Thursday, August 9, 2012

Jangan Memandang Rendah Pada Sebuah Doa

(Perkongsian Email Dari Sahabat Ummi)

 Assalamualaikum Ummu Abrisam,


 Baru-baru ini saya mendengar keluhan seseorang... sudah bertahun-tahun saya berdoa benda yang sama tetapi masih belum terkabul. Yang paling terbaru, ada seseorang berkata dengan saya, sudah 4 tahun dia mengamalkan satu doa yang dikatakan untuk kaya dan sihat, tetapi tetap tidak kaya dan masih sakit. Memanglah sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan apa yang ada. Namun manusia tetap mahukan lebih. Bagi saya, untuk mata pelajaran 'BERDOA' sahaja, ianya satu subjek perbincangan yang panjang yang antara senarainya :
  1. Bagaimana berdoa,
  2. Hari mustajab untuk berdoa,
  3. Keadaan dan masa terbaik untuk berdoa, 
  4. Perkara yang membuat sebuah doa tertolak,
  5. Siapa yang lebih baik berdoa untuk siapa dan sebagainya. 
Ia bukanlah hanya satu perbuatan menadah tangan dan mengeluarkan kata-kata yang sama setiap hari. Maka sesiapa yang serius mengharap doanya terkabul, carilah ilmu berdoa itu. Dan jangan lupa, selepas berdoa kita perlu berusaha dan bertawakkallah selepas itu. Contoh mudah, jika saya berdoa untuk anak saya boleh menghafal al Quran ketika kecil, anak saya tidak akan menghafal 'dengan tiba-tiba' atau 'dengan sendirinya' (magic) jika tidak saya berusaha untuk mengajarnya untuk menghafal. Dan jangan pula berkata jika kita berusaha, tentulah kita dapat! Ia tidak begitu. Jika kita antara orang yang memerhati, kita dapat lihat betapa ramai orang yang berusaha tetapi gagal. Contohnya dalam perniagaan, ramai manusia berusaha tetapi gagal kerana tidak mendapat izinNya.

Seperti yang kita tahu, beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan doa ibu adalah antara doa yang mustajab. Maka janganlah kita ambil ringan dengan kelebihan yang diberikan kepada seorang ibu. Ramai ibu modern yang kesibukan, terlupa untuk berdoa untuk diri sendiri apa lagi berdoa untuk anak-anak. Jangan tunggu anak kita bermasalah dan memeningkan kepala, baru kita teringat untuk berdoa. Senario biasa manusia adalah seperti kata pepatah, sudah terhantuk baru nak terngadah. Berdoalah seawal yang boleh. Jika berkesempatan, yang terbaik adalah berdoa sebelum mereka lahir lagi ke dunia ini. Jika tidak, berdoalah ketika mereka masih suci belum lagi dipertanggungkan dosa. Jika itu pun sudah terlepas, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Wahai ibu-ibu, berdoalah..

Saya ungkapkan semula kata-kata imam Syafie :
"Tidak ada salahnya kamu berdoa samada diwaktu siang atau malam. Renungkanlah, malam memiliki batas yang pasti berakhir tetapi doa itu tiada batas sempadannya. Doa yang ikhlas itu akan masuk ke dalam jiwa mereka bagaikan anak panah menembusi tubuh. Maka, janganlah kamu menganggap kecil dan memandang rendah pada sebuah doa."

Berdoalah dengan ikhlas untuk kejayaan anak kita. Buanglah rasa cemburu dan dengki pada kejayaan orang lain kerana ia akan menghilangkan keikhlasan itu dan menyebabkan doa kita sukar untuk dikabulkan. Juga berdoalah untuk orang lain tanpa mengetahui orang yang didoakan itu mengetahuinya kerana malaikat akan mengaminkan doa tersebut sambil berkata "..dan untuk kamu doa yang sama  juga". Marilah kita bertukar-tukar doa.. InsyaAllah.

Ikhlas dari,

Lina Karim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...