Tuesday, February 21, 2012

Ajarkan Anak Mengenal Al-Quran – Motivasi, Faedah dan Teknik

“Jika kamu mahu berjaya didunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu mahu berjaya di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan jika kamu mahu berjaya kedua-duanya, juga hendaklah dengan ilmu” – Imam Shafie

Untuk berjaya, tiada jalan pintas. Setiap orang perlu melalui jalan yang sukar, panjang dan berliku. Menjadi ibu adalah satu kejayaan. Mengharungi hidup untuk bergelar seorang ibu bukanlah mudah. Kita perlukan kesabaran, ketabahan dan kecekalan yang tinggi. Kesukaran yang kita lalui akhirnya terubat dengan kehadiran cahaya mata yang menanti untuk diwarnai. Begitulah fitrah setiap manusia yang bergelar ibu.

Sekarang, zaman telah berubah. Rata-rata ibu bapa menyerahkan pendidikan anak mereka sepenuhnya kepada sekolah. Jadi tugas ibu bapa hanyalah mencari rezeki dan membesarkan anak. Dalam hal mendidik anak pula, ibu bapa boleh pantau prestasi akademiknya di sekolah. Persoalannya, adakah pendidikan itu hanya merujuk kepada soal akademik anak?

Akademik

Akademik

Pendidikan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka adalah perihal mendidik. Ia tidaklah khusus kepada aspek akademik semata-mata. Bukankah seorang ibu itu adalah guru pertama bagi anaknya? Jika benar kita adalah guru pertama, maka apakah kita telah mula mendidiknya? Saya begitu kagum melihat ibu bapa yang bertungkus-lumus mendidik anak siang dan malam walaupun usia anak baru mencecah 1 bulan. Hal ini berlaku kerana ibu bapa benar-benar yakin bahawa mereka beroleh pahala yang besar dengan usaha mereka itu.

Apa tidaknya, ibu bapa mengajarkan anak sesuatu yang baru, kemudian anak menggunakan ilmu yang telah diberikan sehingga anak dewasa. Sudah tentu pahala yang tidak pernah putus akan sentiasa diperolehi oleh ibu bapa selagi anaknya mengamalkan ilmu tersebut. Jadi apakah ilmu yang perlu diajar sejak kecil?

  1. Ajar anak membaca
  2. Ajar anak Al-Quran
  3. Ajar anak kemahiran hidup
  4. Ajar anak bahasa asing
  5. Ajar anak matematik
  6. Ajar anak bertutur
  7. Ajar anak menyanyi

Banyak lagi ilmu-ilmu penting yang perlu diajar kepada anak kecil. Cuma di sini, persoalannya adalah ilmu mana yang perlu diajarkan terlebih dahulu. Disebabkan untuk berjaya kita perlukan ilmu, maka setiap bidang ilmu adalah penting. Namun, tahukah anda bahawa terdapat satu ilmu, apabila diajarkan kepada anak, maka kebolehan anak untuk belajar ilmu-ilmu lain menjadi mudah. Malah kepintaran anak telah dijana secara tidak langsung.

Ajarlah anak membaca Al-Quran. Al-Quran adalah terapi pertuturan. Al-Quran adalah penjana kepintaran anak. Di dalamnya terdapat ilmu pengetahuan yang sangat bernilai, bermutu serta mampu menjaga diri daripada godaan syaitan. Ibu bapa tidak perlu risau tentang perkembangan lainnya apabila mengajarkan anak membaca serta menghafal Al-Quran sejak kecil kerana Al-Quran adalah penawar atau terapi kepada segala permasalahan.

Hasil pengalaman para ibu bapa yang mendidik anaknya cintakan Al-Quran sekaligus menghafalnya dengan konsisten telah membuktikan bahawa ketika anak mereka mencecah usia remaja, mereka jarang sekali terlibat dengan masalah sosial yang meruncing terutama fenomena cinta remaja, merokok, melepak dan juga membuang masa. Malah, anak ini menjadi anak yang cintakan ibu bapanya, mendengar kata, kuat ingatan, mudah dibentuk, serta mempunyai tahap kepintaran yang tinggi.

Ajar Anak Al-Quran

Ajar Anak Al-Quran

Dengan kesedaran ini, saya menyarankan agar ibu bapa memulakan pendidikan di rumah dengan pendidikan Al-Quran. Hal ini sekaligus dapat menghidupkan kembali generasi Al-Quran yang ingin dilenyapkan oleh orang-orang kafir laknatullah.

Masih belum terlambat jika ingin memulakannya ketika anak telah menjangkau usia 7 tahun atau lebih. Apa yang penting adalah keazaman serta teknik mendidik anak mengenal Al-Quran. Pertama sekali kenalkan huruf kepadanya. Banyak pendekatan yang boleh digunakan. Antaranya adalah kaedah ‘flash card’, menggunakan buku Iqra’ atau Al-Furqan, atau nyanyian. Dalam masa yang sama, perdengarkan surah-surah pendek atau juz ‘amma kepada anak. Pasangkannya di dalam kereta, dalam rumah atau ketika anak sedang tidur.

Selepas anak kenal huruf-huruf Al-Quran, ajarkan anak membaca pula. Ulangi kaedah membaca sehingga anak lancar dan teruskan memperdengar surah-surah pendek kepada anak. Dengan keazaman dan ketekunan inilah, anak-anak akan berjaya membaca A-Quran sejak kecil. Malah tidak mustahil untuk anak anda dapat menghafalnya walaupun belum memasuki sekolah rendah

Jika ibu bapa terlalu sibuk, maka lakukanlah semampu yang boleh. Seterusnya bertawakkal dan berdoa agar Allah memudahkan urusan kita. Untuk mendapatkan teknik yang lebih praktikal dan sistematik, serta motivasi yang berkesan, saya sarankan anda menghadiri seminar mengajar anak Al-Quran oleh Puan Mazlina. Saya mencadangkan seminar ini kerana beliau telah berjaya mendidik anaknya menghafal Al-Quran sejak kecil lagi.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk http://quran.anakkusayang.com

Mudah-mudahan pembaca memperoleh secedok ilmu daripada artikel ini sekaligus mengaplikasikannya di rumah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...