Tuesday, November 27, 2012

Menjawab Soalan Mengenai Mendisiplinkan Anak-anak.

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Thursday, January 5, 2012 at 1:42pm ·

Mendisiplinkan Anak-anak

Adakah kita benar-benar perlu mendiplinkan anak-anak? Adakah peraturan dan hukuman merupakan sesuatu yang baik dalam membesarkan anak-anak yang baik? Bagaimanakah anak-anak akan gembira sekiranya mereka terpaksa dibendung oleh peraturan? Anak-anak yang sering dirotan akan membesar menjadi seorang pembuli yang ganas. Oleh itu, mengapakah kita perlu merotan anak-anak kita? Biarkan mereka bebas!

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Sekiranya anda biasa menonton sebuah filem Melayu klasik arahan Tan Sri P. Ramlee yang bertajuk ‘Anakku Sazali’, anda akan dapat melihat betapa pentingnya membuat batas sempadan dan peraturan untuk anak-anak kita. Filem itu mengisahkan tentang seorang ayah yang terlalu sayangkan anak lelakinya, Sazali. Dia membesarkan Sazali sendirian setelah kematian isterinya. Pada pendapatnya, dengan memarahi, mengenakan batas dan sempadan serta peraturan dan hukuman adalah sesuatu yang tidak baik dalam mendidik anaknya malah dia juga memberikan apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh anaknya.

Sazali membesar tanpa mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang. Akhirnya dia menjadi penjenayah. Apabila dia sudah tidak dapat dikawal, bapanya cuba mengenakan kawalan dan peraturan terhadapnya. Malangnya, ia sudah terlambat. Selepas ditampar oleh bapanya, Sazali mengucapkan ungkapan berikut:

“Sekiranya ayah memukul saya ketika saya kecil dulu, saya tidak akan menjadi seperti ini…”


Mungkin ada antara kita mengatakan senario ini hanyalah sebuah filem. Walau bagaimanapun, renungkanlah, ia merupakan satu contoh yang baik bagi ibu bapa yang sering membiarkan anak-anak mereka. Anak-anak yang membesar tanpa disiplin, peraturan, dan batas sempadan sebenarnya membesar dalam dengan perasaan kurang selamat dan rasa dikasihi.   

Pada masa yang sama, saya tidak bersetuju dengan merotan atau apa-apa sahaja hukuman fizikal terhadap anak-anak sebelum umur yang sepatutnya yang belum lagi dapat membezakan antara perkara baik dan buruk. Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang ibu tentang hukuman fizikal terhadap anak-anak. Dia memberitahu saya bahawa anak kecilnya yang baru belajar berjalan itu suka mengamuk. Dia akan berguling di atas lantai dan menghantukkan kepalanya sekiranya ayah atau ibunya tidak memberikan benda yang dikehendaki olehnya. Mengikut kawan saya itu, dia atau suaminya akan memukul anaknya di pinggungnya dengan kuat dalam cubaan untuk mendisiplinkannya.

Saya berkongsi pendapat dengannya, bahawa anak-anak sekecil itu akan meradang secara tiba-tiba sekiranya dia berasa letih atau marahkan sesuatu. Kadang-kadang, dia berasa hampa kerana perasaannya tidak difahami. Pasti ada sesuatu perkara yang telah mengganggu emosinya.

Memukul anak-anak yang sekecil itu tidak akan dapat mendisiplinkannya. Pada hakikatnya, memukul dan hukuman fizikal bukanlah satu-satunya cara untuk mendisiplinkan anak-anak. Pada tahap umur mereka yang demikian, cara ini cuma akan mengelirukan anak-anak dan membuatkan mereka berasa tidak disayangi dan tidak diperlukan. Anak-anak kecil yang dibesarkan dengan perasaan yang sebegini akan menghadapi banyak masalah pada masa akan datang. Kawan saya telah mengakui bahawa anaknya telah mula mencubit dan menolak budak-budak lain di nursery di mana dia dihantar dan menjadi seorang anak yang payah untuk dikawal. Ini bukanlah yang kita mahukan, bukan?

Pengalaman Saya

Sekiranya anda merupakan ibu bapa yang masih muda, saya harap pengalaman saya akan membawa kebaikan kepada anda. Saya berkahwin ketika berumur 20 tahun dan suami saya berumur 21 tahun. Pada ketika itu, kami masih belajar di sebuah universiti di luar negara dan kami masih muda dan tidak berpengalaman. Kami telah dikurniakan empat orang anak dalam masa sesingkat lima tahun perkahwinan. Memang bukan mudah untuk belajar, di samping membesarkan anak-anak!

Saya mahu mendisiplinkan anak-anak saya supaya mereka akan menjadi seorang anak yang berakhlak mulia dan saya boleh berbangga dengan mereka. Pada ketika itu, sebagai seorang ibu muda, saya merasakan anak saya yang berusia 2 tahun telah cukup besar. Saya menegur dan memarahinya seperti dia sudah berumur 10 tahun. Itulah kesalahan saya yang pertama. Saya sering menjadi marah dan rasa terganggu dengan anak-anak saya, terutamanya apabila mereka mengamuk. Ketika itu, saya menjadi seorang ibu yang agak garang.

Suatu hari, saya terdengar kata-kata hikmat yang telah menukarkan pandangan saya, iaitu kata-kata yang datang daripada abang ipar yang saya hormati, Subkey. Dia sebenarnya menasihati kakak saya yang sedang memarahi anaknya yang baru berusia 5 tahun pada ketika itu. Katanya, “Ingatlah, umurnya tidak sampai satu per empat umur kita pun. Dia tidak mempunyai kebijaksanaan yang kita ada. Sekiranya dia tahu dan boleh berfikir seperti kita, dia tidak akan buat perkara-perkara seperti ini. Adalah tugas kita untuk memberikan tunjuk ajar kepadanya.” Saya tersentak dan terus menilai kembali cara saya mengendalikan kemarahan dan kehampaan saya sewaktu membesarkan anak-anak saya. Semenjak itu, saya berusaha dengan gigih untuk mengawal diri saya daripada terus menjerit dan menghukum mereka apabila mereka membuat kesalahan. Mengimbas kembali semua perkara itu, saya bersyukur kerana saya dapat menanam nasihat itu dalam hati saya walaupun kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya. Namun, begitulah Tuhan mengajar kita setiap hari.

Saya ingin menjelaskan bahawa anak anda masih kecil sekiranya dia masih di bawah umur 7 tahun. Anda perlu mendisiplinkan anak anda dan mendidiknya untuk mengenal perkara yang baik dan perkara yang buruk. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa didikan tersebut bukanlah dengan cara menjerit, berteriak atau memberikan hukuman fizikal.

Sekiranya anda perlu juga memukul dan menghukumnya demikian, jelaskan kepadanya tentang perbuatannya yang salah itu. Dia boleh mengubah perlakuannya yang buruknya itu dan menjadi orang yang mudah disayangi.

Janganlah meragut kepercayaan dirinya. Selepas dia dihukum dan dia telah memahami kesilapannya, dakaplah dia dan beritahu kepadanya bahawa dia disayangi. Tidak salah memberikan hukuman, tetapi amati dan amalkan cara ini. Kaedah yang betul akan mengukuhkan kasih sayang, tetapi cara yang salah akan melahirkan perasaan benci dan dendam yang seterusnya akan mencetuskan penyakit yang amat parah, iaitu tertutupnya pintu hati.

