Thursday, June 30, 2011

Menjalinkan hubungan yang baik dengan anak...





Kanak-kanak, sama juga seperti orang dewasa, ingin diri mereka diterima oleh keluarga dan persekitaran. Sekiranya keinginan ini tidak diperolehi dengan cara yang positif, mereka akan menagihnya dengan cara yang negatif (buat perangai). Bagi membantu anak-anak untuk merasa diri mereka diterima, ibubapa harus fokus kepada menjalinkan hubungan yang baik dengan anak-anak. Dalam entri yang lepas, saya ada menyebut 4 cara untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan anak-anak:-


• menunjukkan rasa hormat kepada anak-anak

Seringkali kita terdengar rungutan dari ibubapa bahawa anak-anak tidak menghormati mereka. Anak-anak belajar sesuatu dengan memerhati tingkah laku ibubapa. Tidak boleh salahkan anak-anak sahaja apabila mereka tidak menunjukkan tingkah laku hormat kepada ibubapa dan orang yang lebih tua. Kaji dan selidik diri kita sendiri. Kadang-kadang tanpa disedari, kita menunjukkan contoh 'tidak hormat' itu. Bagaimana? Ibubapa selalu berleter, menjerit-jerit memarahi anak, memukul, mencubit, memperkecilkan kebolehan dan personaliti anak-anak, mengamalkan sikap pilih kasih dan sebagainya.


Dalam sebuah keluarga yang mengamalkan demokrasi, tidak ada ahli yang kurang atau lebih penting. Ibubapa menunjukkan rasa hormat apabila mereka melayani semua ahli dalam keluarga secara sama rata. Mungkin akan timbul dua soalan:

  1. tidakkah ini bermakna bahawa taraf anak-anak sama dengan taraf ibubapa? Sudah tentu tidak! Ibubapa mempunyai lebih banyak pengetahuan dan pengalaman kerana mereka terlebih dahulu makan garam. Disebabkan itu, ibubapa mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Namun ibubapa dan anak-anak ialah manusia dan setiap individu layak dihormati tidak kira usia atau jantina.
  2. tidakkah ini bermakna, anak-anak boleh mengarah ibubapa atau ibubapa akan hilang kuasa? Tidak! Ibubapa perlu menjadi orang yang "in charge" dalam keluarga. Menjadi tugas dan tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak-anak tapi didiklah anak-anak secara sopan dan hormat.

• bermain dan bermesra dengan anak-anak

Bermain dan bermesra dengan anak-anak merupakan kunci kepada hubungan yang baik. Perlukah kita melancong setiap hari atau pergi ke taman permainan setiap hari? Tidak perlu. Kita boleh mulakan kemesraan kita seawal anak-anak bangun dari tidur. Ukirkan senyuman dan ucapkan salam atau selamat pagi dengan nada yang mesra dan ceria. Ada ibubapa yang bagi alasan "tiada masa" untuk bermain dan bermesra dengan anak-anak. Sebenarnya kita tidak perlu specific time untuk bermesra dengan anak-anak. Gunakan waktu dan kesempatan yang ada. Be creative. Mungkin dalam perjalanan pulang dari taman asuhan, dalam kereta umpamanya, ibubapa boleh bermain word games dengan anak-anak, bercerita kisah-kisah lucu dan sebagainya. Jangan jadikan suasana di dalam kereta itu terlalu serius dan tegang. Anak-anak yang menerima layanan yang ceria dan mesra dari ibubapa akan kurang bergaduh sesama sendiri.


• memberi semangat dan motivasi

Ibubapa perlu menunjukkan rasa confident terhadap anak-anak supaya anak-anak akan rasa berkeyakinan terhadap diri mereka sendiri. Untuk merasakan diri mereka disayangi dan berkemampuan, anak-anak perlukan kata-kata semangat (encouragement) daripada ibubapa. Untuk memberi ruang kepada mereka supaya bekerjasama, anak-anak perlu merasa diri mereka berkebolehan dan berkemampuan. Setiap anak adalah unik. Setiap mereka mempunyai keistimewaan dan kualiti yang tersendiri. Ibubapa perlu perihatin terhadap keistimewaan tersebut dan nyatakan dengan jelas kepada anak-anak. Memberi semangat dan motivasi, fokus kepada kekuatan anak-anak bukan kepada kelemahan mereka, fokus kepada usaha bukan kepada hasil. Galakkan juga anak-anak kita supaya membantu orang lain yang perlukan bantuan. Anak-anak akan terasa mudah untuk menyayangi orang lain sekiranya mereka terlebih dahulu menyayangi diri mereka sendiri.


