Tuesday, February 21, 2012

Agar anak tidak berdusta

Adakah kita yang banyak mengajarkan anak—anak untuk berdusta ? Nau’zubillah himinzalik.

1. Lagu—lagu atau Nyanyian
Contohnya, di Indonesia terdapat lagu “Nina Bobo” :
Nina bobo.
Oh, Nina bobo,
Kalau tidak bobo.
Digigit nyamuk…
Sedangkan jika tidur, anak tentu tidak dapat mempertahankan diri daripada gigitan nyamuk.

2. Cerita atau Dongengan
Contohnya, Si Kancil dan Harimau. Si Kancil telah mendustai harimau dengan mengatakan bahawa ular itu adalah tali pinggang Raja Sulaiman untuk melepaskan diri.

3. Nasihat atau Teguran
Contohnya, kalau duduk di atas bantal akan tumbuh bisul. Apakah perkaitan antara bantal dan bisul? Jika anak belajar sains nanti tentu dia akan berangapan bahawa ibubapanya berdusta atau buta sains. Berterus-teranglah bahawa adalah tidak beradab untuk duduk di atas bantal yang menjadi alas kepala.

4. Di Waktu Marah
Contohnya, apabila anak membuli adiknya, kita cenderung mengatakan “Kamu selalu menyakitkan hati.” Sedangkan banyak perkara baik lain yang pernah dilakukan oleh anak kita.

5. Di Waktu Memuji
Contohnya, jika anak melakukan kebaikan, kita akan mengatakan kepadanya, “Sayang, anak ummi.” tapi jika marah, kita katakan “Anak yang tak baik, bukan anak ummi.” Sepatutnya, kita ajarkan bahawa Allah menyayangi orang yang berbuat kebaikan.

6. Di Waktu Berjenaka
Contoh jenaka yang baik, saya sedang mencari orang yang bermata keputihan, semua orang mempunyai bahagian putih di matanya. Betul tak ?

7. Waktu Berjanji
Contohnya, anak ingin mengikuti kita untuk ke suatu tempat tapi kita enggan membawanya, lalu kita berjanji untuk membeli mainan kepadanya sedangkan kita tidak bermaksud untuk itu melainkan untuk melepaskan diri.

8. Waktu Membeli-belah
Contohnya, pembeli sering mengatakan bahawa barang yang ingin dibelinya murah di tempat lain, lalu ingin menawar harga barang tersebut. Sedang penjual mengatakan harga tersebut tidak membawa untung sedikit pun kepadanya. Seringkali keduanya saling mendustai untuk kepentingan masing—masing.

9. Ketika Ditegur Oleh Anak
Contohnya, anak mengatakan, “Abi, makan tak baca Bismillah ?” “Abi dah baca dalam hati” sedangkan anda tidak membaca basmalah pun di dalam hati.

Maka sahabatku, selalulah kita memperhatikan setiap saat dalam hidup kita, adakah kita pernah mencontohkan sifat—sifat dusta kepada anak. Sedangkan orang yang dusta adalah antara sifat—sifat orang munafik. Baikilah diri sebelum terlambat.


Sumber : http://anakkusayang.com


Tips Memotivasikan Anak Agar Rajin Belajar

http://anakkusayang.com


Jika anda seorang ibu atau bapa, pernahkah anda ditanya soalan sebegini:

“anak dapat nombor berapa?”
“Anak hang dapat berapa A periksa baru ni?”

Dan soalan-soalan lain seumpama dengannya. Tentu pernah kan? Mungkin kadang kala kita juga pernah bertanyakan soalan sebegitu. Apa yang boleh anda jawab jika keputusan anak anda kurang memuaskan? Sudah tentu kita sendiri malu untuk menjawab bukan?

