Wednesday, June 29, 2011

Pendidikan anak : berhati-hati dalam menghukum


http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/pendidikan-anak-berhati-hati-dalam-menghukum


Hukuman adalah cara untuk menguatkan kesedaran seseorang bahawa yang salah itu salah dan yang betul itu betul. Sebab itulah setiap negara mempunyai hukuman dan undang-undang. Supaya mereka yang berbuat salah akan sedar perbuatannya itu salah dan mereka takut untuk melakukannya lagi, dan supaya orang yang melihat hukuman pun timbul rasa takut untuk melakukan kesalahan tersebut.

Seorang yang dihukum atas kesalahan sendiri, dan dia sedar bahawa dia telah melakukan kesalahan dan layak dihukum akan mendapat manfaat dari hukumannya itu. Berbeza dengan seorang yang tidak tahu mengapa dia dihukum, mereka akan memendam perasaan dan menimbulkan perasaan benci di dalam hati terhadap orang yang menghukumnya secara tidak adil.

Satu tips dalam menghukum, hukuman yang baik adalah hukuman yang meninggalkan kesan di hati, bukan secara fizikal. Hukuman atas dasar kasih sayang adalah hukuman yang bertujuan menjadikan seseorang itu lebih baik dari sebelumnya bukan kerana benci atau geram. Anak-anak adalah pemerhati yang baik, dia dapat mengetahui adakah seorang ibu itu sedang menghukum kerana perasaan benci atau sedang menghukumnya untuk mendidik.

Seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali pernah berhenti dari membunuh seorang kafir di medan peperangan cuma kerana orang kafir tadi meludah ke mukanya. Apabila orang kafir tadi hairan dan bertanya kepadanya, mengapa dia berhenti, sedangkan pedang sudahpun hampir sampai ke leher musuh itu tadi, dia menjawab, “aku takut kalau-kalau aku membunuh orang itu disebabkan perasaan marah, dan bukan lagi kerana Allah SWT.”

Begitu juga kita, dalam mendidik anak, perlu berhati-hati agar tidak menghukum anak kerana marah, akan tetapi dalam keadaan yang tenang dan bertujuan untuk mendidik.

Bagaimana caranya? Seandainya tiba-tiba perasaan marah timbul, bertenang dulu, jangan terburu-buru menghukum, ambil nafas panjang kemudian beristighfar. Fikir dahulu apakah hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kita perlu konsisten, antara berat kesalahan dan berat hukuman perlu sepadan. Kalau kesalahan yang membawa akibat yang besar, maka perlu hukuman yang berat, sebaliknya kesalahan yang kurang serius, maka hukumannya juga perlulah hukuman yang ringan.

Anak akan keliru apabila perasaan marah menjadi ukuran pada hukuman yang dia terima, maka dia akan mengambil kesimpulan bahawa dia dimarahi kerana dia sudah tidak lagi disayangi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...