• menunjukkan kasihsayang

Kasihsayang daripada ibubapa diperlukan supaya anak-anak rasa "secure". Bagaimana caranya untuk melahirkan rasa kasihsayang kepada anak-anak? By words and by actions.
  • ucapkan.."ibu sayang kamu…"
  • berikan pelukan dan belaian
  • bercakap dan melayan anak dengan sopan dan rasa hormat.
  • memberi ruang kepada anak-anak untuk membesar bersama tanggungjawab dan berdikari.
SUMBER : http://networkedblogs.com/jOSIR

Wednesday, June 29, 2011

Menjadi ibu dan bapa....



Sekadar perkongsian...moga ada manfaat...

Sara seorang ibu muda bergegas keluar dari pejabat. Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Dia harus mengambil anak-anaknya yang dua orang itu dari taman asuhan. Dia agak terlambat. Sampai di taman asuhan, anak-anaknya Hanif (6 tahun) dan Shafiq (5 tahun) telah menunggu di muka pintu. Sebaik sahaja ternampak ibu mereka datang, mereka meluru keluar.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Sara singgah di pasaraya untuk membeli barang-barang keperluan. Bersama dua orang anak yang aktif, Sara tidak dapat menumpukan perhatian untuk membeli barang-barang. Kedua-dua orang anaknya bermain kejar-kejar di dalam pasaraya itu. Dalam keadaan anak-anak yang tidak terkawal itu, Sara terlupa senarai barang-barang yang perlu dibeli. Akhirnya mereka keluar dari pasaraya tersebut tanpa membeli apa-apa.


Di dalam kereta, di tempat duduk belakang, Hanif dan Shafiq berebut sebuah kereta mainan. Mereka bergaduh. Hanif memukul adiknya. Shafiq menangis. Sara sudah hilang sabar. Fizikal, mental dan emosinya letih dengan kerenah anak-anak itu. Sudahlah di pejabat tadi, dia telah dimarah oleh bossnya. Sekarang, anak-anaknya pula buat perangai.


“Hanif dan Syafiq boleh duduk diam-diam tak?” kata Sara dengan nada yang keras sekali.
“Mama penat tau” katanya lagi.


Hanif dan Syafiq terdiam sebentar mendengar suara keras ibu mereka. Selepas itu, mereka kembali bergaduh. Sara sudah tidak kuasa lagi. Dibiarkan Hanif dan Syafiq sehinggalah sampai di rumah. Muka Sara masam mencuka. Hanif dan Syafiq terus bergaduh. Keluar sahaja dari kereta, jari Sara terus mencubit lengan kedua-dua anaknya.


“Tak dengar cakap mama. Mama suruh duduk diam-diam, jangan bergaduhkan”