Inilah situasi yang merisaukan ibu bapa jika anaknya kurang cemerlang berbanding jiran atau sepupu sepapat anaknya. Wajar saja semua ibu bapa risau tentang aspek kecemerlangan anak-anak. Akan tetapi, tidak wajar jika perasaan risau ini terus menghantui ibu bapa sehingga anak sendiri mendapat tekanan.

Bayangkan jika ibu bapa memberi fokus kepada anak untuk mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah dan anak gagal mendapatkannya. Bukankah ia adalah tekanan buat kedua-dua belah pihak? Itulah yang saya maksudkan tentang tekanan yang anak akan rasai.

Ayuh sekarang kita lihat apakah yang dapat memotivasikan anak untuk belajar agar kita tidak hanya fokus pada kecemerlangan akademik anak sahaja, malah untuk kecemerlangan hidup anak kita sendiri.

Apa yang mendorong anak untuk belajar sesuatu?

1. Menggunakan apa yang diajar dalam aktiviti seharian. Ya, anak kita suka belajar mengayuh basikal kerana boleh terus dilakukan apabila sampai masa bermain pada waktu petang. Jadi, anak perlu belajar untuk pandai naik basikal. Sama juga dengan hal lain, wujudkan satu situasi yang menarik bagi anak agar anak boleh mengamalkan apa yang dipelajarinya dalam aktiviti seharian.

2. Mengetahui masalah yang bakal dihadapi apabila tidak belajar sesuatu. Contohnya anak yang diberitahu bahawa dia dan keluarganya akan pergi melancong ke luar negara, jadi anak perlu pandai berbahasa inggeris. Secara tidak langsung, anak akan berusaha untuk mempelajari bahasa inggeris dengan sungguh-sungguh.

3. Seterusnya adalah mendapat contoh secara ‘live’. Contohnya anak lebih gemar untuk menjadi pemain bola sepak setelah berjumpa dengan Khairul Fahmi, atau anak bercita-cita menjadi angkasawan setelah berjumpa dengan dato syeikh muzaffar. Bukankan hal sebegini dapat memotivasikan anak untuk berjaya sekaligus akan berusaha untuk mendapatkan sesuatu?

Biarkan anak membesar dengan penuh keyakinan untuk membuka lembaran baru dalam hidup mereka. Berjaya di waktu kecil tidak bermakna akan berjaya selamanya, malah gagal ketika kecil tidak bermakna akan gagal selamanya. Maka, berusahalah memberi motivasi dan kata perangsang buat anak-anak agar hidupnya terus berkualiti.

Kasih Sayang Dalam Mendidik


Bila kita sebut tentang kasih sayang, dari mana datangnya kasih dan sayang itu...tentunya ia satu soalan yang susah untuk dijawab..memang payah untuk kita jejak di mana sayang itu.

Umumnya mungkin kita boleh kata, sayang itu datang dari hati. tapi hati itu di sini..nak kata jantung, bukan juga... hakikatnya ia adalah satu perasaan halus yang ada dalam sanubari manusia.
Rasa semulajadi yang mana boleh menyuntik rasa bahagia, tenang dan gembira. Inilah nikmat yang Allah beri, khususnya kita sebagai ibubapa..rasa kasih dan sayang itulah yang mendorong kita untuk mendidik dan membesarkan mereka dengan cara yang terbaik.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami seseorang yang tidak menyayangi anak-anak kecil dan tidak menghormati orang yang lebih tua." Oleh itu, daripada kata-kata yang pendek ini, kita boleh simpulkan kaedah yang paling berkesan dan efektif dalam pendidikan adalah pendekatan kasih sayang. Sebab kasih sayang memiliki daya tarikan yang sangat unik, mengubah jiwa yang keras kepada jiwa yang lembut...Jom kita tengok, apa kata survey tentang kasih sayang daripada perspektif anak-anak kita:
  • "Kasih sayang ialah bila kita melakukan aktiviti bersama-sama." ~ Siraj (sewaktu berusia 7 tahun)
  • "Kasih sayang ialah apabila dua orang dewasa berkahwin, mempunyai anak dan hidup bahagia selamanya." (Syarif, 10 tahun)
  • "Bila kita kasih dan sayang kepada seseorang, kita mengambil berat tentang dirinya dan berkongsi apa jua dengannya." (Safi, 12 tahun)
  • "Saya merasa diri saya disayangi apabila Ayah atau Ummi memeluk atau memuji saya." (Alia, 15 tahun)
Begitulah apa yang anak-anak rasa tentang kasih sayang. Mereka mengaitkan kasih sayang itu dengan sesuatu perbuatan yang membuatkan mereka merasa seronok, gembira dan tenang. Apabila mereka mengalami dan cukup kasih dan sayang daripada ibu bapa, mereka mudah menerima sesuatu didikan dan pembelajaran, malah pembentukan emosi dan akhlaq juga mudah dibentuk. Perasaan benci atau marah jauh sekali ada jika kasih sayang ini menebal dalam jiwa ibu dan bapa kepada anak-anak. Malah sifat memberi maaf dan belajar untuk memaafkan kepada anak-anak menjadi satu tradisi kerana cabaran mendidik ini adalah suatu yang memerlukan kepada kesabaran, kesungguhan dan rasa tanggungjawab dan amanah yang besar pada Allah....

