Friday, March 30, 2012

Pengajaran Dari 3 Ibu - Siri 4

(3 ibu yang membesarkan anak dengan cita-cita yang sama tetapi realitinya 2 ibu mendidik anaknya hingga menjadi 2 tokoh yang mengharumkan nama Islam (Muhammad Al Fateh dan Imam Syafie) dan seorang ibu yang agak malang kerana impian untuk anaknya menjadi sebaliknya, (Mustafa Kamal Attartuk) hingga mayat anaknya tidak diterima bumi dan diletakkan di bangunan marmar hingga sekarang)

- EMAIL YANG UMMI TERIMA DRPD KENALAN UMMI

Assalamualaikum Ummu Abrisam,

Sekarang sudah sampai siri ke 4 Membincangkan Tajuk Pengajaran dari 3 Ibu - Ibu Imam Syafie, Ibu Muhammad Al Fateh dan Ibu Mustafa Kamal Attartuk. Siri 1-3 telah saya emelkan sebelum ini.

Untuk siri ke 4 dan terakhir, saya ingin membawa Ummu Abrisam ke senario dibawah..

"Kesian tengok budak-budak zaman sekarang bersekolah. Pagi nak pegi sekolah agama, balik tukar baju kena pegi sekolah kebangsaan. Balik sekolah kebangsaan, budak dah letih. Mandi, makan malam selesai semua lepas tu nak kena buat kerja sekolah pulak. Mana nak tusyen lagi, mengaji lagi?"

Biasa dengar? Saya sendiri kasihan tengok anak-anak buah saya balik sekolah dalam keadaan penat. Itu belum lagi kalau anak saya sendiri pula nanti. Semoga saya lebih mengasihani masa depan mereka dari mengasihani kepenatan mereka ketika itu. Ramai ibubapa tidak sanggup 'memaksa' anak mereka untuk memegang al Quran kerana rasa kasihan dan belas mereka yang tidak sepatutnya. Begitulah juga kesilapan ibu kepada Mustafa Kamal Attartuk. Sebab itu saya kata Novel Mustafa Kamal Attartuk yang saya jual dan kehabisan stok itu lebih mirip dengan kehidupan ibu-ibu zaman sekarang membesarkan anak mereka. Itulah kesilapan beliau sehingga anaknya menjadi seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Tanpa kita sedari akhirnya al Quran adalah keutamaan kita yang paling akhir.

Al Quran di pegang di 'hujung-hujung' sahaja. Memang Zubaidah Hanim, ibu kepada Mustafa Kamal Attartuk ini selalu bercerita dengan anaknya supaya bila dewasa nanti anaknya itu mesti menjadi seorang tahfiz al Quran. Namun, ianya cuma hanya pada kata-kata, harapan dan doa. Hakikatnya, kehidupannya tidak dimanifestasikan selari dengan harapannya. Anaknya membesar dengan bersekolah disebuah sekolah terkenal (Dia bersekolah di sekolah kadet ketika itu yang mungkin sama terkenalnya ala-ala Royal Military College, Malaysia kot?). Kasihan dia melihat anaknya balik kepenatan kemudian mengulangkaji pelajaran hingga larut malam. Maka berlalulah hari-hari hingga dia dewasa tanpa al Quran. Maka, walaupun ketiga-tiganya adalah wanita yang kuat beribadat, ketiga-tiganya adalah wanita yang kuat beragama, mempunyai cita-cita yang sama untuk anak masing-masing iaitu menjadi tahfiz al Quran, tetapi usaha mereka adalah berlainan. Allah itu Maha Adil, hasilnya juga adalah berlainan. Yang dua menjadi pengharum agama dan penakluk kota dunia dan yang satu lagi menjadi pemusnah Islam

Yang jelasnya.. Ibu Imam Syafie dan Ibu Sultan Muhammad Al Fateh sangat tegas dan pentingkan al Quran. Mereka sanggup memarahi dan membiarkan anak mereka dipukul guru kerana mahu anaknya mempelajari al Quran. Selepas menguasai al Quran barulah mereka ke cabang lain. Imam Syafie suka pada syair hingga dia menghafal 10,000 syair dalam masa 2 bulan sahaja? Dan Muhammad Al Fateh boleh bertutur 6 bahasa pada umurnya 17 tahun sahaja. Mengutamakan al Quran tidak menyebabkan mereka tinggal ke belakang jika mereka memilih untuk terus kedepan. Namun peranan ibulah yang menentukan dan mendorong hala tuju mereka.

Cuba kita tanya pada diri kita sendiri pula. Adakah kita ibubapa yang hanya punya cita-cita sahaja atau sentiasa ingin mencari peluang dan cara untuk menjadikan anak kita menguasai al Quran. Sanggupkah kita berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk anak kita mahir al Quran?

Ada juga suara yang berkata anak mereka dah disekolahkan ke sekolah agama pagi/sekolah agama rakyat (betulkan saya akan namanya jika saya silap) maka tak perlu dah untuk mengajar al Quran. Seorang ustazah sekolah agama rakyat ini pernah memaklumkan pada saya untuk kanak-kanak darjah 1-6 ini, sukatan pelajaran mereka tidak fokus untuk mengajar al Quran sahaja. Akhlak, hadis, sirah, khat, Jawi dan lain-lain itu adalah antara pelajaran yang diajar. Mata pelajaran al Quran cuma dalam beberapa kali sahaja dalam satu minggu. Sebab itu ada murid yang sudah ke tahun 6 disekolah ini masih tidak boleh membaca al Quran jika ibubanya sendiri tidak ada usaha untuk mengajar diluar sekolah.

Kesimpulan yang saya buat adalah tidaklah terhad kepada apa yang saya tulis. Jika di satukan Novel ketiga tiga tokoh ini ianya melebihi 1000 muka surat. Terlalu banyak untuk saya pelajari dari 3 novel ini. Maaflah segala kekurangan dan kesilapan dalam membuat kesimpulan yang terhad ini. Semoga ianya sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kita semua. Jika Ummu Abrisam ingin mendapatkan novel tersebut boleh klik disini.

Ikhlas dari,

Lina Karim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...