Hanif dan Syafiq gerun melihat airmuka ibu mereka. Lengan mereka juga terasa sakit. Mereka masuk ke rumah dan membuka TV. Akhirnya kedua-duanya terlena keletihan di sofa. Sara merenung muka kedua-dua anaknya. Timbul rasa menyesal di hati kerana memarahi dan mencubit anak-anak itu tapi dia tidak tahu apa yang harus dilakukan apabila menghadapi situasi yang sebegitu. Dia sayangkan Hanif dan Syafiq cuma apabila terlalu letih, dia mudah hilang kesabaran.


~~~~~~~~~~~~~//~~~~~~~~~~~~~~


Memelihara dan mendidik generasi sekarang adalah lebih mencabar. Kasih sayang merupakan asas dalam hubungan ibubapa dan anak-anak namun kasih sayang sahaja tidak cukup. Ibubapa masa kini memerlukan beberapa kemahiran lain selain dari hukuman fizikal (seperti sebatan, cubitan dan sebagainya) dalam mengendalikan anak-anak mereka. Apabila berhadapan dengan situasi yang agak mencabar, sekurang-kurangnya ibubapa tahu cara yang lebih positif yang harus dilakukan seandainya mereka mempunyai kemahiran tersebut. Kebanyakan ibubapa mengenakan hukuman fizikal kerana mereka tidak mempunyai cara lain yang lebih positif. Minimumkan hukuman fizikal kerana kesannya agak negatif terhadap saikologi anak-anak.


Di sini, ada beberapa perkara yang ibubapa harus ingat dan sedar:


1. Membesar dan mendidik anak menjadi seorang yang sihat, ceria, berkeyakinan, bekerjasama, penyayang dan bertanggungjawab adalah merupakan satu tugas yang mencabar dan tidak mudah.

2. Ibubapa boleh membantu anak menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bekerjasama dengan membuat peraturan dan memberl pilihan.

3. Tabiat semulajadi, persekitaran, usia dan jantina menentukan kelakuan anak.


4. Expectation ibubapa adalah penting. Jika ibubapa expect anaknya buat perangai, sudah tentu anaknya akan buat perangai begitu juga sekiranya ibubapa expect anaknya bekerjasama, insyaAllah anaknya akan bekerjasama.


5. Secara saikologi, anak-anak mahu dan ingin diterima oleh keluarga dan persekitaran. Mereka akan berusaha untuk diterima samada secara negatif atau positif.


6. Ada empat matlamat asas kelakuan anak-anak (mengapa anak-anak buat perangai)
  • perhatian
  • kekuasaan
  • balas dendam
  • pengunduran

7. Hubungan ibubapa dan anak boleh dijalin dengan baik dengan cara:
  • menunjukkan rasa hormat kepada anak-anak
  • bermain dan bermesra dengan anak-anak
  • memberi semangat dan motivasi
  • menunjukkan kasihsayang.


SUMBER : http://networkedblogs.com/jM5V1

Semailah Cinta Dalam Keluarga


http://anakkusayang.com/blog/kisah-keluarga/semailah-cinta-dalam-keluarga

Alhamdulillah, 29 March lepas, anak saya Muhammad Al-Fatih sudah menjangkau umur 1 tahun dengan izin Allah. Beberapa kemahiran dan kebolehan baru mula ditonjolkan. Seperti yang saya jangka (semuanya ketentuan Allah), Muhammad sudah mampu berjalan tanpa memaut kepada sebarang alat. Genap usia 1 tahun, Muhammad juga sudah mengenal beberapa perkataan apabila ditunjukkan dan juga mampu memberi respon yang tepat apabila mendengar beberapa perkataan yang dikethuinya.

Malah, suatu yang menyejukkan hati saya adalah Muhammad juga sering tunduk sujud ketika kami sekeluarga menunaikan solat. Walaupun tiada pengetahuan tentang hal-hal itu, saya jangka itulah permulaan yang baik baginya dan bukan ketika kecil sahaja dirinya perlu dididik mencintai Allah.

Ketika menhadap laptop dengan abangnya, Abdullah, saya gemar membuka program Little Reader, dan Alhamdulillah Abdullah sydah mampu mengjarkan adiknya menggunakan program tersebut. Itulah seba sedikit kisah Muhammad.

Saya cuma terfikir, jika anak-anak dibiarkan berkembang tanpa rangsangan dan tunjuk ajar daripada ibu bapanya, bagaimana keadaannya. Hal ini kerana saya sendiri pernah disibukkan dengan urusan-urusan lain sehingga saya hampir tertekan dengan tingkah laku anak saya sendiri. Ye lah, kita ingin mengejar masa untuk menghabiskan urusan kita, anak-anak pula bertindak untuk menarik perhatian kita.