Enam Tahun Pertama

Enam tahun pertama dalam kehidupan anak kita umpama waktu kita menyemai benih. Sekiranya anda memberikan perhatian yang teliti untuk enam tahun pertama ini, maka percayalah enam tahun yang berikutnya dan tahun-tahun yang seterusnya, dia akan mudah diurus dan anda akan menerima ganjarannya. Oleh itu, ketika menyemai benih, inilah waktu anda menyemai dan menanam pengetahuan yang betul, nilai kehidupan, disiplin, tabiat, cara berfikir, dan kepercayaan tentang kehidupan.

Inilah masanya untuk anak anda merasakan dirinya sangat disayangi dan dilindungi. Didik dan berikan tunjuk ajar tentang perkara yang benar dan salah, peraturan, batasan, cara berfikir yang betul, tabiat, keyakinan dan sebagainya. Ini merupakan tahun-tahun asas bagi mereka. Sekiranya anda membinanya dengan kuat dan kukuh, anda akan memperoleh anak-anak yang memiliki keperibadian yang tinggi seperti yang diidamkan oleh semua ibu bapa.

Ramai ibu bapa mengabaikan enam tahun pertama ini dan membiarkan anak benih ini disemai dan dijaga oleh pembantu rumah atau orang lain kerana bagi mereka tidak banyak yang dapat difahami oleh anak sekecil ini. Mereka cuma akan memberikan lebih perhatian kepada anak-anak apabila anak-anak telah mula bersekolah. Namun, ketahuilah enam tahun pertama di dalam hidup anak itu sangat-sangat penting kerana itu adalah ‘foundation’.

Pada ketika itu, apa-apa yang tertanam di minda anak anda mungkin  kepercayaan-kepercayaan diri yang menyebabkan dia menjadi bengis, pemarah, dan tidak berkebolehan. Bayangkanlah bagaimanakah sikap anak ini apabila menghadapi cabaran-cabaran hidup pada masa hadapan?

Sesetengah ibu bapa bertanya kepada saya, “Bagaimanakah berkomunikasi dengan seorang anak kecil untuk memberitahunya tentang nilai-nilai kehidupan dan bentuk pemikiran yang baik?” Dengan mudah saya menjawab, “Bercakap dengan mereka.” Aktiviti seperti membaca dan bercerita, menonton kartun bersama, dan berkongsi tentang nilai-nilai yang baik dalam cerita kartun itu ataupun filem yang ditonton dengan mereka ialah cara yang baik. Bawa mereka berjalan-jalan di taman, pasar raya, dan kedai sambil berbual-bual dengan mereka. Bercakap dengan mereka apabila mereka bangun daripada tidur dan juga ketika mereka tidur. Minda luar kawal mereka boleh mendengar walaupun mereka sedang tidur dan anak-anak ketika umur ini mengalami pembelajaran secara tidak sedar. Ceritakan kisah orang-orang yang agung dan ternama serta individu yang telah mengatasi kesusahan-kesusahan dalam kehidupan dan kini telah mengecapi kejayaan kepada mereka.

Inilah masanya untuk anda menyemai dan menanam biji benih yang betul. Ketahuilah bahawa sebenarnya ada beribu-ribu cara dan jalan yang lain untuk anda lakukan. Ingatlah, jika anda tidak menyemai biji benih yang betul, orang lain mungkin akan menanam benih yang salah di minda anak anda.

Enam tahun yang berikutnya ialah waktu pembentukan tingkah laku dan tabiat. Pada usia tujuh tahun, seseorang anak akan berupaya membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Untuk orang-orang Islam, umur ini dipanggil mumayyiz. Inilah usianya di mana kanak-kanak dapat membezakan sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk. Tumpukan perhatian terhadap usaha untuk membentuk tabiat untuk berjaya dalam diri mereka. Terangkan sebab anda telah menyediakan batas sempadan dan peraturan untuk kehidupan mereka. Anak-anak ini akan faham dan sekiranya anda telah memberikan penerangan dengan baik kepada mereka, jangan terperanjat sekiranya mereka patuh kepada anda dengan rela hati.

Pada usia 10 tahun, anak-anak yang tidak mahu mendengar nasihat perlu ditegur dan sekiranya perlu bolehlah menggunakan merotan tetapi janganlah secara keterlaluan. Walau bagaimanapun, hendaklah diingatkan bahawa alasan dia dihukum adalah untuk memperbaiki tingkah lakunya yang salah; bukanlah kerana dendam, marah, benci atau sikap bengis kita. Sekiranya hukuman yang diberi tidak berupaya untuk mengikis tingkah laku yang salah itu, lihatlah kembali alasan di sebalik kelakuan itu.

Contohnya, anak-anak yang tidak mahu pergi ke sekolah dan dia dirotan serta dihukum. Walau bagaimanapun, setelah dihukum, dia masih ponteng sekolah. Cara yang mudah adalah dengan memberikan hukuman yang lebih keras. Ingatlah, suatu perbuatan yang tidak masuk akal ialah membuat perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Cara yang mungkin lebih bijak yang boleh anda lakukan ialah dapatkan sebab dan alasan utama dia tidak mahu pergi ke sekolah. Mungkin dia malas dan mungkin juga dia dibuli atau yang lebih parah, dia diperas ugut. Hukuman hanya akan memberi dia satu kepercayaan bahawa dia tidak dikasihi dan kita tidak lagi dipercayai oleh mereka untuk memberikan pertolongan.

Ada dalam kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa rotan untuk memotivasikan anak-anaknya untuk belajar dan mereka begitu berbangga kerana bersikap demikian. Menarik. Apakah pendapat saya? Apakah pula pendapat anda? Saya tidak percaya dengan memberikan motivasi yang menakutkan akan membantu anak-anak kita untuk cemerlang dalam pelajaran. Benar, ada tempat dan waktunya kita boleh mengenakan motivasi yang menakutkan, tetapi bukanlah dalam bidang ini.

Sekiranya anak anda berkemahuan untuk belajar, biarkan dia, kerana ini bererti telah wujud hasrat di hatinya untuk belajar. Bukan kerana takut dirotan. Jika takut dirotan ialah motivasinya, maka dia cuma akan menggunakan mindanya pada tahap yang paling rendah, iaitu minda reptilia. Bahagian minda ini bukan minda yang berfikir atau intelek. Bahagian minda ini ialah bahagian minda untuk menjaga perasaan selamat kita. Rotan itu akan mengancam perasaan selamat anak itu dan respon bahagian minda ini ialah lari atau lawan. Itulah yang kita lihat apabila anak-anak itu sukar untuk menerima ilmu yang diberi. Hal ini boleh diibaratkan seperti hendak memberi minum kepada orang yang dahaga, tetapi kita mencekik lehernya!

Undang-undang, batas sempadan, peraturan, dan hukuman adalah untuk kita boleh membina disiplin diri yang baik. Oleh itu jika semua itu tidak membina disiplin yang lebih baik di dalam diri sesaorang itu, maka hukuman, peraturan dan semua itu perlu diselidik kembali yang mana boleh digunapakai dan yang mana jangan sesekali dipraktikkan.

Salam Kasih

Jika Anak Keras Hati.

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Tuesday, November 22, 2011 at 6:57pm ·
 Selalunya bila anak-anak tidak mahu mendengar cakap maka dia akan digelar keras hati. Selain daripada itu, jika dia tidak mahu meminta maaf diatas kesilapannya pun, anak itu akan digelar keras hati.

Apabila anak itu digelar keras hati, maka bersama gelaran itu datanglah gelaran lain, contohnya, degil, biadap, tidak sensitive, tidak hormat dan bermacam lagi.

Beberapa persoalan yang ingin saya bawa ketengah.

1)   Adakah tidak mendengar cakap ini sesuatu yang buruk?

2)   Adakah anak yang mengikut perinta itu semestinya anak yang tidak akan menimbulkan masalah kepada ibu bapa atau orang lain.

