Mendisiplinkan Anak-anak
Adakah
kita benar-benar perlu mendiplinkan anak-anak? Adakah peraturan dan
hukuman merupakan sesuatu yang baik dalam membesarkan anak-anak yang
baik? Bagaimanakah anak-anak akan gembira sekiranya mereka terpaksa
dibendung oleh peraturan? Anak-anak yang sering dirotan akan membesar
menjadi seorang pembuli yang ganas. Oleh itu, mengapakah kita perlu
merotan anak-anak kita? Biarkan mereka bebas!
Saya tidak
bersetuju dengan kenyataan di atas. Sekiranya anda biasa menonton sebuah
filem Melayu klasik arahan Tan Sri P. Ramlee yang bertajuk ‘Anakku
Sazali’, anda akan dapat melihat betapa pentingnya membuat batas
sempadan dan peraturan untuk anak-anak kita. Filem itu mengisahkan
tentang seorang ayah yang terlalu sayangkan anak lelakinya, Sazali. Dia
membesarkan Sazali sendirian setelah kematian isterinya. Pada
pendapatnya, dengan memarahi, mengenakan batas dan sempadan serta
peraturan dan hukuman adalah sesuatu yang tidak baik dalam mendidik
anaknya malah dia juga memberikan apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh
anaknya.
Sazali membesar tanpa mematuhi dan menghormati
peraturan dan undang-undang. Akhirnya dia menjadi penjenayah. Apabila
dia sudah tidak dapat dikawal, bapanya cuba mengenakan kawalan dan
peraturan terhadapnya. Malangnya, ia sudah terlambat. Selepas ditampar
oleh bapanya, Sazali mengucapkan ungkapan berikut:
“Sekiranya ayah memukul saya ketika saya kecil dulu, saya tidak akan menjadi seperti ini…”
Mungkin
ada antara kita mengatakan senario ini hanyalah sebuah filem. Walau
bagaimanapun, renungkanlah, ia merupakan satu contoh yang baik bagi ibu
bapa yang sering membiarkan anak-anak mereka. Anak-anak yang membesar
tanpa disiplin, peraturan, dan batas sempadan sebenarnya membesar dalam
dengan perasaan kurang selamat dan rasa dikasihi.
Pada
masa yang sama, saya tidak bersetuju dengan merotan atau apa-apa sahaja
hukuman fizikal terhadap anak-anak sebelum umur yang sepatutnya yang
belum lagi dapat membezakan antara perkara baik dan buruk. Baru-baru
ini, saya berbual dengan seorang ibu tentang hukuman fizikal terhadap
anak-anak. Dia memberitahu saya bahawa anak kecilnya yang baru belajar
berjalan itu suka mengamuk. Dia akan berguling di atas lantai dan
menghantukkan kepalanya sekiranya ayah atau ibunya tidak memberikan
benda yang dikehendaki olehnya. Mengikut kawan saya itu, dia atau
suaminya akan memukul anaknya di pinggungnya dengan kuat dalam cubaan
untuk mendisiplinkannya.
Saya berkongsi pendapat
dengannya, bahawa anak-anak sekecil itu akan meradang secara tiba-tiba
sekiranya dia berasa letih atau marahkan sesuatu. Kadang-kadang, dia
berasa hampa kerana perasaannya tidak difahami. Pasti ada sesuatu
perkara yang telah mengganggu emosinya.
Memukul anak-anak
yang sekecil itu tidak akan dapat mendisiplinkannya. Pada hakikatnya,
memukul dan hukuman fizikal bukanlah satu-satunya cara untuk
mendisiplinkan anak-anak. Pada tahap umur mereka yang demikian, cara ini
cuma akan mengelirukan anak-anak dan membuatkan mereka berasa tidak
disayangi dan tidak diperlukan. Anak-anak kecil yang dibesarkan dengan
perasaan yang sebegini akan menghadapi banyak masalah pada masa akan
datang. Kawan saya telah mengakui bahawa anaknya telah mula mencubit dan
menolak budak-budak lain di nursery di mana dia dihantar dan menjadi
seorang anak yang payah untuk dikawal. Ini bukanlah yang kita mahukan,
bukan?
Pengalaman Saya
Sekiranya
anda merupakan ibu bapa yang masih muda, saya harap pengalaman saya
akan membawa kebaikan kepada anda. Saya berkahwin ketika berumur 20
tahun dan suami saya berumur 21 tahun. Pada ketika itu, kami masih
belajar di sebuah universiti di luar negara dan kami masih muda dan
tidak berpengalaman. Kami telah dikurniakan empat orang anak dalam masa
sesingkat lima tahun perkahwinan. Memang bukan mudah untuk belajar, di
samping membesarkan anak-anak!
Saya mahu mendisiplinkan
anak-anak saya supaya mereka akan menjadi seorang anak yang berakhlak
mulia dan saya boleh berbangga dengan mereka. Pada ketika itu, sebagai
seorang ibu muda, saya merasakan anak saya yang berusia 2 tahun telah
cukup besar. Saya menegur dan memarahinya seperti dia sudah berumur 10
tahun. Itulah kesalahan saya yang pertama. Saya sering menjadi marah dan
rasa terganggu dengan anak-anak saya, terutamanya apabila mereka
mengamuk. Ketika itu, saya menjadi seorang ibu yang agak garang.