Naluri kasih sayang dan peranannya dalam pendidikan anak-anak

Kasih sayang ini sangat berperanan dalam 3 keadaan:
USAHA MENDIDIK YANG MENYERONOKKAN.

Allah menjadikan kasih sayang ini supaya ibubapa merasa seronok dalam usaha mendidik anak-anak. Sambil girang menimang baby, mommy boleh mengacah baby dengan berunsurkan didikan tarbawi, sambil mendodoikan baby, mommy boleh menyanyi nasyid atau zikir yang boleh membangkitkan jiwa, sambil bergurau senda, mommy boleh menerapkan nilai membantu dan kerjasama, taat, sopan, dosa pahala dan sebagainya, pendeknya bermacam-macam cara atau medan untuk kita didik anak dengan penuh kasih sayang.

Malangnya, sekarang umi tengok ibu bapa mengambil mudah tentang perkara ini, sehingga sangat mudah bagi mommy mengeluarkan kata-kata marah dan herdikan kepada anak-anak. Sedangkan pada usia ini , mereka sedang belajar dari setiap sudut dan segi yang perlukan kepada bimbingan dan tunjuk ajar daripada ibubapa. Tiada salahnya jika anak membuat kesilapan, maka ibubapa menegur dengan cara yang baik, bukan dengan memarahi dan meleter mereka dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Umi kenkadang rasa sedih dan tertanya-tanya, kenapa nilai kasih sayang itu masih kurang dalam jiwa ibubapa yang mendidik, dan umi pasti mungkin mommy telah puas memarahi anak, ada sekelumit rasa kekesalan di dalam lubuk hati mommy, tetapi perkara itu sudah berlaku, dan anak-anak telah belajar sesuatu tentang perkara yang tidak sepatutnya mereka belajar. Maka para ibu/mommy, pupuklah dalam jiwa itu nilai kasih sayang yang Allah telah beri dan manfaatkanlah ia sebaiknya.


MENCIPTA TABAH DAN GIGIH DALAM MENDIDIK

Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Teguran demi teguran. Tapi anak tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka tika berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha mendidik itu secara berterusan dengan penuh kesabaran. Yakinlah dengan kuasa kasih sayang itu mampu mengubah perasaan dan emosi anak-anak kita.