3)    Semestinya kah jika seorang anak itu tidak mahu mendengar cakap itu bermaksud dia tidak menghormati kita?
Sebenarnya apa yang kita nampak seperti keras hati, lembut hati, mudah mendengar cakap, suka melawan kata dan bermacam  lagi ini ada kaitannya dengan personaliti sesaorang anak itu. Namun, apa yang hendak saya ingatkan di sini, personality bukannya satu-satu penyebab. Banyak fakta lagi. Ia cuma salah satu penyebab yang boleh membantu kita memahami anak-anak kita dan mendidik mereka dengan lebih mata terbuka.

Saya ambil sedikit ringkasan daripada buku ‘Membina Anak-anak Cemerlang’ mengenai perkara ini dari segi personality dengan harapan ia boleh  membantu ibu bapa.

Empat Jenis Personaliti
  1. Pengarah (Director)
Baik krisis keluarga, pengambilalihan syarikat ataupun hendak menentukan susunan terbaik meja di restoran. Tiada perbezaan. ‘Pengarah’ menerjahkan idea dan persoalan seolah-olah cuma dia sahaja yang mempunyai jawapannya. Mungkin jika seseorang yang mempunyai personaliti begini belajar berenang, mereka akan hanya terjun terus ke bahagian yang paling dalam. Mereka akan berusaha untuk melawan, terapung, dan bernafas. Apabila mereka sampai di tepi kolam renang itu, mereka akan mengatakan kejayaan mereka dengan segera lalu berkata kepada mereka yang sedang menyaksikan perbuatan mereka itu, “Lihat, kan saya dah kata tadi, saya boleh berenang!” katanya tercungap-cungap.

Seringkali, almari miliknya, dompet, meja kerja atau meja mentelaah adalah seperti bom yang baru sahaja meletup. Mejanya cuma ada satu bekas ‘keluar-masuk’ (in-out tray), iaitu keseluruhan mejanya.

Penelitian bukanlah kekuatan mereka dan mereka selalunya kurang teliti. Yang penting bagi mereka ialah “Apakah keperluan utamanya?” Perkara yang sering dipersoalkan oleh mereka ialah, “Mengapakah semua ini penting?” Sekiranya mereka mahukan sesuatu, mereka mahukannya sekarang atau semalam. Anda mungkin berasa hairan sebab mereka sering tertinggal huruf di sana sini dalam ejaan mereka. Mereka akan menyiapkan kerja mereka dengan pantas atau jika terlalu perlu teliti dan rumit, mereka tidak membuatnya langsung. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berasa marah apabila melihat tulisan dan kesalahan-kesalahan pada jawapan mereka. Anda tahu, ini terjadi kerana mereka mahu menyiapkan sesuatu kerja dengan cepat lalu menyebabkan mereka tertinggal beberapa informasi penting dalam soalan-soalan itu.

Mereka sangat menumpukan perhatian untuk menyiapkan sesuatu kerja atau perkara dan mempunyai sifat semula jadi ingin mendahului dan menjadi ketua. Selalunya mereka hanya berpuas hati sekiranya mereka yang menjadi ketua atau bos. Ini selalunya menimbulkan masalah dengan kawan-kawan kerana orang yang sebegini sering mahukan kawan-kawannya mengikut caranya sahaja. Walau bagaimanapun, sekiranya anak anda mempunyai personaliti begini, anda akan dapati dia sungguh bertanggungjawab, gigih menempuh cabaran, tegas, dan sentiasa didorong oleh semangat dalamannya untuk menjadi penjaga atau ketua. Dia juga mempunyai semangat untuk bersaing. Bagi mereka, meraih pencapaian, mengatasi halangan, dan menjayakan sesuatu perkara ialah suatu definisi kehidupan yang baik.

2. Suka Bergaul (Socialiser)

Pernahkah anda berjumpa dengan seseorang yang periang, happy-go-lucky dan sentiasa gembira. Mungkin anda mempunyai anak seperti ini. Dia bergaul dengan baik dengan semua orang. Ke mana sahaja dia pergi dia mempunyai ramai pengikut. Anak perempuan saya yang sulung, Sumayyah, ialah contoh bagi saya. Ketika dia belajar di kolej, dia mengenali semua orang, daripada pengawal keselamatan hinggalah kepada Pengerusi. Apabila dia masuk ke kawasan kolej, dia menegur pengawal keselamatan dan kadangkala berbual sedikit dengan mereka, dan apabila dia melangkah masuk ke dalam lif, dia berkata “Hai…” kepada semua orang. Apabila masuk ke pejabat, dia menegur semua orang dan dengan demikian dia dapat melangkah masuk ke pejabat pengerusi tanpa rasa ragu-ragu. Secara kebetulan, Pengerusi kolej itu juga seorang yang suka bergaul. Jadi, mereka akan berbual dan ketawa setiap kali berjumpa.

Mereka yang luas pergaulan ialah seorang yang sentiasa ceria dan gembira. Mereka mungkin kelihatan kurang pandai, tetapi awas, mereka ialah orang yang pintar. Mereka hanya gemar bersikap ceria dan gembira. Sekiranya mereka yang mempunyai keperibadian begini mahu belajar berenang, dia akan memberitahu kawan-kawannya dahulu, dan mengajak mereka membeli peralatan berenang dengannya. Kemudian dia akan mengumpulkan orang-orang di sekeliling kolam renang itu untuk memberikan sorakan kepadanya apabila dia terjun ke dalam air. Akhirnya, sama ada dia berjaya berenang atau tidak, itu tidak berapa penting baginya. Yang penting adalah untuk bergembira, menghiburkan orang lain, dan dihiburkan.

Bagaimanakah keadaan biliknya? Hal ini bergantung kepada siapa tetamunya. Sekiranya dia ingin mengambil hati orang itu, anda akan dapati biliknya sungguh kemas, wangi, tetapi jangan buka almarinya. Anda akan dapati semua barang yang tidak dikehendaki disumbat di situ. Dapatkah anda mengesan personaliti begini semenjak dia masih kecil lagi? Ya, anda boleh. Ketika Sumayyah masih kecil, saya telah dapat melihatnya. Dia seorang anak kecil yang periang dan sungguh mudah untuk dijaga. Dia sungguh mesra dengan orang lain walaupun dia tidak mengenalinya. Sekiranya anda mendukungnya, dia akan bercakap dengan anda dengan ramah. Kawan saya suka menjaganya. Sungguh mudah mencari penjaga untuknya ketika dia masih kecil.

3. Suka Bersaudara (Relater)

Seperti yang diistilahkan di atas, mereka yang berpersonaliti begini sungguh mudah untuk berurusan. Mereka yang mempunyai personaliti ini sungguh mudah berurusan dengan sesiapa sahaja. Mereka ini ialah orang yang pendiam, tenang, dan sukakan keamanan. Orang begini akan menyatukan pasukannya sekiranya ada perbalahan. Mereka ialah pengaman. Mereka tidak gemarkan pergaduhan atau perselisihan faham dan tidak suka bertengkar.

Dalam banyak keadaan, mereka hanya gemar mengikut arahan. Ini bukan bermaksud mereka bersetuju atau suka arahan kerja itu, tetapi mereka lebih gemar mematuhinya daripada bertengkar. Sekiranya anda mempunyai anak yang berpersonaliti begini, anda akan dapati sungguh selesa berurusan dengannya. Daya ketahanan jiwanya kuat dan jangan menganggap dia lemah hanya kerana dia tidak suka menjadi ketua.

