Tuesday, February 21, 2012

Kecerdasan Emosi (EQ) yang Tinggi Bantu Anak Berjaya

Tahap kepandaian seorang anak pasti berbeza dengan tahap kepandaian anak yang lain atau orang lain. Kebiasaannya anak yang mempunyai IQ yang tinggi dikatakan anak yang pandai. Pandai di sini sering dirujuk kepada penguasaan dalam bidang akademik. Akan tetapi, kajian telah membuktikan bahawa IQ yang tinggi tidak menjamin kejayaannya dalam hidup.

Kecerdasan emosi atau lazimnya dikenali sebagai EQ, merupakan kebolehan dalam menangani sesuatu konflik atau kemampuan dalam meleraikan masalah. Anak yang mempunyai tahap EQ yang tinggi mampu berjalan dengan tenang walaupun diuji dengan pelbagai masalah. Malah sebenarnya EQ mampu menyumbang dalam meningkatkan IQ seseorang.

Apa Itu EQ?

Anak yang mampu mengawal perasaan marah, empati, berdikari, boleh menyesuaikan dengan persekitaran baru, berbudi bahasa serta menghormati orang lain adalah anak yang mempunyai perkembangan EQ yang baik. Oleh sebab itu, kecerdasan emosi atau EQ perlu dikembangkan sejak kecil.

Tahap perkembangan EQ boleh dipengaruhi oleh ibu bapa (keluarga), persekitaran dan kawan. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan tahap EQ anak. Apa yang boleh dilakukan untuk proses tersebut?

Pertama sekali, penuhi keperluan emosi anak. Bayi yang baru lahir sentiasa inginkan kasih sayang, pelukan dan ingin dekat dengan ibunya. Anak dalam lingkungan 3 tahun mula melakukan kerja-kerja dengan sendirinya inginkan perhatian, pujian dan penghargaan. Anak dalam lingkungan 5 tahun mula membantu ibunya mengemas ruang tamu, meja makan dan apa saja inginkan penghargaan kerana mereka ingin diri mereka dicintai dan ada nilai di sisi ibunya.

Dengan memenuhi keperluan emosi anak, secara tidak langsung tahap EQ anak mula berkembang. Mereka mula belajar bagaimana berkomunikasi, membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta membantu orang lain. Anak kecil yang dipenuhi keperluan emosinya akan kurang menangis berbanding anak yang sering diabaikan. anak yang kurang menangis berjaya mengawal perasaannya serta bijak menggunakan emosi pada tempatnya. Hal ini dapat mendorong anak-anak berjaya dalam hidup mereka. Bak kata seorang pakar motivasi, orang yang tinggi IQ mudah mendapat kerja, akan tetapi orang yang tinggi EQ mudah naik pangkat.

Dalam hal ini juga, ibu bapa akan lebih mudah memahami anak dan anak juga lebih dekat dan rapat dengan kedua ibu bapanya. Apabila hubungan ini telah kukuh, ibu bapa mudah untuk membentuk sikap anak yang lainnya seperti mendisiplinkan anak, mengajar tatatertib, dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, pengalamanlah yang akan mendorong ibu bapa bersikap sewajarnya dalam mendidik anak dan meningkatkan tahap EQ anak.

Bertindaklah Sewajarnya

Secara ringkasnya, saya simpulkan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa dalam proses meningkatkan EQ anak.

  1. Ibu bapa sendiri menunjukkan sikap bersosial dengan masyarakat atau cara berkomunikasi dengan orang lain
  2. Semakin awal ibu bapa memulakan proses ini, ia adalah lebih baik. Serta bersedialah memenuhi keperluan emosi anak jika ingin anak berjaya.
  3. Bimbinglah anak untuk mempelajari kata-kata yang menggambarkan perasaan mereka
  4. Sekiranya anak mengaku kesalahan mereka kepada anda, maka dengarlah alas an mereka dan berikan kata-kata perangsang kepada mereka dan tegurlah dengan kasih sayang.
  5. Berikanlah pujian dengan ikhlas kepada anak anda.
  6. Bukalah ruang perbincangan dengan anak dalam hal-hal yang berkaitan dengan dirinya.
  7. Ibu bapa boleh menggunakan pendekatan cerita atau sebarang permainan untuk mengajarkan anak bertindak dalam hal-hal tertentu.
  8. Jadilah teladan yang baik kepada anak, kelak anak akan lebih percaya kepada tindakannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...