MENDORONG PENGORBANAN
Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak. Bagi ibubapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah menjamin rahmatnya kepada ibubapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Seorang wanita telah datang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah memberikan kepadanya tiga biji kurma. Kemudian, wanita itu memberikan dua biji kurma kepada dua orang anaknya. Sebiji lagi dipegang untuk dirinya. Setelah kedua-dua anak itu selesai makan kurma masing-masing, mereka pun meminta kurma yang masih ada di tangan ibunya. Lalu si ibu membahagikan kurma itu kepada dua, lantas memberikan kepada setiap seorang anaknya sebelah kurma. Apabila datang Rasulullah s.a.w. maka Aisyah menceritakan hal itu kepada Baginda. Lalu Baginda pun bersabda kepada Aisyah: “Kenapa pula adinda hairan dengan apa yang berlaku itu? Sebenarnya Allah telah merahmati si ibu itu sebagaimana dia merahmati anak-anaknya.”


Tegasnya, naluri kasih sayang itu adalah satu rahmat Allah yang amat berharga. Setitis nikmat kasih sayang ini, memberikan kita selaut manfaat dan kebaikan khususnya dalam usaha mendidik anak. Bahkan hakikatnya, kasih kepada anak itu berakar umbi daripada kasih, sayang serta rahmah Allah Azzawajalla.

Doa-doa Untuk Anak

1. Doa memohon Rahmat,

surah Ali-Imran, ayat 8-9.

(mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; Karena Sesungguhnya Engkau-lah Maha pemberi (karunia)".

"Ya Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya". Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.

2. Doa mohon zuriat yang baik,

surah Ali-Imran (ayat 38).

Di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah Aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".

3. Doa anak supaya kerjakan solat,

surah Ibrahim (ayat 40-41).

Ya Tuhanku, jadikanlah Aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan shalat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Ya Tuhan kami, beri ampunlah Aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".

4. Doa anak agar taat kepada Allah,

surah Al-Baqarah (ayat 128).

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah Taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

5. Doa diberi zuriat menyejukkan mata memandang,

Surah Al-Furqan (ayat 74).

"Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

6. Doa anak pandai belajar,

surah Al-Anbiya (ayat 79).

. Maka kami Telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat)[966]; dan kepada masing-masing mereka Telah kami berikan hikmah dan ilmu dan Telah kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. dan kamilah yang melakukannya.

7. Doa anak lembut hati,

surah Al-Anbiya, (ayat 69)

Kami berfirman: "Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim",

atau Al-Hasyar (ayat 22-24).

Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja, yang Maha suci, yang Maha Sejahtera, yang Mengaruniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang membentuk Rupa, yang mempunyai asmaaul Husna. bertasbih kepadanya apa yang di langit dan bumi. dan dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

8. Doa anak rajin sekolah,

surah Taha (ayat 1-5). 

Thaahaa

Kami tidak menurunkan Al Quran Ini kepadamu agar kamu menjadi susah;

Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),

Yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang Tinggi.

(yaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas 'Arsy


Kasih Sayang Abang


http://anakkusayang.com/


Tatkala ibu mengandungkan anak kedua, si ibu mula terhidu perubahan sifat anak pertama. Kebiasaannya sifat anak pertama tersebut akan berubah menjadi lebih agresif sedikit daripada biasa, lebih sensitif dan mudah merajuk. Sikit-sikit nak menangis, sikit-sikit merajuk, begitu sifat abang bermulanya ia sedar makin kasih sayangnya diabaikan. Sifat-sifat tersebut boleh berlarutan sehinggalah kelahiran adiknya kelak.

Selepas Kelahiran Anak Kedua


Perasaan cemburu si abang terhadap si adik kecil semakin ketara. Si abang seolah-oleh bimbang akan kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa terutama ibunya. Tambahan pula apabila melihat ibunya memangku adiknya ketika menyusu, malah menukarkan lampin adik pun dia cemburu.. dia bayangkan seolah-olah dirinya sudah tidak disayangi lagi oleh ibunya lagi. Itulah sebabnya sesetengah anak yang dah boleh bercakap, apabila ditanya 'nak adik?', dengan spontan dijawabnya 'tak nak!'