Mereka yang memiliki personaliti begini tidak suka menjadi tumpuan ramai dan jika di dalam pasukan, mereka lebih suka menjadi pemain (team player) daripada menjadi ketua (team leader). Walau bagaimanapun, sekiranya menjadi ketua, mereka akan menjadi ketua yang baik kerana mereka peka kepada keperluan ahli pasukannya. Mereka akan mempertimbangkan apa-apa sahaja masalah yang timbul sebaik mungkin sebelum mengambil apa-apa tindakan dan akan meletakkan kesejahteraan untuk semua orang sebagai satu keutamaan.

Sekiranya orang yang berpersonaliti begini ingin belajar berenang, mereka mungkin akan mencari guru renang untuk mengajar mereka berenang. Mereka mahu membuat sesuatu perkara itu dengan betul. Mereka juga mahu hidup harmoni dan berbaik-baik dengan semua orang di dunia ini. Sekiranya anak anda ialah seorang yang berpersonaliti suka bersaudara, anda akan dapati adalah mudah untuk berurusan dengannya. Mereka akan lakukan apa-apa sahaja yang anda suruh dan jarang sekali mereka tidak mematuhi anda. Walaupun mereka tidak gembira dengan arahan atau keputusan anda, dia hanya akan patuh. Anda akan dapati sekiranya saudara kandung atau teman-temannya meminta apa-apa, dia akan memberinya dengan senang hati. Dalam kehidupan ini, kemenangan tidak penting bagi diri mereka, tetapi membuat orang lain gembira ialah keutamaannya.

Saya mempunyai kawan yang mempunyai dua orang anak perempuan. Anaknya yang sulung mempunyai personaliti begini, tetapi adiknya bersikap pengarah. Cuba anda teka, siapakah yang akan sering menangis apabila berlaku pertengkaran? Benar, yang sulung. Siapakah yang sering mengalah? Betul… yang sulung juga.
Dia ialah orang yang selalu bertindak sebagai pendamai.

4. Pemikir (Thinker)

Pernahkah anda melihat watak Bree dalam siri TV popular, Desperate Housewives? Benar, dia ialah contoh yang baik untuk orang yang berpersonaliti Pemikir (Thinker), seorang yang sempurna, sentiasa mahukan, kesempurnaan dalam setiap perkara, dan sungguh teliti semasa menyempurnakan tugasnya. Detektif Monk dan Mr. Bean juga antara contoh yang sangat baik untuk personaliti di atas.

Seorang pemikir selalunya lebih selesa bersendirian. Sekiranya anak anda mempunyai personaliti begini, anda akan dapati dia tidak mempunyai ramai kawan, tetapi walaupun sedikit, mereka sangat rapat. Itu tidak mengapa, kerana orang yang berpersonaliti begini lebih gemar dengan keadaan demikian.

Mungkin anda juga dapati anak anda ini mengambil masa yang lama untuk menyudahkan kerja sekolahnya. Ini adalah kerana dia mahu pastikan tulisannya cantik dan kemas dan bencikan kerja yang tidak kemas dan teratur. Dia telah dianugerahkan dengan satu kebolehan untuk menyusun segala barang dan bukunya dengan baik.

Individu yang sebeginilah yang akan menyusun wang ringgit di dalam dompetnya mengikut susunan nilai; nilai yang kecil di hadapan dan yang besar semakin ke belakang. Wangnya akan disusun dengan hala muka yang sama. Ketika saya mula-mula mendirikan rumah tangga, saya terperanjat apabila melihat wang di dalam dompet suami saya disusun dengan sungguh kemas seperti di atas. Almari bajunya tersusun rapi, iaitu yang putih di satu bahagian dan yang berwarna di bahagian yang lain. Dia tidak begitu gembira melihat keadaan di dalam dompet saya. Tetapi kini, saya telah banyak berubah dan saya amat berterima kasih atas pengaruhnya.

Anak perempuan saya yang kedua juga seorang Pemikir. Kadangkala, jika saya mahu mengusiknya, saya akan menyelerakkan susunan wangnya. Dia akan cepat-cepat mengambilnya kembali dan menyusun wangnya semula. Kemudian barulah dia berasa lega.

Sekiranya Pemikir ini ingin belajar berenang, dia bukan sahaja akan mendapatkan jurulatih, tetapi juga akan pergi ke perpustakaan dan melayari Internet untuk mendapatkan bukti bahawa berenang adalah baik untuk kesihatan. Dia juga akan pergi ke kolam renang dengan dilengkapi alat saintifik yang dapat menguji keasidan air. Semasa membuat keputusan, dia akan memeriksa, menganalisis, dan memikirkan sedalam-dalamnya kerana mereka ini inginkan kesempurnaan dalam segala segi.

Yang saya nyatakan di atas adalah sebahagian daripada panduan untuk tingkah laku individu yang berpersonaliti demikian. Ia mungkin tidak benar 100%, tetapi agak tepat. Individu sebegini mungkin mempunyai semua sifat personaliti yang kita bincangkan sebelum ini, tetapi mungkin ada satu atau dua sifat yang lebih mempengaruhi. Seperti Bree, personalitinya yang lebih berpengaruh adalah sebagai seorang Pemikir. Walau bagaimanapun, dia juga mempunyai sifat yang kuat sebagai seorang yang Suka Bersaudara. Apakah tujuannya untuk kita mengetahui semua perkara di atas dan apakah hubungannya untuk menjadi ibu bapa yang berjaya?

Apa-apa sahaja perkara yang memberikan anda lebih kefahaman tentang diri anak anda akan membantu anda untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik. Pengetahuan ini akan memberikan penjelasan kepada anda tentang sebab-sebab manusia berbeza atas banyak alasan dan tujuan. Anak-anak kita mungkin tidak mempunyai sifat dan sikap yang sama dengan kita. Jangan sekali-kali membezakan dan memperkecil mereka.

Ramai ibu bapa membuat kesilapan dengan membandingkan anak-anak mereka dengan orang lain dan mahu anak-anak menjadi seperti mereka. Sekiranya anak anda ialah seorang Pemikir secara semula jadi, memaksa dia supaya mempunyai ramai kenalan seperti mereka yang Suka Bergaul akan merosakkan diri mereka. Memaksa tidak akan membantu, tetapi dengan memberikan tunjuk ajar tentang cara bergaul akan memberikan faedah kepadanya. Ini adalah kerana mendapatkan ramai kenalan bukanlah sifat semula jadi bagi Pemikir, tetapi ia amat mudah bagi mereka yang bersifat Suka Bergaul. Ini tidaklah bermaksud sekiranya dia seorang Pemikir, dia tidak mempunyai keupayaan untuk belajar menjadi seperti Pengarah atau seorang yang Suka Bergaul. Dia berkebolehan, tetapi mestilah dengan kerelaan hatinya.
Mengetahui kesemua jenis personaliti ini, bukan untuk kita mendapatkan alasan kenapa dan bagaimana kita begini. Sebagai contoh, bukanlah untuk kita berkata, “Saya tidak mempunyai ramai kawan kerana saya seorang Pemikir, atau “Saya tidak pandai berkemas dan tidak teratur kerana saya Suka Bergaul.” Di samping kita menggunakan pengetahuan ini, kita juga dapat memahami dengan lebih baik tentang diri kita dan berusaha untuk membaikinya.