Jauh di sudut hati, saya faham perasaan anak-anak saya… Akan tetapi, saya cuba elak daripada memahaminya agar saya dapat meneruskan kerja-kerja saya. Namun, hampir seminggu berlalu, saya mula sedar. Apabila saya menilai semula tindakan saya, saya dapati kesannya kepada anak sulung saya. Mula tidak mendengar apa yang disuruh. Mula merosakkan barang, sering menangis dan makin gemar menyakiti adiknya.

Menyedari hal itu, saya mula berbincang dengan suami untuk menyerahkan sedikit tugasan saya kepadanya demi anak-anak. Dan alhamdulillah, saya mula menenangkan anak saya jika dia menunjukkan sikap yang tidak baik. Bukan marah dan memberi amaran. Saya memeluka anak ketika dia berbuat salah dan menegur dalam ketenangan. Bukan marah dan memberi amaran. Dan saya sudah kembali beraktiviti dengan mereka. Alhamdulillah…

Dengan amanah dan nikmat yang Allah berikan, amanah anak dan nikmat anak ini mestilah dijaga dan dididik mencintai Allah kembali. Hidup dalam CINTA itu sungguh indah dan yang diidamkan adalah keredhaan Allah. InsyaAllah…

Moga kisah di atas memperoleh manfaat kepada pembaca…
Wallahua’lam…


Kesalahan Dalam Membetulkan Kesalahan Anak


http://anakkusayang.com/blog/kisah-keluarga/kesalahan-dalam-membetulkan-kesalahan-anak


Abdullah, kenapa buat adik, Allah marah tau Abdullah suka buat adik.

Abdullah, lepas main, simpan semua mainan ni. Allah tak suka orang yang tak kemas.

Abdullah, kenapa nakal-nakal ni? Abdullah tak nak Allah sayang Abdullah ke?

Abdullah, kalau abdullah tak dengar cakap umi, Allah tak sayang Abdullah nanti.

Allah tak suka kita banyak buang masa tengok kartun.

bla… bla… bla…

Ini adalah kesilapan saya membetulkan kesalahan anak. Saya harap tidak berulang kepada pembaca sekalian. Mengapa? kan baik semuanya kembali kepada Allah. Menanamkan Aqidah sejak kecil. Jadi di mana salahnya?

Salahnya adalah kepada cara memperkenalkan Allah kepada anak. Allah yang sepatutnya disayangi dan di taati. Namun apa yang saya lakukan seolah-olah, jika tersilap Allah marah, Allah tak suka dan Allah tak sayang. Jika tersalah terus masuk neraka? Adakah itu yang terbaik dalam memperkenalkan Allah kepada si kecil? Tidak bukan? Saya tersedar ketika Abdullah menjawab:

“Kalau macam tu, Abdullah tak nak lah Allah”

Na’uzubillah…

Tersentak saya dengan kata-kata itu. Lantas saya mengambil satu masa untuk menceritakan tentang indahnya syurga. Indahnya berbuat baik, indahnya berkata sopan dan sayangnya Allah pada anak kecil. Sehingga sebelum tidur, Abdullah sering ingin mendengarkan kisah syurga. Selepas satu jangka masa, saya teruskan dengan cerita-cerita dari neraka pula.

Kemudian, saya ubah kembali cara teguran saya.

Abdullah, Allah sayang kalau Abdullah salam dengan semua orang.


Abdullah, Allah suka sangat orang yang suka tolong umi.

Abdullah nak Allah sayang tak? Jadi anak yang soleh ya.

Abang yang baik mesti Allah sayang, masuk syurga. Seronok masuk syurga.

Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan teguran anak saya. Barulah saya sedar, selama ini saya lebih banyak bercakap negatif dalam memperkenalkan Ad-Din (Agama) yang penuh dengan kasih sayang.


Al-quran juga lebih banyak merakamkan baikan berbanding keburukan. Lebih banyak menyebut perkataan syurga (Jannah) berbanding neraka (Naar). Jadi, pastikan ibu bapa lebih banyak menyebut yang baik-baik tentang agama, dalam menanamkan Aqidah. Kemudian barulah disertai ancaman.

Moga anak-anak kita berkembang sesuai acuan Al-Quran, dorongan As-sunnah dan peribadi Qudwah. InsyaAllah.

Pendidikan anak : Mengintip kesalahan anak


http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/pendidikan-anak-mengintip-kesalahan-anak


“Abdullah buat apa tu”

“ummi, tido!, ummi tido laa…”.

“kenapa?”

“Abdullah sibuk ni”