Tukar Sifat Cemburu Kepada Kasih Sayang!!
Biasanya anak tua kita itu akan menunjukkan rasa cemburu dengan keadaan emosi yang kurang stabil, memukul adik tanpa sebab, cubit dan sebagainya apabila 'lepa' daripada pandangan ibu atau bapa.

Anda boleh cuba kaedah ini iaitu; ibu memegang tangan si anak sulung, kemudian sama-sama menyentuh dengan sentuhan lembut bahagian badan si adik kecil (pipi, lengan, kaki dan sebagainya). Lakukan perbuatan tersebut sekerap mungkin. Cerita pada si abang bagaimana pada ketika dulunya si abang pun diperlakukan perbuatan yang sama.

Sambil menyusukan si kecil ibu juga perlu memperbanyakkan mengusap kepala dan menyentuh sekerap yang boleh tubuh si abang supaya ia merasakan dirinya masih disayangi.

Panggilan Membentuk Sifat
Ajar si abang supaya memanggil adiknya dengan panggilan 'adik' atau seumpamanya dan bukan dengan panggilan nama sahaja. Perkataan ini mampu membina sifat tanggungjawab si abang terhadap adiknya.

Pimpin Tangan Adik
Ketika sudah besar sedikit, iaitu adik dan abang sudah boleh berjalan sendiri, latih si abang untuk memimpin tangan adiknya. Pegang tangan abang dan lekapkan kepada tangan adik ketika berjalan.

Kaedah ini dapat menimbulkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang abang terhadap adiknya. Sifat sebagai pembela, mempunyai peranan dan rasa tanggungjawab mula terbentuk, iaitu lebih awal daripada kebiasaan. Keadaan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan ibu bapa mengendalikan ragam anak-anak.

Perkongsian
Kebiasaannya ibu bapa membeli sesuatu khusus untuk seorang anak. Contohnya jika beli kereta mainan untuk dua orang anak, dibelikan dua buah iaitu seorang satu buah. Jika beli air kotak, juga dibelikan 2 kotak. Cuba tukar kaedah biasa ini kepada bentuk perkongsian. Ajar mereka berkongsi. Jika beli kereta mainan, pastikan berlainan supaya dapat berkongsi. Begitu juga minuman, beli satu kemudian berkongsi, kalau boleh bukan setakat kongsi tetapi abang yang suapkan kepada adik.

Bersikap Adil
Jangan pukul abang jika dia berkasar dengan adiknya. Dia akan menyimpan sifat dendam sekiranya kita memarahi atau memukul sebaliknya latih, pujuk dan didik.

Peluklah sambil memberi nasihat kepadanya sebagai suatu kaedah mendidik. Ramai ibu bapa berpendapat bahawa anak sulung perlu mengalah. Perlu memahami masalah dan memahami keperluan si adik, malah ada kalanya perlu memikul kesilapan si adik. Adakah ini wajar?

Keadaan begini tidak adil kepada anak sulung, malah menyebabkan jiwanya memberontak dan tertekan. Seterusnya akan menjejaskan misi kita menjadikan anak sulung sebagai pembela yang bertanggungjawab dengan ikhlas.

Hasil daripada penggunaan kaedah-kaedah yang dicadangkan memerlukan masa yang lama. Ibu bapa perlulah mempraktikkan secara berterusan dengan sabar. Insya Allah, dengan izin Allah akan berhasil.

Sumber: Iluvislam.com

Anak : Perlu Cara Baru?