Sebagai contoh, diri saya sendiri seorang yang berpersonaliti lebih kepada jenis Pengarah, dan saya kurang kemas dan teratur dalam kerja-kerja saya. Saya cenderung menggesa orang-orang di sekeliling saya sewaktu melakukan sesuatu tugas. Ketika saya di bangku sekolah, saya hairan sebab kawan-kawan saya tidak sependapat dan sering menentang saya. Saya hanya cuba menjayakan satu-satu tugas. Kini, saya sedar, iaitu mungkin saya terlalu menggesa mereka membuat sesuatu mengikut cara saya. Saya tidak melakukannya dengan sengaja, tetapi sebagai seorang pengarah saya mengutamakan tugas. Walau bagaimanapun, saya belajar untuk membaiki kemahiran kemanusiaan saya dengan menyerapkan beberapa personaliti mereka yang suka bersaudara (Relater) apabila saya perlu mewujudkan suasana yang harmoni dengan orang-orang yang saya ketuai. Saya belajar menyeimbangkan antara tugas dan kemanusiaan. Walaupun ia merupakan satu perubahan yang tidak dapat dilakukan dalam semalaman, tetapi boleh dilakukan. Kini, prestasi saya sebagai seorang peneraju menjadi lebih baik dan saya lebih memahami dan memiliki perasaan belas kasihan terhadap mereka yang tidak boleh bergerak sepantas yang saya mahukan. Saya tidak menggesa, tetapi memberikan motivasi dan mengukuhkan semangat mereka.

Menyingkap rahsia

Seorang anak yang mempunyai personality Director, jika disuruh mematuhi arahan tanpa penerangan, dia akan lebih cenderung tidak mengikut arahan itu. Mereka inilah yang sering dikatakan keras hati atau degil dan sebagainya. Jika mereka ini dipaksa dan dipaksa, anak-anak berpersonaliti ini akan membesar menjadi remaja yang suka memberontak.
Opps…jangan tersalah faham,bukanlah personality ini buruk. Setiap personality ada kekurangan dan kelebihannya. Cuma bila ibu bapa itu telah memahami seorang anak itu lebih berpersonaliti director, maka sebagai ibu bapa mereka akan mengelakkan konfrontasi dengan anak itu.

Malah tidak kiralah apa sahaja personality anak-anak kita, memberi ruang kepada mereka menyuarakan pendapat serta perasaan tidak puas hati mereka secara sihat akan mengelakkan persengketaan di dalam rumah-tangga.

Bersambung…

Kesan Perkataan Kepada Anak-anak kita - Ibarat Doa

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Friday, November 18, 2011 at 2:24pm ·
Semasa sesaorang bayi itu lahir, dia mempunyai potensi untuk menjadi seorang genius.  Jika seorang bayi itu tidak cacat maka dia mempunyai segala yang di perlukan untuk dia boleh menjadi  cemerlang. Jika otaknya dirangsang dengan sempurna, dia pasti boleh mencapai tahap genius.

Saya suka membuat andaian yang mudah difahami untuk menerangkan lagi perkara ini. Sekiranya kita andaikan anak kecil itu seperti sebuah kereta, maka semasa dia baru lahir, dia adalah ibarat sebuah kereta sport yang boleh meluncur laju dan mempunyai kapasiti enjin yang besar. Namun jika pemandunya tidak menggunakannya dengan sepenuhnya, tidak ada guna kuasa yang ada pada kereta itu.

Untuk menjadi juara , ibubapa  dan anak mesti dapat bertahan hidup di dalam dunia penuh cabaran ini. Ini memerlukan kekuatan disiplin yang tinggi terutamanya bagi ibubapa. Ibubapa mesti mengawal diri dan senantiasa memastikan diri memberi input yang baik kepada anak-anak.

Pertama, ibubapa mesti mengawal perkataan yang keluar dari mulut.  Jika mahu anak jadi berani, berhentilah menakutkan mereka. Jika mahu anak menjadi baik, berhentilah mengatakan mereka jahat. Jika mahu anak yang berdisiplin, berhentilah mengatakan mereka itu ‘ hyperactive’. Perkataan yang keluar daripada mulut kita akan memprogram otak anak-anak kita.

Bila  perkataan itu terlalu kerap dia kaitkan kepada anak itu, maka anak ittu akan mengambilnya sebagai milik dia. Dia akan mengaitkan imej kendirinya dengan perkataan itu.  Bila itu sudah menjadi  miliknya, maka menukarnya menjadi payah. Pada peringkat ini, ia bukan sekadar mental sahaja, tetapi jiwa juga terlibat.

Terdapat ibubapa yang tidak suka menggunakan perkataan positif kepada anak-anak mereka contohnya, comel, bijak, rajin, cantik dan sebagainya. Kononnya pada pendapat mereka, anak-anak yang selalu dipuji akan bengkak kepala mereka.Nanti, anak akan menjadi bongkak.

Memuji sebenarnya tidak meninggalkan kesan negatif jika dilakukan dengan betul. Contohnya, jika anak itu bijak, katakan dia bijak dan kemudian tanya dia mengapa dia suka menjadi bijak. Semasa itu semaikan nilai-nilai  murni untuk menjadi pendorong dia untuk menjadi bijak. Contohnya,  dia menjadi bijak dan suka belajar kerana dia mahu menolong orang lain menjadi bijak juga.  Walaupun pada usia yang masih kecil. Janganlah membandingkan kebijaksanaan  dia kelembapan budak lain pula. Kemudiannya memuji dia melangit tinggi. Inilah yang membawa takabur.

Mempunyai imej kendiri yang positif adalah perisai  yang paling penting untuk berjaya hidup di dalam dunia yang penuh negatif ini. Oleh itu adalah amat penting bagi ibubapa membina imej kendiri yang positif di dalam anak kecil mereka. Janganlah mengaitkan perkara-perkara yang negatif dengan di mereka. Jika mereka tidak suka bergaul dengan orang lain, janganlah  itu sahaja  yang disebut berkali-kali.  Jangan pula mengait perkara itu sebagai peribadinya. Gunalah perkataan yang boleh memprogramkan dia untuk suka bergaul. Contohnya, “ Fia, suka berkawan, nanti bila Fia dah kenal kawan, Fia suka bermain dengan dia, kan?” Ini menyediakan anak itu untuk menerima identiti asing ini dan menjadikanya hak dia. Gambaran ini disemaikan di minda mereka sedari kecil lagi.

Ibubapa cemerlang  yang mahu membina anak-anak  yang positif perlu melihat anak-anak mereka yang masih kecil sebagai seorang  yang berkebolehan, cekap dan berjaya bila dewasa nanti.

Gagalkah Saya Jika Anak-anak Tidak Menjadi Orang?

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Thursday, November 10, 2011 at 12:01pm ·
 “Saya dah didik anak saya terbaik. Saya dah ajar tentang Islam. Saya dah ajar dia ilmu agama, ilmu untuk hidup dengan harmoni…tapi bila dah besar panjang,  senang-senang dia melanggar larangan Allah…sakitnya Prof. saya menanggungnya. Adakah saya ini ibu yang tidak tidak berjaya yang tidak cemerlang?” Rintih seorang ibu, yang saya jumpa baru-baru ini.

Saya melihatnya dan sayu hati saya. Saya boleh merasakan kesedihan hatinya dengan apa yang dia anggapkan sebagai satu kegagalan besar di dalam hidupnya. Airmatanya terus mengalir dan saya boleh mendengar sedu tangisannya.
Fikiran saya melayang teringatkan kisah Nabi Allah Nuh a.s. Ribuan tahun Nabi Nuh a.s. berdakwah, namun, anak dan isterinya tidak mahu beriman sehingga mereka tenggelam di dalam banjir besar yang melanda. Itu adalah Nabi Nuh, seorang yang dipimpin Allah. Bolehkah kita kata baginda telah gagal. Dengan neraca apakah kita mengukurnya?

Dari situ saya mengambil satu pegangan, tugas kita sebagai ibu atau bapa adalah untuk mendidik dengan sebaik mungkin anak-anak kita. Namun, kita mesti sedar, hati seseorang itu bukan milik kita dan tidak kita pegang. Jika setelah dididik dengan baik dan dibesarkan dengan sempurna pentarbiyahannya, namun, anak itu masih tidak mahu menerima hidayah, maka kita boleh bersedih, tetapi janganlah berduka sehingga membinasakan diri. Itu perjalanan hidupnya. Apa yang kita boleh buat panjatkan doa agar anak itu dapat menerima taufik dan hidayah, serta sediakan diri untuk menerimanya bila dia mahu kembali ke pangkal jalan.