“Tak pe la, umi tengok je apa Abdullah buat, ummi tak marah pun.”

“ok”.

Huhu… kadang-kadang anak mahukan privacy mereka sendiri. Mereka ingin memuaskan keinginan mereka yang membuak-buak. Perasaan ingin tahu, ingin belajar, ingin bereksperimen, ingin merasa dan bermacam-macam lagi keinginan mereka yang tidak dapat mereka lakukan apabila kita ada.

Bukanlah bererti mereka tidak menyukai keberadaan kita, akan tetapi ada beberapa keinginan mereka yang terhalang apabila kita ada kerana pengalaman mereka dimarahi apabila berbuat sesuatu masih terbayang-bayang di ruangan mata.

Kadang-kadang, mereka cuma inginkan kepuasan melakukan sesuatu sendiri, tanpa dibantu oleh sesiapa, dan mereka tidak dapatkan perkara itu kecuali sewaktu ketiadaan kita.

Mengintip kesalahan anak

Satu soalan yang menarik, pernahkah anda mengintip anak sendiri?

Allah berfirman :

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari berburuk sangka, sesungguhnya sebagian berburuk sangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.” (al-Hujurat:12)

Pernahkah anda dituduh melakukan sesuatu yang tidak anda lakukan? bagaimana perasaannya? kalau anda sebagai seornag dewasa yang sudah mampu mengawal perasaan pun merasakan seperti itu, apatah lagi anak-anak yang belum mampu mengawal perasaan mereka.

Pernahkah anda cuba sedaya upaya menyembunyikan keaiban diri anda, kemudian ada la seorang hamba allah ni pegi canangkan merata tempat keaiban yang cuba anda sembunyikan tadi. Apa perasaan anda? silap haribulan masuk hospital lah kawan tu. Bayangkan kalau perkara yang sama berlaku pada anak anda?

Perinsip dalam islam, kesalahan yang dilakukan oleh seseorang dengan cara sembunyi-sembunyi tidak boleh di sebarkan, walaupun kepada cuma satu orang yang lain. Teguran harus dilakukan secara peribadi juga.

Perinsip kedua, sebelum menghukum, kena selidik dahulu, betul tak dia yang melakukan kesalahan tersebut. Kalau dia kata bukan dia yang lakukan, percayakan dia. Kerana keburukan dari menghukum secara salah lebih besar bahayanya dari keburukan melepaskan orang yang bersalah. Bukannya tidak pernah, kita mendengar orang yang kebetulan berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Walaupun sedikit macam mana pun kebarang kaliannya.

Apabila seseorang terlepas dari dihukum, dia akan bersyukur dan mungkin berubah, akan tetapi apabila tersalah hukum, dia akan berdendam sepanjang masa. Apabila seseorang dizalimi, maka doanya sangat mustajab, walaupun dia seorang kafir.

Pendidikan anak : berhati-hati dalam menghukum


http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/pendidikan-anak-berhati-hati-dalam-menghukum


Hukuman adalah cara untuk menguatkan kesedaran seseorang bahawa yang salah itu salah dan yang betul itu betul. Sebab itulah setiap negara mempunyai hukuman dan undang-undang. Supaya mereka yang berbuat salah akan sedar perbuatannya itu salah dan mereka takut untuk melakukannya lagi, dan supaya orang yang melihat hukuman pun timbul rasa takut untuk melakukan kesalahan tersebut.

Seorang yang dihukum atas kesalahan sendiri, dan dia sedar bahawa dia telah melakukan kesalahan dan layak dihukum akan mendapat manfaat dari hukumannya itu. Berbeza dengan seorang yang tidak tahu mengapa dia dihukum, mereka akan memendam perasaan dan menimbulkan perasaan benci di dalam hati terhadap orang yang menghukumnya secara tidak adil.

Satu tips dalam menghukum, hukuman yang baik adalah hukuman yang meninggalkan kesan di hati, bukan secara fizikal. Hukuman atas dasar kasih sayang adalah hukuman yang bertujuan menjadikan seseorang itu lebih baik dari sebelumnya bukan kerana benci atau geram. Anak-anak adalah pemerhati yang baik, dia dapat mengetahui adakah seorang ibu itu sedang menghukum kerana perasaan benci atau sedang menghukumnya untuk mendidik.

Seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali pernah berhenti dari membunuh seorang kafir di medan peperangan cuma kerana orang kafir tadi meludah ke mukanya. Apabila orang kafir tadi hairan dan bertanya kepadanya, mengapa dia berhenti, sedangkan pedang sudahpun hampir sampai ke leher musuh itu tadi, dia menjawab, “aku takut kalau-kalau aku membunuh orang itu disebabkan perasaan marah, dan bukan lagi kerana Allah SWT.”

Begitu juga kita, dalam mendidik anak, perlu berhati-hati agar tidak menghukum anak kerana marah, akan tetapi dalam keadaan yang tenang dan bertujuan untuk mendidik.

Bagaimana caranya? Seandainya tiba-tiba perasaan marah timbul, bertenang dulu, jangan terburu-buru menghukum, ambil nafas panjang kemudian beristighfar. Fikir dahulu apakah hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kita perlu konsisten, antara berat kesalahan dan berat hukuman perlu sepadan. Kalau kesalahan yang membawa akibat yang besar, maka perlu hukuman yang berat, sebaliknya kesalahan yang kurang serius, maka hukumannya juga perlulah hukuman yang ringan.

Anak akan keliru apabila perasaan marah menjadi ukuran pada hukuman yang dia terima, maka dia akan mengambil kesimpulan bahawa dia dimarahi kerana dia sudah tidak lagi disayangi.

Pendidikan di Rumah, Adil



(ni keja si abang ni...ummi tinggal kejap je..huhu)

http://anakkusayang.com/blog/pendidikananak/pendidikan-di-rumah-adil


Entah kali ke berapa saya membelek-belek sambil membaca Majalah Solusi isu 13. Rasanya dah kali ke 5. Baru semuanya habis dibaca. Bagi saya, inilah majalah terbaik isinya kurun ini. Alhamdulillah, terjumpa satu fakta tentang Sultan Muhammad Al-fatih, tak sangka juga tarikh lahirnya adalah 29 Mac, sama dengan tarikh lahir anak kedua saya, Muhammad Al-fatih yang menjangkau umur 8 bulan. Moga Allah memberikan rahmat dan kasih sayangNYA kepada anak-anak dan keluarga tercinta.

Sekarang masih di Kedah. Mungkin akan menetap di sini buat sementara waktu sebelum pulang ke Tanjung Malim semula. Baiklah, kita terus ke perbahasan kita kali ini. Tentang menghukum anak. Rasanya sudah terlalu banyak perkara ini saya sentuh. Namun akan sentiasa saya update setiap penemuan baru dan juga bacaan yang saya jumpa. InsyaAllah untuk manfaat semua.

Kalau tak pukul, manja.


Kalau pukul, memberontak.

Habis, apakah tindakan kita yang sewajarnya? Ayuh kita bersikap adil. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bagaimana menghukum anak dengan adil? Ada anak berumur 1 tahun, ada juga anak kita yang berumur 3 atau 4 tahun. Adakah hukuman itu sama rata antara anak-anak? Sudah tentu tidak. Seharusnya kita lebih selesa menggunakan perkataan membetulkan kesalahan anak, bukan menghukum anak.

Cuba bayangkan ketika mana adik menarik rambut abang, dalam masa yang sama, abang memukul adik kerana menarik rambut adiknya. Apa tindakan kita sebagai orang tua mereka?

Pada hemah saya, saya lebih suka menggunakan kaedah menerangkan situasi. Kebiasaannya, saya meleraikan dahulu pergaduhan itu dengan mengangkat si adik, kemudian memberitahu adik terlebih dahulu bahawa, jika tarik rambut abang, abang sakit. Jelaskan apa yang sebenarnya kepada adik walau ketika itu umurnya semuda 8 bulan. Kemudian ingatkan abang supaya bersabar dengan adik, kerana adik masih belum mengerti. Kemudian akhirnya abang akan memohon maaf, baik kepada adik juga uminya.

Memang tidak mudah bersikap adil. Saya juga kadangkala terlepas daripada situasi ini kerana emosi. Emosi akan memadamkan segala sifat keadilan dan api kemarahan akan marak.

Kemudian, apa lagi yang perlu dilakukan? Banyakkan berdoa. Kerana doa adalah senjata kita melawan api kemarahan dan emosi yang tak tentu arah. Maka, selepas ini, kita harus lebih berhemah dalam menangani keadaan dingin antara anak-anak. Kerana gaya kita menangani itu akan dicontohi mereka kelak.

Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...