zaharuddin.blogspot.com/2010/10/anak-perlu-cara-baru.html


"Allah suka orang yang solat"
"Kalau kita tidak solat, Allah akan bakar dalam api, panas api tu macam termakan nugget panas, sakit mulut kan, itu baru sikit belum terbakar lagi?"
Inilah bentuk-bentuk bahasa yang biasa kita cuba gunakan dalam memberikan nasihat kepada anak-anak kita yang berumur sekitar 4-9 tahun. Tepat tak cara dan bahasa yang digunakan itu atau terlalu rendah? Atau mungkinkah terlalu tinggi?
MINDA KITA DAN ANAK
Pada kebiasaannya, jika saya tidak menghadiri ceramah atau kuliah maghrib, saya sekeluarga akan mengadakan tazkirah ahli keluarga. Pada mulanya saya seorang atau isteri yang akan memberi pengisian kepada anak kami seramai empat orang.
Secara peribadi saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih ayat dan perkataan yang sesuai semasa memberikan tazkirah, kerana bimbang anak saya yang berumur 9 dan 7 tahun gagal menangkap mesej saya.
Namun, setelah berfikir kembali, saya kira ini adalah masalah pertama saya agaknya. Bagi saya kita tidak patut terlalu merendahkan kemampuan anak untuk memahami sesuatu. Kerana apabila melihat kertas-kertas jawapan sekolah mereka, saya menjadi kagum pula dengan kemampuan mereka menjawab soalan yang saya fikir anak berumur 7 tahun tidak mampu.
Mana tidaknya, di zaman saya darjah satu dulu, baru nak belajar " A-Y-A-M" bunyinya ayam , " B-O- L-A" ialah BOLA dan lain-lain. Silibus darjah satu hari ini sudah berbeza, sudah semakin tinggi. Cuba anda buat semakan kertas soalan darjah satu anak anda.
Justeru sebagai ibu bapa, perlu menangkap perbezaan ini jika mereka mahu memahami anak mereka. Jangan asyik bangga dengan alasan makan garam dulu sahaja.
MASALAH RUMIT MAMPU DIFAHAMI
Pernah banyak kali apabila saya dan isteri berbincang berkenaan masalah yang agak rumit dengan bahasa yang dikira bahasa orang dewasa, tetapi disampuk dan ditanya oleh anak-anak. Kami tidak pula sangka mereka memahaminya.
"Ummi, tadi kat sekolah kawan kata mak dia parti xx " kata anak saya berumur tujuh tahun
"Lepas tu kak ngah pun cakap la, mana boleh sokong xx ni, kita kena sokong xxx sebab ..." ulasnya.
Hmm..angkat kening juga saya
Kami tidak pernah mengajarnya bercakap demikian secara specifik, hanya cakap-cakap umum di rumah dan perbincangan-perbincangan dengan isteri. Tidak pula saya sangka anak-anak yang duduk di sekeliling kami sambil bermain-main, waktu yang sama beberapa point termasuk hal politik juga boleh masuk dalam kepala dan minda mereka. Lebih hebat dari itu, MEREKA MAMPU MEMBUAT kesimpulan.!
Mungkin ini salah satu perkara yang mana ramai ibu bapa hari ini terlepas pandang. Kita kerap kali tersilap perkiraan dengan kefahaman anak-anak. Rancangan televisyen yang kita sangka tidak memberi pengaruh kepada anak (mungkin kerana dijangka kandungan yang agak tinggi dan bahasa yang agak rumit), kerana hanya beberapa saat adegan yang tidak baik, rupanya memberi kesan ‘sesuatu' di mindanya. Sebab itu, sebagai ibu dan bapa, kita wajib mengawal rancangan televisyen yang ditonton, kartun yang dilihat, iklan yang dipapar. Pastikan remote sentiasa dekat dengan anda.
Bayangkan dalam sesebuah keluarga yang tidak aman dan sering bergaduh, pastinya anak akan dapat membuat kesimpulan tertentu. Mereka juga boleh tertekan tanpa disedari oleh ibu bapa. Justeru, jangan remehkan kemampuan minda anak di zaman ini.
PENGALAMAN SAYA
Memberi ceramah kepada orang awam, golongan elit, middle class, super VIP, ahli perbankan, dan bercampur dengan ahli akademik peringkat Universiti menjadikan saya sedikit sukar untuk cuba berada di posisi kanak-kanak sekolah rendah.
Saya sudah terbiasa apabila dijemput ceramah di mana-mana jua atau menulis artikel seperti ini, saya akan berusaha meletakkan diri saya sebagai pembaca dan pendengar tahap biasa. Dengan demikian, ia merangsang minda saya untuk memberikan contoh-contoh, rantaian maklumat dan info yang sesuai agar audien dapat menangkap maksud saya.
Namun, memberi tazkirah kepada anak-anak saya agak sukar nampaknya, adakalanya apabila saya menganggap ia faham, apabila ditanya rupanya terdapat beberapa perkataan yang gagal difahami. Tetapi kegagalan memahami beberapa perkataan adakalanya tidak menghalangnya dari memahami mesej penuh dari ayat.
Lalu saya baiki dalam tazkirah seterusnya, perkataan dipermudahkan lagi. Namun masih wujud masalah lagi iaitu ayat yang panjang-panjang dengan bahasa standard biasanya merumitkan mereka.