Sebenarnya, bukan mudah untuk menerima orang yang telah banyak melakukan kekasaran dan dosa kepada kita dan dirinya, namun, itulah sebabnya kita ini ibu atau bapa. Gelaran itu bukan suatu yang ringan, ianya besar dan berat maknanya.

Bolehkah kita mengenepikan ego kita untuk berdoa agar anak-anak yang mengasari kita dan tersalah jalan itu diberi taufik dan hidayah dan pulang ke pangkal jalan? Bolehkah kita berlapang dada menerimanya kembali sebagai kain putih yang bersih?

Inilah peranan seorang ibu dan bapa. Jika tidak makakan Allah meletakkan ibu dan bapa itu sebagai darjat yang tinggi. Dan syurga anak di bawah tapak kaki ibunya.

Dalam masa yang sama, kita juga harus mengisafi bahawa anak-anak kita itu, ragam-ragam mereka sebenarnya melentur dan melapah hati kita agar jatuh semua keangkuhan dan kesombongan. Kerana untuk memaafkan kesilapan, hati perlu bersih. Kasih perlu besar. Dan siapa lagi yang boleh mengajar kita perkara itu jika tidak anak-anak kita yang suatu masa dahulu kakinya sebesar dua ibu jari kita. Dan mulutnya tidak henti-henti memanggil mama, ibu, ummi, atau ayah, bapa atau papa. Pantang hilang kita di mata mereka, mereka menangis mencari-cari. Ingatan kita terhadap mereka semasa mereka kecil itu membasuh habis segala kecil hati, marah atau dendam yang mungkin telah mengisi hati kita yang mereka lukakan.

Jika kita faham dan sedar anak kita itu bukan sahaja anugerah atau amanah tetapi juga guru kepada kita untuk mengajar siapakah kita ini sebenarnya, maka kita dapat kembali tenang, sabar dan mengisi penuh hati kita dengan kasih sayang sejati.

Satu perkara yang ingin saya bawa ke tengah di sini juga ialah bukanlah hak kita untuk mengatakan seseorang itu gagal di dalam mendidik anak-anak mereka hanya berpandukan pandangan mata kasar kita sahaja. Kita tidak tahu apakah rancangan Allah. Dia juga yang Maha Mengetahui. Apa yang perlu kita lakukan ialah membantu sebanyak mungkin termasuklah berdoa kebaikan untuk ibu dan bapa dan anak itu juga. Serta ambillah iktibar daripada pengalaman mereka. Itulah sebabnya mengapa perkara itu sampai kepada kita. Iaitu untuk kita belajar.

Dan akhir sekali, gagalkah kita jika anak tidak menjadi orang? Jawapan yang saya boleh beri, kita gagal jika sememangnya kita telah tidak mendidik dengan baik. Namun, sekiranya didikan telah diberikan dan jalan yang salah juga yang diikut, lepaskanlah kepada Allah swt dan minta daripadaNya agar kita boleh membantu anak kita itu untuk menjadi seorang yang berguna. Jika ada kesilapan kita, maka perbaikilah. Apa yang JANGAN kita lakukan ialah memarahi dan membencii diri kita dan anak yang bersalah itu sehingga kita menutup pintu untuk iman kembali masuk.


Semoga Allah menguatkan iman dan kasih sayang di dalam hati kita semua.

Hyper-Aktif atau cuma Aktif

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Tuesday, October 25, 2011 at 1:42pm ·
Hari ini saya ingin menulis sebuah pengalaman mengenai anak yang HYPER-ACTIVE. 

Beberapa tahun yang lalu saya  telah menerima panggilan telefon daripada seorang ibu. Dia mengatakan bahawa dia mendapat nombor saya daripada halaman saya di dalam Mingguan Wanita. Dia mula bercerita akan resah hatinya.

Katanya, dia ada mempunyai seorang anak yang berusia 7 tahun di dalam darjah satu dan mengikutnya anak ini tersangat aktif, malah mengikutnya anak ini hyper-aktif. Guru kelaspun mengatakan anaknya hyper-aktif. Oleh kerana risau akan anaknya itu dia telah membawa anaknya berjumpa doktor. Doktor pun mengatakan anaknya hyper-active dan memberi ubat untuk mengurangkan keaktifan anaknya itu.

Saya tertanya pula di dalam hati saya mengapa dia menghubungi saya jika dia telah berjumpa doktor dan disahkan oleh doktor sebagai hyper-active. Kata beliau, mengikut doktor, jika ubat itu diambil berterusan akan memberi kesan buruk kepada anaknya.

Lama juga saya bercakap di dalam telefon itu dengannya. Ceritanya berulang-ulang. Yalah, dia serba salah, hendak dibiar, anak itu terlalu aktif. Hendak diberi makan ubat, kata doktor ada kesan buruk pada jangka panjang. Kesian mendengarkan resah hatinya itu, saya menawarkan diri untuk berjumpa anaknya. Tapi dengan syarat anaknya itu tidak diberi ubat itu untuk satu hari sebelum dibawa berjumpa saya. Saya ingin lihat sejauh mana hyper-activenya anak itu.
Hendak dipendekkan cerita, hari saya berjumpa anak itu, saya suruh ibunya membiar anaknya bermain di sekitar tempat kami berbual. Suami beliaupun ada bersama. Si ibu dengan penuh prihatin menceritakan perihal anaknya. Sambil mendengar luahan hati si ibu, saya mengikuti pergerakan si anak lelaki 7 tahun itu dengan ekor mata saya.

Setelah lebih kurang setengah jam bersembang, saya bertanya si ibu adakah dia memberi anaknya makan ubat dalam masa 24 jam sebelum berjumpa saya. Si ibu berkata tidak. Mengapa saya bertanya begitu. Kerana apa yang ternyata di hadapan saya setelah menyaksikan si anak itu bermain selama setengah jam di hadapan mata saya, anak itu adalah seorang anak lelaki yang aktif dan bukan hyper-active seperti yang dikatakan. Anak itu cuma AKTIF. Suka bergerak dan bermain lasak seperti mana-mana anak lelaki seumur itu. Saya juga melihat anak itu boleh fokus bermain sesuatu mainan. Anak matanya boleh fokus melihat sesuatu.

Lalu saya bertanya mengapa si ibu mengatakan dia seorang hyper-active?  Mengikut beliau, anak perempuannya, iaitu anaknya yang kedua, mahu duduk diam dan tidak melompat ke sana ke mari.

Mendengar penjelasannya, saya lalu mengambil tangannya dan berkata, “ Puan, anak lelaki sememangnya lebih aktif daripada anak perempuan. Lagi satu kemungkinan anak ini juga belajar dengan cara melakukan dan bergerak, iaitu seorang yang Kinesthetic ( untuk penerangan lanjut – ada tertulis di dalam buku saya – Membina Anak-anak Cemerlang). Apa yang saya lihat anak ini bukan hyper-active. Sila dapatkan pandangan kedua daripada doktor yang berbeza. Doktor pakar mengenai anak-anak yang hyper-active. Bagi saya anak puan tidak langsung menunjukkan simtom anak yang hyper-active. Dia cuma aktif dan banyak tenaga.”