Suatu
hari, saya terdengar kata-kata hikmat yang telah menukarkan pandangan
saya, iaitu kata-kata yang datang daripada abang ipar yang saya hormati,
Subkey. Dia sebenarnya menasihati kakak saya yang sedang memarahi
anaknya yang baru berusia 5 tahun pada ketika itu. Katanya, “Ingatlah,
umurnya tidak sampai satu per empat umur kita pun. Dia tidak mempunyai
kebijaksanaan yang kita ada. Sekiranya dia tahu dan boleh berfikir
seperti kita, dia tidak akan buat perkara-perkara seperti ini. Adalah
tugas kita untuk memberikan tunjuk ajar kepadanya.” Saya tersentak dan
terus menilai kembali cara saya mengendalikan kemarahan dan kehampaan
saya sewaktu membesarkan anak-anak saya. Semenjak itu, saya berusaha
dengan gigih untuk mengawal diri saya daripada terus menjerit dan
menghukum mereka apabila mereka membuat kesalahan. Mengimbas kembali
semua perkara itu, saya bersyukur kerana saya dapat menanam nasihat itu
dalam hati saya walaupun kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya.
Namun, begitulah Tuhan mengajar kita setiap hari.
Saya
ingin menjelaskan bahawa anak anda masih kecil sekiranya dia masih di
bawah umur 7 tahun. Anda perlu mendisiplinkan anak anda dan mendidiknya
untuk mengenal perkara yang baik dan perkara yang buruk. Walau
bagaimanapun, harus diingat bahawa didikan tersebut bukanlah dengan cara
menjerit, berteriak atau memberikan hukuman fizikal.
Sekiranya
anda perlu juga memukul dan menghukumnya demikian, jelaskan kepadanya
tentang perbuatannya yang salah itu. Dia boleh mengubah perlakuannya
yang buruknya itu dan menjadi orang yang mudah disayangi.
Janganlah
meragut kepercayaan dirinya. Selepas dia dihukum dan dia telah memahami
kesilapannya, dakaplah dia dan beritahu kepadanya bahawa dia disayangi.
Tidak salah memberikan hukuman, tetapi amati dan amalkan cara ini.
Kaedah yang betul akan mengukuhkan kasih sayang, tetapi cara yang salah
akan melahirkan perasaan benci dan dendam yang seterusnya akan
mencetuskan penyakit yang amat parah, iaitu tertutupnya pintu hati.
Enam Tahun Pertama
Enam
tahun pertama dalam kehidupan anak kita umpama waktu kita menyemai
benih. Sekiranya anda memberikan perhatian yang teliti untuk enam tahun
pertama ini, maka percayalah enam tahun yang berikutnya dan tahun-tahun
yang seterusnya, dia akan mudah diurus dan anda akan menerima
ganjarannya. Oleh itu, ketika menyemai benih, inilah waktu anda menyemai
dan menanam pengetahuan yang betul, nilai kehidupan, disiplin, tabiat,
cara berfikir, dan kepercayaan tentang kehidupan.
Inilah
masanya untuk anak anda merasakan dirinya sangat disayangi dan
dilindungi. Didik dan berikan tunjuk ajar tentang perkara yang benar dan
salah, peraturan, batasan, cara berfikir yang betul, tabiat, keyakinan
dan sebagainya. Ini merupakan tahun-tahun asas bagi mereka. Sekiranya
anda membinanya dengan kuat dan kukuh, anda akan memperoleh anak-anak
yang memiliki keperibadian yang tinggi seperti yang diidamkan oleh semua
ibu bapa.
Ramai ibu bapa mengabaikan enam tahun pertama
ini dan membiarkan anak benih ini disemai dan dijaga oleh pembantu rumah
atau orang lain kerana bagi mereka tidak banyak yang dapat difahami
oleh anak sekecil ini. Mereka cuma akan memberikan lebih perhatian
kepada anak-anak apabila anak-anak telah mula bersekolah. Namun,
ketahuilah enam tahun pertama di dalam hidup anak itu sangat-sangat
penting kerana itu adalah ‘
foundation’.
Pada
ketika itu, apa-apa yang tertanam di minda anak anda mungkin
kepercayaan-kepercayaan diri yang menyebabkan dia menjadi bengis,
pemarah, dan tidak berkebolehan. Bayangkanlah bagaimanakah sikap anak
ini apabila menghadapi cabaran-cabaran hidup pada masa hadapan?
Sesetengah
ibu bapa bertanya kepada saya, “Bagaimanakah berkomunikasi dengan
seorang anak kecil untuk memberitahunya tentang nilai-nilai kehidupan
dan bentuk pemikiran yang baik?” Dengan mudah saya menjawab, “Bercakap
dengan mereka.” Aktiviti seperti membaca dan bercerita, menonton kartun
bersama, dan berkongsi tentang nilai-nilai yang baik dalam cerita kartun
itu ataupun filem yang ditonton dengan mereka ialah cara yang baik.