Lantas dibaiki lagi. Ayat pendek-pendek, ringkas dan mudah dilontarkan, namun mesti tetap ada logik dan penjelasannya. Walaupun demikian, saya masih tertanya-tanya samada ‘ok' atau tidak.
SISTEM GILIRAN
Justeru, untuk hasil yang lebih baik, kali ini kami melakukan sistem penggiliran takzirah. Bukan giliran antara saya dan isteri sahaja, malah juga dua anak kami yang berumur 7 dan 9 tahun ini. Mereka akan diminta memberi tazkirah. Pada mulanya mereka agak blank bila diberi peluang bercakap dan kami sebagai pendengar. Inilah masanya kami menjadi pendengar yang terbaik terhadap apa yang ingin mereka perkatakan.
Lama-kelamaan mereka semakin cekap menyusun ayat, mengatur isi, dan adakalanya mereka mempersembahkan isi kandungan matapelajaran di sekolah mereka atau diceduk dari majalah-majalah Islam untuk kanak-kanak. Malah mereka juga boleh menceritakan apa-apa perkara yang berlaku di sekolah. Ini masa untuk kami mendengar dengan teliti. Amat baik inshaAllah.!
Sering saya baca dan dengar dari mereka yang pakar dalam bidang keibubapaan dan keluarga ini. Terdapat anak yang tertekan kerana jarang diberi peluang untuk bercakap dengan ibu bapanya. Saya kira cara ini mampu membantu si anak merasa dihargai idea mereka. Ia menjadikan mereka lebih ringan menyatakan pendapat mereka dalam keadaan lain. Dengan itu, perasaan tidak puas hati yang mungkin terbuku sehingga dewasa akan dapat ditangani.
Selain itu, saya dapat melihat bagaimana bentuk ayat-ayat yang mereka mampu faham, iaitu melalui ayat yang mereka sendiri karangkan. Selain itu, dapat melihat peningkatan gaya bahasa mereka. Selepas itu, setiap tazkirah, bahasa yang hampir sama juga perlu kami gunakan dalam tazkirah kami dan Alhamdulillah.
Namun, sampai bila kita perlu memudahkan ayat dan perkataan?. Bukankah sepatutnya sekali sekala kita gunakan bahasa dan isi yang sedikit tinggi, dengan demikian mampu merangsang minda anak-anak ini agar berfikir sedikit keras dari biasa. Justeru, mungkin kita boleh mengubahnya dari masa ke semasa.
ADUAN & LATARBELAKANG
Cuba teliti perbualan di bawah :
"Ayah, ada surat dari cikgu" kata anak
Jawapan ibu bapa : hmm nanti ayah tengok
"kena beli buku tulis" kata anak
Jawapan ibu bapa : "Nantilah, buku tulis dulu pergi mana"
"Cikgu minta belikan hadiah, kalau tidak cikgu kata tak nak masuk lagi kelas ni" kata anak
Jawapan ibu bapa : Apa la cikgu ni. Tidak perlu beli la, cikgu main-main aja tu.
"Buku tak ingat letak mana" kata anak
Jawapan ibu bapa : Tak pe, nanti cari kemudian, subjek tu bukan ada pun hari ini kan
Banyak kali aduan anak-anak kita di sekolah rendah yang mungkin seperti yang saya sebutkan di atas tadi. Namun bagaimanakah respon kita agaknya?
Adakah sebagaimana yang saya andaikan tadi atau bagaimana?
Anak saya sendiri selalu mengadu dan minta itu ini tentang urusan di sekolahnya. Tidak dapat saya nafikan, adakala saya merasa isunya terlalu kecil dan dan tidak wajar dirisaukan.
Akhirnya kebanyakan ibu bapa tidak mengendahkannya, sedangkan si anak merasa amat bimbang dan takut. Adakalanya takut dan bimbang mereka ada asasnya, mungkin disebabkan guru-guru yang garang, atau tidak suka dan malu didenda, tidak suka dipermain kawan dan sebab-sebab lain. Namun ada kalanya juga kebimbangan anak itu tiada banyak asasnya. Hanya sangkaan mindanya bahawa ia akan dimarahi gurunya.
Selain bertanya dengan jelas dan tenang kepada si anak, elok juga jika kita dapat mengimbau kembali kepada keadaan dan perasaan kita semasa berada di darjah satu. Setelah mengingat perasaan silam tersebut, inshaAllah kita akan dapat lebih memahami mengapa si anak merasa sangat bimbang, sedih, menangis dan sebagainya. Saya sendiri masih ingat ketika di darjah satu dulu, jika saya tertinggal walau satu buku risaunya bukan kepalang.
Malah dalam Islam juga, amat penting untuk kita memahami siapa di depan kita apabila mendengar idea dan apa jua pandangan mereka. Moga dengannya kita akan jadi lebih memahami.
Kerana itu, saya merasa amat sukar apabila ada individu menghantar sms bertanya hukum itu dan ini tanpa memperkenalkan diri dan latar belakang. Sukar bagi saya memberi jawapan. Tambahan pula soalannya pelbagai dan saya tiada idea siapa di sebelah sana dan bagaimana latarbelakang ilmunya.