Habis perlukan saya teruskan ubat itu? Tanyanya. Saya memberitahunya, pilihan itu di tangan puan dan suami. Jika benar anak ini hyper-active setelah disahkan oleh doktor yang pakar di dalam bidang itu, maka cari ubatan yang tidak meninggalkan kesan yang buruk. Jika tidak, janganlah diseksa anak itu dengan ubat yang tidak perlu dia ambil. Ubat yang paling mujarab untuk nya adalah memberi dia ruang bermain lasak dan aktif setiap hari. Jika keterlaluan aktifnya, kurangkan gula di dalam pemakanannya dan elakkan minuman bergas. Bacalah lebih mendalam mengenai kondisi hyper-active ini.

Mengapa saya membawa kisah ini ke tengah. Pertama, kerana perkata atau terminologi hyper-active ini terlalu mudah digunakan tanpa kefahaman yang jelas. Bila melihat anak tidak tahu duduk diam, cepat sahaja dia dikatakan hyper-active. Perkataan itu digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami kesannya kepada anak itu dari segi kesihatannya dan juga dari segi psaikologinya.

Perkataan Hyper-Active ini membawa essence yang negative, seolah-olah satu penyakit dan suatu yang tidak disukai. Bayangkan seorang anak yang aktif itu digelas hyper-active, bagaimana agaknya pandangannya kepada dirinya. Kita bercakap mengenai mahukan anak-anak yang confident. Bayangkan bagaimana confident anak itu diragut oleh gelaran ini yang merundumkan imej dirinya!

Anak yang suka bergerak dan bermain, melompat ke sana ke mari adalah anak yang sihat dan AKTIF. Keaktifannya menunjukkan dia bijak dan otaknya berfungsi dengan baik dan koordinasi badannya bagus. Lagipun kita mesti ingat, badannya kecil, jadi dia tidak cepat letih bebanding kita orang dewasa yang badan kita sudah besar. Kita bergerak sikit, sudah letih, sebab kita perlu membawa badan yang lebih besar maka tenaga yang diambil juga lebih banyak.

Anak kecil itu, badannya ringan dan bila dia bergerak, dia tidak banyak memerlukan tenaga, oleh itu untuk memastikan tenaganya digunakan dengan baik, maka dia perlu bergerak. Bukankah kita dahulu pun begitu semasa kecil. Kita memanjat pokoklah, mandi sungailah dan banyak lagi. Anak-anak sekarang ini terutamanya yang di bandar, kebanyakan mereka terperangkap di dalam rumah yang bergril. Ya, kita perlu melakukan sedemikian demi keselamatan mereka.

Dalam masa yang sama, jika mereka itu agak aktif lebih, faham-fahamlah dan berikanlah mereka aktiviti yang membolehkan mereka dapat menggunakan tenaga mereka. Jika selalu sangat disuruh duduk diam, lama-lama mereka menjadi malas dan apa yang mereka suka lakukan ialah makan dan main video game. Lama kelamaan kita lihat bila usia menjangkau 10 tahun kita lihat badan mereka pun mula mengembang!

Kembali kepada cerita ibu yang anaknya dikatakan hyper-active tadi, bila perbualan saya dengannya berakhir, suaminya yang dari tadi tidak berkata apa-apa bertanya kepada saya; “ Dr. bagaimana kalau anak bermain di luar dan bajunya kotor, patut tak dimarahi?” Tanyanya sambil memandang isterinya.

Dengan tersenyum saya menjawab, “ jika anak takut bajunya kotor bila bermain di luar, bagaimana dia boleh bermain dengan seronoknya – khaskan baju yang boleh dia pakai untuk bermain di luar. Beri anak-anak kebebasan yang sewajarnya untuk bermain kerana pada usia sebegini, inilah foundation untuk mereka mengekspresikan kemampuan mereka. Jangan takut mak atau ayah marah sebab baju kotor merantai keupayaan mereka. Berikah kebebasan yang sewajarnya” Jawab saya dengan tersenyum.

Menjawab Soalan

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Tuesday, October 4, 2011 at 9:14am ·
Salam semua,

Semoga semuanya sihat dan di dalam Rahmah Allah. Minggu ini saya khaskan untuk menjawab soalan-soalan yang telah ditanya. InsyaAllah, saya akan usaha untuk menjawab kesemuanya.

Soalan: saya mempunyai seorang anak perempuan berumur 1y 8m. masalah saya ialah akhir2 ini dia suka menunjukkan sikap 'tidak setuju' atau 'tidak mahu' atau mungkin marah dengan menyembur air liur. mula2 dia akan bercakap 'nanak!' ... kemudian 'isshh!'... dan kadang2 menyemburkan air liur. apakah yang boleh saya lakukan agar dia lebih behave? Tq

Anak kecil di bawah 2 tahun sememangnya akan ada stage dimana dia suka menyembur air liur. Kemungkinan ini berkait dengan lidah dan mulutnya mahu belajar mengeluarkan perkataan. Jangan dimarah, kerana dia bukan menyembur kerana jahat. Jika anda melihat dia melakukan seolah-olah mengikut seseorang dan dia melakukan untuk menyakiti seseorang( saya tidak berasa begitu), maka beritahu dia dengan baik untuk tidak melakukan itu lagi.

Anak-anak kecil sangat ‘observant’. Mereka mudah mengikut-mengikut. Jika anak puan suka berkata tidak mahu atau nanak dan isshh…perhatikan siapa di dalam hidupnya berbuat demikian. Jika dia atau mereka adalah orang yang rapat dengan anda, maka anda boleh meminta mereka untuk lebih berhati-hati dengan perilaku mereka di hadapan anak anda. Namun, cara yang terbaik ialah anda membanyakan yes, dan boleh di dalam pergaulan anda dengan anak anda. Bacakan cerita yang meningkat semangat dan tambah perkataan yes, atau saya boleh(ganti nanak dan tidak setuju) atau angguk (ganti isshh).  Contohnya, “ Suatu masa dahulu ada seorang budak yang sangat pandai dan baik hati – yes dan angguk. Dia rajin menolong ibu dan ayahnya –sama seperti sayang(yes dan angguk). Ini dinamakan ‘positive conditioning’.

Beri masa untuk perkara ini untuk berubah. Janganlah menyangka dengan melakukannya sekali sekala ia akan terus berhasil Ketekunan dan kecekalan ialah jawapannya.

Diatas semua ini, berikan rasa selamat di dalam diri anak puan. Selalu katakan dia sangat-sangat dikasihi. Ini memberi rasa selamat pada dirinya dan membolehkan pertumbuhan emosi dan rohaninya baik. Dari segi pertumbuhan otaknya. Ada kait mengaitkah pertumbuhan otak dengan rasa dikasihi. Ya, sangat-sangat berkait.

Harap jawapan ini dapat membantu.

