Tuesday, February 21, 2012

Ibu Bapa Mendidik Anak atau Televisyen Mendidik Anak?

Ibu bapa sering mengalami masalah dalam mengawal anak-anak menonton televisyen. Akan tetapi, dengan keazaman yang kuat dan kefahaman yang jelas, ada sesetengah ibu bapa yang berjaya mengawalnya. Hal ini bermakna mengawal anak menonton televisyen adalah tidak mustahil dan boleh dilakukan. Namun, bagaimana pula mengawal anak-anak menghadap skrin dalam tempoh 1-2 jam sahaja sehari? Menghadap skrin bermaksud menonton televisyen, bermain permainan komputer, melayari youtube, bermain permainan video, dan juga bermain permainan di tab, ipad, ipod atau iphone.
Dengan kehadiran ASTRO di rumah, sudah tentu rancangan cartoon network dan Disney seringkali terpasang. Malah, youtube juga boleh dilayari untuk menonton Boboiboy, Upin dan Ipin serta kartun-kartun lain. Saya pernah ditanya bagaimana menyusun rancangan TV untuk anak atau memberi anak bermain games online. Saya menjawab dengan teori dan pengalaman bahawa kanak-kanak yang menonton televisyen lebih dari 2 jam sehari akan mudah menjadi agresif ketika umurnya 3 tahun. Malah mereka agak sukar dibentuk kerana lebih suka melakukan aktiviti sendiri. Bermain video game atau online game juga ada hadnya. Namun, jawapan saya dipertikaikan.

“2 jam sehari untuk menonton TV? Cukup ke? Kita pun akan rasa tak seronok tak dapat menonton TV, apatah lagi anak kita”
Apa pendapat pembaca sekalian? Setujukah dengan pernyataan di atas?
Baiklah, sekarang kita lihat dari sudut peranan. Ibu bapa ditugaskan mendidik anak, atau anak yang mengajar ibu bapa apa yang anak mahukan? Ibu mertua saya selalu pesan, “kita yang ajar anak, bukan anak yang ajar kita.” Apa yang perlu kita tanamkan dalam minda kita adalah setiap perlakuan anak adalah hasil daripada didikan kita. Kemungkinan ada faktor luar, akan tetapi 90% daripadanya adalah daripada rumahnya sendiri. Jika kita yang mengatur perjalanan dalam rumah, bermakna kita juga perlu mengikutinya. Bukankah anak-anak lebih cenderung belajar daripada tindakan berbanding percakapan?
“Seorang yang mendidik anaknya (dengan baik) adalah lebih baik dari bersedekah dengan secupak”. (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi).


Aktiviti Luar
Terdapat banyak kajian dan hasilnya mengenai kesan televisyen terhadap kanak-kanak. Namun, hasil kajian itu amat merunsingkan ibu bapa. Pada peringkat bayi, American Academy of Pediatrics (AAP) telah menyarankan agar kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak dibenarkan menonton televisyen manakala kanak-kanak berusia lebih 2 tahun dihadkan menonton televisyen selama 1 hingga 2 jam sehari sahaja. Malah, kajian oleh Dimitri Christakis yang dilaporkan dalam jurnal Acta Paediatrica pada tahun 2009 menunjukkan bahawa tiada sebarang manfaat yang diperolehi bagi kanak-kanak yang menonton televisyen pada usia di bawah dua tahun. The Journal of Pediatrics juga mengatakan bahawa penayangan DVD atau video kepada bayi seawal umur 8 hingga 16 bulan akan memberi kesan kepada kemahiran bahasa yang buruk. Bayi ini juga akan lambat mempelajari bahasa berbanding bayi normal lain.

Johns Hopkins (2000 kanak-kanak, oct 2007) – Kanak-kanak umur 5.5 thn yang ada TV dalam bilik biasanya akan ada masalah dari segi tingkah laku, kurang kemahiran sosial dan kurang waktu tidur.
Pilihan adalah di tangan ibu bapa. Samada membenarkan televisyen di rumah atau mengawal anak menonton rancangan televisyen. Jika ingin mengawal rancangan televisyen yang boleh ditonton, saya akan kongsikan sedikit tips tentang hal ini.
  1. Hadkan masa menonton TV, movie, bermain permainan komputer dan permainan video kepada 1-2 jam sehari
  2. Pilih rancangan televisyen atau kartun yang sesuai. Pada hemat saya, saya lebih gemar anak-anak saya menonton Upin dan Ipin berbanding Boboiboy. Lakukan sedikit penyelidikan terhadap rancangan kartun di pasaran dan berikan anak menontonnya.
  3. Menonton televisyen bersama anak kemudian bincangkan apa yang dilihatnya. Sama juga permainan komputer, duduk bersama anak dan ajarkan anak untuk memilih permainan yang bermanfaat.
Di rumah saya memang ada televisyen, akan tetapi sangat jarang anak-anak membukanya kerana mereka lebih gemar menonton cerita-cerita di komputer. Di sini, peranan ibu bapa juga sama. Hadkan masa menonton mereka. Kadangkala anak-anak akan bosan dan memberontak jika tidak dapat menonton rancangan kegemaran mereka. Jadi, atasilah dengan bijak. Cubalah isi masa lapang anak-anak dengan aktiviti yang boleh membina IQ sekaligus membina hubungan dengan ahli keluarga.


Televisyen Membunuh Kreativiti
Dalam cuti sekolah ini, anak-anak sudah tentu menghadapt televisyen seawall 8 pagi kerana rancangan kartunnya lebih banyak. Jadi, ibu bapa perlu lebih kedepan dalam membantu anak-anak beraktiviti. Biar anak bermain di luar rumah dengan pengawasan atau sekadar bermain dalam kawasan pagar rumah sahaja. Sediakan peralatan secukupnya untuk mereka bermain. Contohnya khemah, tikar, pinggan mangkuk untuk anak main masak-masak dan juga kolam tiub yang mana anak boleh mandi li luar rumah. Bukankah itu lebih menarik dan dapat mengurangkan masa anak menonton TV atau bermain permainan video sahaja?

Maka, semuanya berbalik kepada kemampuan, kefahaman dan kesungguhan kita. Mendidik anak bukanlah mudah, namun ia menjadi begitu sukar jika terlalu banyak alasan dalam mendisiplinkan mereka. Masa semakin suntuk dan anak-anak semakin membesar. Mulakan aktiviti bersama anak-anak selagi mereka masih kecil agar hubungan kekeluargaan lebih erat dan kukuh walaupun mereka sudah mencecah umur remaja kelak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...