Bawa mereka berjalan-jalan di taman, pasar raya, dan kedai sambil
berbual-bual dengan mereka. Bercakap dengan mereka apabila mereka bangun
daripada tidur dan juga ketika mereka tidur. Minda luar kawal mereka
boleh mendengar walaupun mereka sedang tidur dan anak-anak ketika umur
ini mengalami pembelajaran secara tidak sedar. Ceritakan kisah
orang-orang yang agung dan ternama serta individu yang telah mengatasi
kesusahan-kesusahan dalam kehidupan dan kini telah mengecapi kejayaan
kepada mereka.
Inilah masanya untuk anda menyemai dan
menanam biji benih yang betul. Ketahuilah bahawa sebenarnya ada
beribu-ribu cara dan jalan yang lain untuk anda lakukan. Ingatlah, jika
anda tidak menyemai biji benih yang betul, orang lain mungkin akan
menanam benih yang salah di minda anak anda.
Enam tahun
yang berikutnya ialah waktu pembentukan tingkah laku dan tabiat. Pada
usia tujuh tahun, seseorang anak akan berupaya membezakan antara perkara
yang baik dan buruk. Untuk orang-orang Islam, umur ini dipanggil
mumayyiz. Inilah usianya di mana kanak-kanak dapat membezakan sesuatu
perkara itu sama ada baik atau buruk. Tumpukan perhatian terhadap usaha
untuk membentuk tabiat untuk berjaya dalam diri mereka. Terangkan sebab
anda telah menyediakan batas sempadan dan peraturan untuk kehidupan
mereka. Anak-anak ini akan faham dan sekiranya anda telah memberikan
penerangan dengan baik kepada mereka, jangan terperanjat sekiranya
mereka patuh kepada anda dengan rela hati.
Pada usia 10
tahun, anak-anak yang tidak mahu mendengar nasihat perlu ditegur dan
sekiranya perlu bolehlah menggunakan merotan tetapi janganlah secara
keterlaluan. Walau bagaimanapun, hendaklah diingatkan bahawa alasan dia
dihukum adalah untuk memperbaiki tingkah lakunya yang salah; bukanlah
kerana dendam, marah, benci atau sikap bengis kita. Sekiranya hukuman
yang diberi tidak berupaya untuk mengikis tingkah laku yang salah itu,
lihatlah kembali alasan di sebalik kelakuan itu.
Contohnya,
anak-anak yang tidak mahu pergi ke sekolah dan dia dirotan serta
dihukum. Walau bagaimanapun, setelah dihukum, dia masih ponteng sekolah.
Cara yang mudah adalah dengan memberikan hukuman yang lebih keras.
Ingatlah, suatu perbuatan yang tidak masuk akal ialah membuat perkara
yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Cara
yang mungkin lebih bijak yang boleh anda lakukan ialah dapatkan sebab
dan alasan utama dia tidak mahu pergi ke sekolah. Mungkin dia malas dan
mungkin juga dia dibuli atau yang lebih parah, dia diperas ugut. Hukuman
hanya akan memberi dia satu kepercayaan bahawa dia tidak dikasihi dan
kita tidak lagi dipercayai oleh mereka untuk memberikan pertolongan.
Ada
dalam kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa rotan untuk
memotivasikan anak-anaknya untuk belajar dan mereka begitu berbangga
kerana bersikap demikian. Menarik. Apakah pendapat saya? Apakah pula
pendapat anda? Saya tidak percaya dengan memberikan motivasi yang
menakutkan akan membantu anak-anak kita untuk cemerlang dalam pelajaran.
Benar, ada tempat dan waktunya kita boleh mengenakan motivasi yang
menakutkan, tetapi bukanlah dalam bidang ini.
Sekiranya
anak anda berkemahuan untuk belajar, biarkan dia, kerana ini bererti
telah wujud hasrat di hatinya untuk belajar. Bukan kerana takut dirotan.
Jika takut dirotan ialah motivasinya, maka dia cuma akan menggunakan
mindanya pada tahap yang paling rendah, iaitu minda reptilia. Bahagian
minda ini bukan minda yang berfikir atau intelek. Bahagian minda ini
ialah bahagian minda untuk menjaga perasaan selamat kita. Rotan itu akan
mengancam perasaan selamat anak itu dan respon bahagian minda ini ialah
lari atau lawan. Itulah yang kita lihat apabila anak-anak itu sukar
untuk menerima ilmu yang diberi. Hal ini boleh diibaratkan seperti
hendak memberi minum kepada orang yang dahaga, tetapi kita mencekik
lehernya!
Undang-undang, batas sempadan, peraturan, dan
hukuman adalah untuk kita boleh membina disiplin diri yang baik. Oleh
itu jika semua itu tidak membina disiplin yang lebih baik di dalam diri
sesaorang itu, maka hukuman, peraturan dan semua itu perlu diselidik
kembali yang mana boleh digunapakai dan yang mana jangan sesekali
dipraktikkan.
Salam Kasih