Bagaimana Hendak Berpatah Balik

by Prof. Dr. Rozieta Shaary on Wednesday, September 28, 2011 at 9:56am ·
Seorang ibu muda telah bertanya saya, “ Bagaimana jika selama hari ini dia tersilap cara mendidik anaknya, bolehkah perkara ini berpatah balik.” Mungkin maksud beliau, bolehkah idperbaiki keadaan itu.
Semasa saya juga merupakan ibu muda, suatu hari saya terbaca sebuah artikel. Penulis itu bercerita mengenai bagaimana jika kita sering memarahi anak-anak dan apa kesannya kepada anak-anak kita. Mengikut beliau dahulunya dia memang senang marah-marah kepada anak-anaknya. Maka suatu hari kerana tidak tahan dengan perangainya yang suka marah-marah itu, beliau telah meminta nasihat kepada seorang nenek tua.
Kata beliau, nenek tua telah mengajar beliau, setiap kali dia marah kepada anak-anaknya, dia disuruh  mengambil sebatang paku dan menukulkanya ke dalam sekeping kayu. Sehingga penuh papan itu.
Lalu dia berjumpa pula dengan nenek tua itu lalu nenek itu menyuruhnya setiap kali dia memujuk kembali atau meminta maaf atau menahan marah, maka dia disuruh mencabutlah kembali paku itu. Sehinggalah habis paku-paku itu dicabut.
Dia lalu datang kepada nenek tua itu, maka nenek itu menyuruh dia melihat papan tadi dan apa yang telah terjadi kepadanya. Ternyata papan itu berlubang-lubang kesan dipaku. Lalu nenek tua itu mengatakan kepadanya begitulah juga kesannya kepada anak-anak kecil yang dimarah, ia tetap memberikan yang tidak kita hajati.
Bila saya habis membaca cerita itu, saya lalu terkedu, kerana saya merasakan saya telah meninggalkan kesan yang tidak baik kepada anak-anak yang saya kasihi. Mereka adalah jantung hati saya. Namun adakalanya kerana tidak sabar saya memarahi mereka keterlaluan. Apa yang harus saya lakukan? Lalu saya terfikir akan papan yang berlubang-lubang tadi. Apa yang boleh saya lakukan jika papan itu telah berlubang-lubang kesan paku yang telah dicabut? Maka saya terfikir, mungkin saya boleh ‘sand paper’ papan itu sehingga lubang itu hampir tertutup. Selepas itu saya boleh  ‘ shellac’ papan itu sehingga ia cantik. Atau saya boleh catkan ia dan tutup lubang-lubang yang ada. Cat itu saya perlu lakukan berlapis-lapis.
Cat itu adalah ibarat kasih sayang dalam bentuk pujian, kata-kata semangat serta maaf. Kita lakukan berkali-kali sehingga anak itu kelihatan sudah semakin yakin dengan dirinya.
Mungkin pengalaman saya ini boleh membantu anda.
Pengakuan Seorang Ibu

Saya masih teringat semasa keempat-empat orang anak saya masih kecil. Saya selalu berduka, tidak gembira, suka marah-marah, dan senantiasa berasa tertekan dengan perasaan rendah diri. Saya benci akan hidup saya. Saya merasakan saya dipandang rendah kerana saya bukannya wanita yang mempunyai karier atau pekerjaan, tetapi hanyalah seorang suri rumah tangga. Itulah yang saya rasa; sama ada itu benar atau sebaliknya. Namun, itulah kebenarannya kepada saya pada ketika itu.
Saya sering mengalami masalah untuk mengendalikan anak-anak saya, terutamanya anak kedua saya. Anak-anak saya yang lain tidak begitu memberikan masalah. Apabila saya fikirkan kembali, saya berpendapat bahawa saya telah melepaskan kekecewaan saya kepada mereka. Anak kedua saya sering marah dengan tiba-tiba dan bersifat panas baran. Dia tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain dan tidak menghargai dirinya. Ketika dia marah, cuma ayahnya sahaja yang dapat menenteramkannya. Kadangkala saya terpaksa menghubungi suami saya ketika di tempat kerja dan dia akan menenteramkan anak saya melalui telefon.
Suatu hari suatu perkara telah berlaku dan perkara ini telah menyedarkan saya. Saya dipaksa melihat jauh ke dalam diri saya; dengan belas ihsan Tuhan Yang Maha Kuasa. Saya mula sedar apa yang saya lakukan akan membuatkan anak-anak saya sengsara, dan seterusnya saya sendiri akan lebih sengsara lagi. Saya ingin membesarkan anak-anak yang memiliki cita-cita tinggi dan mempunyai semangat yang kental. Saya mahu mendidik mereka menjadi anak-anak yang berfungsi sepenuhnya sebagai individu yang bijak. Pada hakikatnya, itulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga. Namun begitu, saya telah melakukan perkara yang sebaliknya. Saya merosakkan hidup mereka.

Saya melihat diri saya sedalam-dalamnya. Apakah perkara yang perlu saya ubah untuk membolehkan keadaan menjadi lebih baik untuk semua orang? Perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah memaafkan diri saya. Kemudian, saya memaafkan mereka yang mencemuh dan memandang rendah kepada saya. Langkah yang selanjutnya ialah memohon kemaafan daripada anak-anak saya, terutama anak kedua saya. Mereka memaafkan saya dengan rela hati tanpa rasa dendam dan marah.
Saya dapat menghapuskan sikap negatif itu secara perlahan-lahan. Saya mula membaca banyak buku mengenai cara membantu diri, mengambil kursus dari rumah mengenai psikologi anak-anak serta menghadiri seminar, dan juga kursus untuk mengukuhkan motivasi dalaman saya. Matlamat saya sungguh nyata. Saya mahukan anak-anak boleh bergantung pada saya dan berasa selamat apabila bersama saya. Saya mahukan keluarga yang bahagia dan memberikan contoh yang baik kepada orang lain.
Saya melihat anak-anak saya semakin meningkat remaja, terutamanya anak kedua saya. Keyakinan diri mereka bertambah baik dan anak kedua saya mula mempunyai lebih ramai kawan. Sikap panas barannya telah hilang. Saya sedar saya berada pada landasan yang betul apabila dia dilantik sebagai pengawas sekolah. Dua tahun kemudian, dia dipilih sebagai pelajar terbaik di sekolahnya. Kini, dia merupakan seorang gadis yang berusia 24 tahun, yang sungguh bertanggungjawab dan mengambil berat tentang keluarganya serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Dia berusaha dengan sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dalam segala hal yang dilakukannya. Dia memberikan keutamaan kepada keluarga dan dalam segala hal dia ialah seorang gadis yang periang dan bersemangat tinggi. Saya menyayanginya dan saya sayangkan kelima-lima orang anak saya. Hari semasa saya mengambil keputusan untuk berubah ialah hari yang membebaskan kami semua daripada belenggu tenaga negatif.
Walaupun saya mempelajarinya melalui jalan yang sukar, saya berharap agar pengalaman saya akan menjadi panduan kepada anda semua. Jangan jadikan anak-anak kita seperti sebuah beg untuk kita melepaskan tumbukan (punching bag). Mereka bukan dilahirkan untuk kita melepaskan kekecewaan kita kepada mereka. Mereka dikurniakan kepada kita untuk mengingatkan kita tentang kehidupan kita telah dirahmati.
Jika kita terus menjadikan anak-anak kita seperti beg untuk kita melepaskan tumbukan, mereka akan berasa rendah diri, tiada motivasi, dan menjadi kanak-kanak yang penakut. Saya percaya ini bukanlah perkara yang anda mahukan. ( Dipetik daripada buku ‘ Membina Anak-anak Cemerlang’

Jika telah tersilap cara selama hari ini, jangan rasa kecewa sangat kerana kekecewaan itu akan membunuh kesabaran dan semangat kita. Maafkan diri anda dan mula membetulkan cara. Kuatkan hati untuk meminta maaf kepada anak-anak anda walau semana kecil sekali pun mereka. Mulai saat ini, senantiasa katakan kepadanya, anda bangga akan dia. Dia sangat istimewa dan berbakat serta bijak. Dia sangat anda kasihi dan dia selalu membuat anda gembira. Ulangkan kata-kata itu dengan sepenuh hati. Setiap kali dia melakukan perkara yang anda tidak suka, ingatkan kepadanya bahawa dia seorang anak yang baik.


Satu perkara yang hendak saya ingatkan juga di sini. Marah itu bukan semestinya tidak baik. Adakalanya kita mesti membetulkan anak-anak kita. Kita perlu marah. Apa yang perlu kita tahu ialah bagaimana untuk marah dan dengan marah kita itu anak-anak kita itu menjadi lebih berkeyakinan diri dan berdaya tinggi. Ini yang akan kita bincangkan seterusnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...