Tuesday, June 28, 2011

Kanak-kanak Masa Kini ‘Berkulit Nipis’



http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/kanak-kanak-masa-kini-berkulit-nipis


Ibu bapa merupakan ‘designer’ buat anak mereka. ‘Designer’ yang mencorakkan batik pasti menghasilkan batik, yang melukis alam cakerawala, pastilah itu juga hasil akhirnya. Tidak mungkin akan menghasilkan sulaman atau pemandangan laut.

Anak juga adalah cerminan ibu bapa. Setuju atau tidak? Sekiranya ditolak dengan faktor persekitaran, sosial, dan apa saja di sekelilingnya, maka benar, anak adalah cerminan ibu bapa. Kanak-kanak zaman sekarang ‘berkulit nipis’ berbanding kanak-kanak zaman lampau. Lihat saja bagaimana ayah atau ibu kita dibesarkan. Dari kecil diperkenalkan dengan rotan, ancaman dan hukuman.

Sekiranya tidak pulang sebelum jam 7 malam selepas keluar bermain, pasti dihukum samada ditinggalkan di luar rumah, dikunci, ataupun dirotan. Dan mungkin juga anak itu dimarah habis-habisan. Maka, anak akan ingat, sebelum gelap, pasti balik, jika tidak ayah atau ibu pasti melakukan tindakan yang mngerikan itu. Kulit mereka tebal, hati mereka kental. Dengan persekitaran yang tidak seperti sekarang, ibu bapa zaman lampau lebih mudah mengendalikan anak mereka dengan ancaman dan hukuman.

Namun, zaman sekarang begitu berbeza. Sistem demokrasi diperjuangkan habis-habisan. Sekiranya ada hak yang tidak ditunaikan, maka tuntutan yang dibuat amatlah bersungguh-sungguh. Menolak terus penindasan merupakan sikap masyarakat sosial masa kini. Maka, kanak-kanak zaman sekarang lebih mudah memberontak sekiranya digertak. Apabila dimarahi, pasti bertindak agresif atau terus pasif.

Maka, keadaan ini harus kita terima sebagai ibu yang inginkan anaknya tercorak dengan baik. Bukan Mudah memahami karakter kanak-kanak yang unik ini. Sesuatu masalah yang timbul pasti berpunca di rumah dan penyelesaiannya juga pasti di rumah.

Anak-anak yang sentiasa diancam hukuman dan ancaman, pasti merasa tidad tenang ketika bersama ibu bapa di rumah. Lihat saja anak kecil yang sedang berkembang. Umur dua tahun sudah mula melompat sana-sini. Apabila lompat dari katil ke lantai, dari sofa ke karpet, dari anak tangga ke anak tangga, para ibu terutamanya, pasti memarahi dengan sungguh sekali. Kerana takut anaknya tercedera. Takut anaknya jatuh. Sehingga larangan itu akhirnya disusuli dengan ancaman sekiranya kanak-kanak tersebut masih meneruskan aktivitinya.

Ayuh para ibu bapa, masa mereka berkembang dan membesar, biarkan mereka membesar dan bekembang seoptima mungkin. Jangan sampai disebabkan kita, perkembangan mereka terencat. perkembangan emosi mereka terganggu dan merasa tidak selamat di rumah. Maka dipilihnya luar rumah untuk setiap aktivitinya. Jangan sampai anak kita menjauhi kita hanya kerana emosi kita dan juga kesalahan kita yang sering berulang.

Fikirlah dengan matang, tanamlah kepercayaan sepenuhnya pada anak kita bahawa mereka lebih selamat berada bersama kita di rumah dan di mana-mana, bukan merasa tidak tenteram dan takut...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...