Justeru, jika menghubungi saya atau sms terus ke handphone saya dan email, sila berikan sedikit latarbelakang anda. Demikian juga apabila anak mengadu, cuba bayangkan kita berada di posisi mereka. Dengan itu, kita akan menjadi lebih toleran dan understanding.
Demikian sedikit coretan saya untuk tatapan semua. Moga ada manfaat dari saya yang bukan pakar dalam bidang keibubapaan dan pendidikan anak-anak ini. Sekadar perkongsian idea. Sebarang idea yang baik dan membina hasil pengalaman dan pembacaan anda, amat dialukan untuk perkongsian di ruang komen.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
20 Mei 2008

Ulama & Penjenayah Dibentuk Dari Rumah

http://zaharuddin.blogspot.com/2010/10/ulama-penjenayah-dibentuk-dari-rumah.html#

Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya
"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"
Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata
"kita kena kembali kepada Islam"
Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.
"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.
"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"
Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.
"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"
"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menrang sambil mengajak berfikir.
Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.
Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.
JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN
Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.
Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.
Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.
Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.
Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.
Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana,, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.
"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"
Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.
Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.
WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA
"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.
Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.
Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.
Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.
Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.
Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.
"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"
Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:
"makan tu"
"Habiskan ini!"
"Pergi mandi!"
"Cepat masuk kereta!"
"Gosok gigi!"
"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"
"Heiii, kenapa buat macam tu!"
Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.
Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.
Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.
Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.
Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahwa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh
"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"
"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"
Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.
Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.
TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA
Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.
Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :
"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"
"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"
"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut
"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.
Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.
Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.
Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.
Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.
Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.
Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.
Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.
Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.
Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.
KESIMPULAN
Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.
Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.
Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
4 Muharram 1431 H
21 Disember 2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...