologi” yang terbentuk atas perkahwinan antara dua insan. Natijah perkahwinan, pada hakikatnya menghasilkan anak-anak. Dari sinilah keluarga menjadi satu kumpulan masyarakat di mana anak-anak mula berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain dan juga ibu bapa.

Biasanya perhubungan kanak-kanak dengan kedua ibu bapanya berlaku dalam lingkungan keluarga. Maka inilah yang dikatakan bahawa keluarga mempunyai tugas kemasyarakatan yang penting kerana keluargalah yang pertama sekali mencelup tingkah laku anak dengan celupan kemasyarakatan/sosial.

Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan keluarga ini belajar bagaimana dia hidup dan di dalam lingkungan itu juga ia matang dengan membentuk personalit, adat, kecenderungan dan tujuan hidupnya. Bagi memastikan anak-anak dapat hidup dan berkembang dengan baik, maka dalam sesebuah keluarga itu hendaklah mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di bawah ini;

1. Kanak-kanak merasai dirinya dikasihi. Tugas ini adalah tugas ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Pelaksanaan terhadap kehendak jiwa ini merupakan tiang utama bagi menguatkan ikatan kekeluargaan. Kanak-kanak yang hidup dalam lingkungan takut, benci atau sentiasa terdedah dengan kekerasan akan mudah terbentuk pada dirinya sikap permusuhan.

2. Keluarga adalah pentas pertama bagi anak-anak menyubur dan mengembangkan potensi-potensi mereka. Perlumbaan atau pertandingan-pertandingan yang dapat mencetus satu lonjakan pada anak sangatlah baik untuk perkembangannya. Namun, elok juga sekiranya ibu bapa tidak membiarkan kanak-kanak itu menghadapu perkara-perkara yang tidak difahaminya ataupun sukar untuk dilakukan supaya jiwanya tidak terdidik dengan perasaan putus asa.

3. Anak-anak mempelajari bagaimana jika hak-hak abang, kakak, adik atau ibubapanya tidak ditunaikan. Dalam perkara ini anak-anak belajar menghormati ahli keluarga yang lain, kaum kerabat juga penjaganya sekiranya ada

4. Dalam keluarga, kanak-kanak mempelajari dasar-dasar yang pertama untuk dia berjalan dalam masyarakat. Cuba lihat tingkah laku anak-anak, ada yang suka buat kerja tapi cakapnya kurang. Ada yang suka cakap lebih, kerja tak jalan pun, ada juga yang suka mengugut untuk mendapatkan sesuatu dan banyak lagi.

5. Dalam usia mentah ini, anak-anak membentuk pendiriannya dengan cara yang tidak disedari. Antaranya adalah pendiriannya terhadap kedua ibu bapa. Pada pandangan sesetngah anak, bapa ialah simbol bagi kekuasaan.

“Sekiranya pendirian-pendirian yang terbentuk semasa kecil itu adalah perasaan benci, maka ia akan membenci masyarakat umumnya. Begitu juga dengan jenayah-jenayah kanak-kanak itu pada asalnya berpunca daripada kebencian mereka terhadap kekuasaan.” (Flugel)

6. Ransangan dan kebiasaan dalam keluarga juga membentuk adat-adat atau cara hidup anak seperti makan, minum, cara berjalan dan bercakap, cara berbicara, mandi, tidur dan sebagainya.

7. Dalam keluarga, anak-anak mempelajari kepercayaan-kepercayaan, ketakutan-ketakutan, pemikiran-pemikiran.

Maka, perhalusilah setiap perkara ini dan bertindaklah membentuk keluarga yang positif, berkasih sayang dan harmoni. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...